Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim
August 15, 2008 by admin
Filed under Dari Meja Editor
Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat pemimpin ummah yang ulung, Muhammad SAW. Seterusnya dipanjatkan do’a buat para Sahabah R.A, golongan anbiya’, salafussoleh serta pengikut-pengikut manhaj ini sehngga ke hari kiamat kelak.
Alhamdulillah. Lafaz kesyukuran yang sepatutnya senantiasa bermain dibibir mereka yang dikurniakan anugerah iman dan Islam yang tidak terhingga ini. Alhamdulillah, buat pertama dan kesekian kalinya, PEMBINA Melaka merafaqkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, yang dengan limpah kurnia dan inayahnya mengizinkan dakwah Islamiyah yang suci ini terus maju ke hadapan.
Persatuan Belia Islam Nasional atau ringkasnya PEMBINA cawangan Melaka sudah lama bergiat aktif dalam merencanakan agenda kebangkitan ummah. Dengan golongan belia Muslim menjadi sasaran, PEMBINA telahpun setakat ini menjayakan pelbagai aktiviti ke arah menggerakkan golongan belia agar memahami Islam sebagai satu konteks kehidupan yang syumul. Dari perkelahan di tepi pantai ke aktiviti panjat gunung, dari kelincahan beraksi di atas padang futsal kepada ketekunan menuntut ilmu di bilik seminar, aktiviti seperti ini diharapkan mampu memberikan impak yang berterusan di dalam proses memperbaiki keperibadian golongan belia yang seterusnya kami yakini bakal menjadi tunjang survival ummah ini.
Justeru, lahirnya PEMBINA Melaka ke alam maya ini diharapkan bukan sekadar menyerikan pentas dakwah malahan mampu memimpin golongan belia untuk lebih deras dan pro-aktif dalam meneroka pendekatan dan metodologi dakwah yang pelbagai. Laman sesawang ini bakal memuatkan pelbagai santapan rohani, thaqafah Islamiyah, hebahan dan laporan aktiviti terkini serta perkongsian pelbagai cabang keilmuan sebagai antara alat pelengkap wasail tarbiyah dewasa ini.
Sidang redaksi mengharapkan sambutan yang menggalakkan dari pelbagai lapisan pembaca samada ahli atau bukan ahli, tua atau muda untuk turut sama memerah keringat di medan. Sebarang teguran, saranan, perkongsian bahan bolehlah diajukan kepada sidang redaksi PEMBINA Melaka di talian e-mail, pembina.melaka [at] gmail.com.
Sebagai kalam akhir, bagi pihak editorial PEMBINA Melaka, kami memanjatkan do’a agar usaha kami yang sedikit ini mampu melonjakkan amal dakwah ini ke fasa yang lebih baik. Do’a kami agar kami senantiasa dikurniakan kekuatan untuk terus mengesani masyarakat dan mudah-mudahan usaha ini diberikan ganjaran yang setimpal di hari konvokesyen kelak.
Allahu al-Musta’an

Saudara Khair Razlan Othman,
Ketua Editor,
Sidang Editorial PEMBINAmelaka.com
em>

