Kursus Lepasan SPM 09 tinggal seribu kenangan!
Kompleks Belia dan Sukan Air Keroh, 5-6 Disember 2009: Dalam keghairahan para pelajar dan ibu bapa bercuti panjang sempena cuti perayaan Hari Natal, Kelab Remaja ISMA (KRIM) Melaka dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Melaka telah menghidupkan Kompleks Belia dan Sukan Air Keroh dengan Kem Lepasan SPM 2009. Program bermula seawal jam 8.00 pagi 26 Disember 2009 dengan ketibaan jangkaan lebih kurang 30 orang peserta. Inilah golongan yang sanggup mengorbankan masa cuti mereka demi mengatur masa depan melalui program ini.
Program dimulakan dengan pembentangan bidang-bidang pengajian, bermula dari Kejuruteraan sehinggalah kepada Pengajian Islam oleh jemputan-jemputan professional yang telah berjaya di bidang masing-masing. Diharapkan agar info yang diberikan dapat menarik minat para pelajar dan seterusnya membolehkan mereka memilih bidang yang dirasakan bersesuaian dengan minat dan harapan mereka.
Kini tibalah masanya untuk para lepasan SPM memilih jalan kehidupan yang seterusnya. Para peserta kemudiaanya berpeluang untuk bertanya soalan dan berkongsi pengalaman dengan para pembentang jemputan di dalam kelompok yang lebih kecil.
Perbincangan memfokuskan kepada proses pemilihan kursus pengajian dan jawapan kepada apa jua soalan yang berlegar di benak para peserta dengan bimbingan mereka yang lebih arif. Objektif akhir kepada proses membuat keputusan ini ialah satu keputusan untuk mengikuti kursus yang diharap paling bersesuaian dengan pelajar serta mendapat restu dan sokongan daripada ibu bapa.
Usai solat Asar secara jamaie di surau Kompleks, para peserta telah bersama-sama mengeratkan ukhuwwah dan kerjasama melalui aktiviti team building yang disusun khas oleh facilitator-facilitator yang terdiri daripada ahli-ahli PEMBINA yang sedang menuntut di IPT sekitar Melaka. Keadaan yang agak suram pada awal kelibat mereka disini kelihatan makin ceria apabila satu persatu ‘tembok diri’ telah dipecahkan bersama teman-teman seangkatan.
Sesi malam pula dihidupkan dengan pembentangan istimewa oleh al-Fadhil Ust Zaidi M Jalil yang juga Timbalan YDP ISMA Melaka. Beliau menekankan kepentingan bagi setiap pelajar untuk memahami peranan mereka sebagai pelajar dan tanggungjawab sebagai seorang muslim dimana dunia ini merupakan lading tanaman akhirat. Para peserta diseru untuk mencari titik keseimbangan antara dua peranan yang besar ini dan akhirnya kesimpulan yang diperolehi adalah Ijazah merupakan wasilatuna (alat/cara) dan risalah adalah masiruna (matlamat).
Para peserta kemudiannya telah didedahkan dengan tips dan tatacara untuk menghadiri temuduga biasiswa yang telah dimudahcarakan oleh En Nurul Aizam dari PEMBINA yang berpengalaman luas dalam proses temuduga dan pemilihan penerima biasiswa. Beberapa pelajar telah dipilih untuk menjalani temuduga ‘percubaan’ bagi membiasakan diri dengan perkara yang boleh dan tidak boleh dibuat semasa temuduga. Ternyata sesi ini benar-benar mencabar dan peserta kelihatan terhibur dengan penyampaian dan tips yang diberikan.
Hari kedua dimulakan dengan sesi penerangan tentang langkah-langkah yang perlu diambil untuk sampai ke bidang yang diimpikan. Sesi ini telah dipimpin oleh En Khair Razlan yang juga merupakan pensyarah di Universiti Multimedia. Beliau telah menunjukkan satu per satu langkah bermula sebelum SPM sehinggalah kepada sumber-sumber tajaan yang boleh dimohon. Mereka juga didedahkan dengan pelbagai sumber maklumat yang boleh diteroka oleh pelajar, umpamanya melalui laman web rasmi sesebuah institusi pengajian, forum maya, karnival pengajian tinggi, hari terbuka kampus, risalah, majalah serta sumber-sumber yang lain.
Peserta kemudiannya dibantu oleh para facilitator untuk merancang secara terperinci pelan pendidikan peribadi mereka selepas tamat SPM. Peserta dilihat cukup proaktif dalam usaha mendapatkan maklumat berkenaan kursus, institusi pengajian dan potensi kerjaya berkaitan. Hal ini seterusnya akan membantu peserta membuat keputusan terbaik berdasarkan kepada maklumat yang diperoleh.
Setelah terjalin ukhuwwah di antara peserta dan facilitator, program KLS 2009 menuju penamat walaupun persahabatan baru sahaja berputik. Dalam sesi maklum balas, beberapa peserta menyatakan harapan mereka agar program ini diadakan lebih lama kerana merasakan pertemuan yang diatur ini terlalu singkat. Majlis penutup program KLS2009 telah disempurnakan oleh YDP ISMA Melaka Ust Ahmad Zainal Abidin yang menekankan pentingnya perancangan dan sasaran di dalam kehidupan seorang pelajar.
Dalam linangan air mata dan tangan digenggam erat usai tamat program, berjanjilah adik-adik bahawa kehidupan pasca SPM merupakan lembaran baru ke arah mencipta kejayaan baru dalam bidang yang bakal diceburi. Masih tersedia pelbagai peluang melanjutkan pelajaran yang bersesuaian dengan kelayakan yang dimiliki. Yang penting, kami mendoakan agar adik-adik dapat membuat perbandingan dan berdoa semoga Allah memberikan ilham untuk membuat keputusan terbaik dan menanamkan niat dalam diri untuk menjadikan kerjaya yang bakal dibina sebagai satu perjuangan dalam usaha memenuhi tuntutan fardu kifayah terhadap umat Islam. Umat Islam masa kini sememangnya memerlukan ramai pakar dalam segenap bidang untuk maju ke hadapan demi mencapai khaira ummah. Insya-Allah, kita sebagai generasi belia Islam hari ini dapat memenuhi aspirasi ummah dengan mencipta kecemerlangan dalam bidang yang diceburi InsyaAllah.
Akhirnya, selamat maju jaya dan moga bertemu lagi dalam program PEMBINA pula biiznillah!
Disediakan oleh
Amru Iskandar Burhan,
Pengarah KLS 09
Kem Lepasan SPM meriah
Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, Melaka: Alhamdulillah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas Rahmat dan RahimNya. Diatas limpah kurniaNya jugalah terjayanya Kem Lepasan SPM yang julung kali dianjurkan oleh Kelab Remaja Muslim (KRIM) cawangan Melaka dengan kerjasama PEMBINA cawangan Melaka dengan temanya “meraih ukhuwah, melkar sejarah”. Lokasi pilihan bagi kem ini ialah di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah dan diadakan pada 16-18 Januari yang lalu. Seramai 35 peserta terlibat dalam menjayakan kem ini yang rata- ratanya berumur 17 dan 18 tahun.
Program bermula dengan sessi pendaftaran di dewan kompleks dari pukul 4.00 sehingga 6.00 petang. Sejurus selepas solat isyak, majlis perasmian dimulakan dengan ucapan aluan oleh Setiausaha KRIM Melaka, Saudara Abdul Razak Kassim yang diikuti dengan ucapan perasmian oleh pengarah PEMBINA cawangan Melaka Saudara Muhamad Lukman Al Hakim. Majlis yang dipengerusikan oleh Saudara Hamdan dengan caranya yang tersendiri, diselitkan dengan lawak jenaka bagi menaikkan seri serta mood para peserta kem pada malam itu. Sebelum melabuhkan tirai untuk hari pertama, peserta berkesempatan untuk saling mengenali sesama sendiri yang datang dari pelbagai latar belakang sekolah dan negeri serta fasilitator.
Hari kedua disajikan dengan acara kemuncak iaitu penerangan tentang Kursus oleh wakil-wakil yang berpengalaman dalam bidang-bidang utama di universiti. Program diteruskan pula dengan sessi Q and A Booth di mana wakil-wakil dari setiap bidang tadi mengambil tempat di kaunter-kaunter di dewan bagi menjawab sebarang pertanyaan tentang kursus yang diajukan oleh para peserta. Sebaik sahaja selesai santapan tengahari dan solat zuhur berjemaah, para peserta bersiap sedia dengan pakaian sukan masing-masing bagi memulakan sessi Team Building. Satu demi satu jenis aktiviti yang menguji minda diberikan pada para perserta untuk diselesaikan oleh kumpulan masing-masing diketuai oleh para fasilitator yang handal dan cekap dalam memandu kumpulan masing-masing. Kekentalan dan semangat para peserta yang tidak pernah luntur oleh kedua-dua peserta lelaki dan perempuan jelas kelihatan di sepanjang perjalanan aktiviti biarpun setelah separuh hari dihidangkan dengan fakta-fakta tentang kursus.
Selesai solat maghrib berjemaah, para peserta dihidangkan pula dengan santapan rohani oleh Ustadz Zaidi yang bertajuk “Antara Ijazah dan Risalah”. Sessi tazkirah ini juga diselitkan dengan fakta terbaru tentang bumi Palestin yang pada hari itu merupakan hari ke-22 serangan. Sessi tazkirah pembuka minda ini diikuti pula dengan sessi Forum Perdana yang dipengerusikan oleh pengarah Kem Lepasan SPM sendiri saudara Mursyidi Mohammad dan dibarisi oleh 3 panel yang hebat daripada latar belakang yang berbeza. Forum ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan tips-tips menarik sebagai bekalan kepada para peserta untuk mengharungi alam pengajian tinggi dan kerjaya..
Hari terakhir kem bermula dengan solat subuh berjemaah dan diikuti pula dengan motivasi pagi bertajuk Wahai Pemuda yang diberikan oleh Saudara Lukman Al Hakim. Para peserta kemudiannya dihidangkan dengan siri ceramah bertajuk Education Flow yang diberikan oleh Saudara Nazeri, pensyarah di Universiti Multimedia Melaka yang amat berpengalaman di dalam hal ehwal pendidikan tinggi. Dalam sessi ini, pelajar dihidangkan dengan ceramah ringkas mengenai pathway ataupun cara-cara untuk menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Penceramah juga memberikan penerangan tentang bagaimana untuk mendapatkan biasiswa dan pinjaman pelajaran. Sessi ini diikuti pula dengan bengkel mengikut kumpulan dimana para peserta diketuai fasilitator diberi peluang merangka sendiri pelan masing-masing ke institusi pengajian tinggi dengan mengambil kira pencapaian keputusan percubaan SPM dan minat.
Selesai slot tadi maka bermulalah sessi penutup bagi keseluruhan kem ini. Majlis diserikan dengan ucapan penutup oleh pengarah program Saudara Mursyidi Mohammad dan diikuti pula dengan ucapan oleh Yang Dipertua ISMA cawangan Melaka Saudara Ahmad Zainal Abidin dengan ucapan yang ringkas namun padat dengan pengajaran yang bermakna sebagai Take Home Messages oleh para peserta. Tidaklah lengkap program ini kalau tidak diikuti dengan upacara penyampaian hadiah dan sijil bagi para peserta bagi meraikan zaatiah dan semangat mereka di sepanjang kem. Diumumkan juga peserta terbaik lelaki dan perempuan di sepanjang kem. Adik Mohamad Fathil Aqil B Abdullah menjadi pilihan para fasilitator untuk dinobatkan sebagai peserta lelaki terbaik. Peserta terbaik perempuan pula disandang oleh adik Syakirah Sunhaji. Tahniah diucapkan !!.
Sekitar jam 1.00 tengahari, para peserta bersalaman antara satu sama lain menangguhkan ukhuwwah yang baru terjalin. Masa selama 3 hari 2 malam di sini sememangnya memberikan pelbagai pengalaman baru yang bermakna buat semua peserta. Semoga semua peserta dapat menggarap faedah dan pengajaran sepenuhnya sepanjang mereka berada dalam program ini. Moga dapat bertemu lagi dalam perogram KRIM atau PEMBINA yang akan datang. Sama-sama kita doakan kejayaan adik-adik yang hadir dalam keputusan SPM yang akan datang pada bulan Mac ini…Ameen!!
Disediakan oleh,

Saudara Mursyidi Mohammad
Pengarah Kem Lepasan SPM 09
Promosi Kem Lepasan SPM
January 12, 2009 by admin
Filed under Hebahan Aktiviti
Alor Gajah, Melaka: Bertempat di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, Melaka, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Melaka akan sekali lagi membawakan program bermanfaat khusus untuk para pelajar yang baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sessi 2008. Program julung kali ini diadakan tanggal 16 hingga 18 Januari dan dibawakan bersama dengan kerjasama Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Melaka.


Program 3 hari 2 malam ini akan menyelitkan antara lain diskusi tentang perencanaan masa depan, perbandingan bidang dan jurusan juga perspektif awal tentang kehidupan siswa-siswi di universiti dalam dan juga luar negara serta pelbagai aktiviti luar dan berkumpulan yang menarik.
Para fasilitator terlatih didatangkan dari kalangan mahasiswa/wi yang masih belajardi universiti dalam dan luar negara serta mereka yang sudah bekerja dalam profession masing-masing bagi memberikan gambaran lengkap tentang halatuju sebelum, semasa dan selepas pendidikan universiti Bagi yang berminat, bolehlah menghubungi Saudara Mursyidi [013-2070696] atau Saudari Ruzaini [013-2090696] untuk maklumat lanjut. Ayuh sebelum terlambat, hanya RM50 sahaja.
Disediakan oleh,
Urusetia Promosi,
Kem Lepasan SPM Melaka.
