Kabinet Rakyat
February 21, 2010 by ummu wafa
Filed under Kalam Presiden

Perlantikan barisan Jawatan Kuasa Pusat (JKP) PEMBINA yang baru dalam AGM ke-3 baru-baru ini, pada hemat saya merupakan suatu lonjakan besar yang penuh bermakna buat pembangunan dan pelestarian agenda PEMBINA di persada nasional. Tanpa menolak jasa dan pencapaian yang telah dilakar oleh JKP terdahulu, pemilihan baru ini dilihat sebagai barisan kepimpinan idaman (dream team) yang bakal mencetus nafas baru dalam memastikan kesinambungan perjuangan PEMBINA. Di sini saya coretkan beberapa potensi yang dimiliki mereka bagi menggalas tugas dan amanah besar ini:
1. Potensi Fitrah
Saya mengenali secara peribadi majoriti individu dalam barisan JKP yang baru dipilih. Perkenalan saya dengan mereka sejak zaman universiti membawa kepada satu kesimpulan, mereka adalah manusia hebat yang ikhlas dalam perjuangan.
Zaizul Azizi Zaman ialah ‘senior’ saya di universiti. Dialah yang menyambut saya dan rakan seangkatan di Tullamarine Airport ketika kali pertama kami menjejakkan kaki ke bumi Melbourne, Australia. Mana mungkin kami melupakan jasa dan susah payah beliau menguruskan penempatan kami, menunjukkan jalan, memperkenalkan kedai, mengajar selok belok pengangkutan awam, membelanja makan dan berjalan-jalan. Kata-kata yang beliau sering ungkapkan, tidak mungkin saya lupa, “We have nothing to lose” (Kita tidak sedikitpun rugi). Zaizul adalah guru pertama yang mengajarkan saya erti pengorbanan, ukhuwwah dan berkata benar.
Norzafry Norhalim pula ialah bekas sahabat serumah saya. Angka 1705 mempertaut hubungan antara kami. Walaupun beliau setahun lebih muda berbanding saya dan ahli rumah yang lain, ternyata usia bukanlah penghalang untuk kami mencipta keakraban tersendiri. Mungkin disebabkan kematangan beliau (tengok jambang pun dah tahu!) dan kemahiran hubungan sosial yang tinggi memudahkannya bergaul dengan orang yang jauh lebih tua. Malah, di rumah kami beliaulah yang sering menceriakan suasana dengan pelbagai gelagat dan jenaka. Terlalu banyak suka duka yang dikongsi bersama sehinggakan ketika tulisan ini dihasilkan pun, saya tersenyum sendiri mengenangkan Zaman silam penuh nostalgia yang pernah kami tempuhi. Zafry adalah sahabat yang mengajarkan saya erti keberanian, kepercayaan dan kerjasama.
Muadz M Zain juga seangkatan dengan Zafry. Beliau mengambil jurusan yang sama dengan saya, menjadikan kami rapat kerana saya sering berkongsi, buku rujukan, laporan makmal (lab report), tutorial dan tugasan universiti yang lain (Entah betul atau tak jawapannya, saya pun tak pasti….). Kami juga berkongsi minat bersukan dan berekreasi. Walaupun beliau tinggal di rumah lain di tingkat 6, ada kalanya beliau menghabiskan lebih banyak masanya di rumah saya di tingkat 17. Muadz adalah saudara yang mengajarkan saya erti kerendahan hati, saling menghormati dan keprihatinan.
Tengku Asyraf pula ialah ‘junior’ saya di sana. Saya menyambut beliau dan rakan seangkatannya di Tullamarine Airport ketika mereka tiba di Melbourne buat pertama kali. Hubungan kami lebih kepada hubungan abang dan adik. Berlainan universiti dan jurusan menjadikan interaksi antara kami agak terhad, namun saya memerhatikan beliau dan rakan seangkatan yang lain dewasa dan membesar. Kedewasaan dan kematangan yang menyejukkan mata dan hati. Asyraf saya lihat memainkan peranan yang besar sebagai ketua dan tempat rujuk bagi sahabat-sahabat seangkatannya yang lain. Asyraf adalah adik yang mengajarkan saya erti kepatuhan, keikhlasan dan ketenangan.
Selain mereka, Syukri dan Ibrahim saya mula kenali di tanahair, selepas tamat belajar.
2. Potensi Pengalaman (Persatuan Pelajar Islam)
Kesemua JKP yang baru dipilih mempunyai pengalaman yang luas dalam mengendalikan persatuan pelajar Islam samada di dalam mahupun di luar negara. Berdasarkan pemerhatian saya, mengendalikan persatuan pelajar Islam di dalam dan di luar negara menjanjikan pengalaman yang cukup berbeza.
Pergerakan persatuan pelajar di Malaysia secara umumnya didominasi oleh birokrasi dan protokol yang ketat, kebebasan bersuara dan kebebasan media yang terbatas, interaksi dengan rakyat kampus yang minimum serta ruang lingkup kerja yang lebih berbentuk rutin.
Realiti di luar negara memperlihatkan senario sebaliknya. Pergerakan pelajar Islam di luar negara terutama negara-negara Barat agak bebas dan tidak dikongkong menyebabkan mereka mampu menyuarakan pandangan dengan lantang dan berani. Komunikasi dengan masyarakat kampus hidup dan rancak serta menyentuh pelbagai isu dan kemelut yang bersifat sejagat disekeliling mereka.
Tidak dinafikan, kelebihan terletak kepada para pimpinan yang telah lama bergelumang dengan politik kampus di Malaysia kerana PEMBINA sendiri adalah NGO belia yang bersifat tempatan, namun saya berpendapat sedikit sebanyak pengalaman berpersatuan di luar negara akan memperkaya dan menjanjikan keunikan terhadap cara pengendalian serta corak kepimpinan sesuatu organisasi. Maka di sinilah kekuatan barisan baru pemimpin tertinggi PEMBINA, kombinasi pakar persatuan pelajar Islam dari dalam dan luar negara pasti mencerna kelainan dan keistimewaan yang tersendiri!
3. Potensi Pengalaman (Kerjaya)
Bukan suatu kebetulan juga bahawa kebanyakan ahli JKP PEMBINA kali ini merupakan pekerja syarikat petroleum nasional yang tidak asing lagi, PETRONAS. Untuk makluman, PETRONAS tersenarai dalam Fortune Global 500 sebagai antara syarikat terbesar di dunia, menduduki tempat ke-95 pada tahun 2008 dan meningkat ke tangga 80 pada tahun 2009. PETRONAS juga diiktiraf sebagai syarikat yang mencatat keuntungan ke-8 tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia pada tahun 2008.
Lantas, berada dan bekerja dalam syarikat penuh prestij ini pastinya menjanjikan pengalaman yang cukup mahal harganya. Terlatih dengan pelbagai sistem pengurusan dan piawaian bertaraf dunia seperti Performance Planning and Appraisal (PPA), Solomon Benchmarking, Leadership Behavior and Value Feedback (LBVF), Refinery Management System (RMS), Knowledge Management (AXIS), PETRONAS Technical Standard (PTS), Maintenance Index (MI) Procedure serta banyak lagi pastinya memberikan kelebihan kepada mereka untuk memacu pengurusan PEMBINA ke arah yang lebih efektif dan berkesan. Sistem pengurusan, piawaian dan konsep-konsep korporat ini jika dapat diterap dan diadaptasikan dalam kontek pengurusan persatuan, pasti mampu meletakkan PEMBINA satu anak tangga lebih atas berbanding persatuan-persatuan belia yang lain.
4. Potensi Persefahaman
Tidak dapat dinafikan, persefahaman dan semangat kerja berpasukan yang tinggi merupakan nadi kepada mana-mana organisasi untuk berjaya. Semakin besar agenda yang diperjuangkan, maka semakin pentinglah elemen tersebut dalam sesuatu gerakan. Dan PEMBINA amat bertuah kerana persefahaman dan semangat kerja berpasukan sudah sedia terjalin di kalangan JKP yang baru dilantik. Kebanyakan mereka telah pun mengenali hati budi masing-masing semenjak berkecimpung dalam persatuan pelajar Islam di zaman universiti lagi.
Di tempat kerja saya, kami diminta untuk menduduki ujian personaliti (personality test) bagi menentukan karakter, cara berkomunikasi dan corak interaksi individu. Ujian ini dijadikan sebagai panduan untuk majikan lebih mengenali pekerja-pekerjanya, tahu cara terbaik untuk berinteraksi dengan mereka dan bagaimana mahu mengoptimumkan peranan mereka dalam menjayakan agenda syarikat.
Ternyata, PEMBINA tidak memerlukan instrumen ini kerana pimpinan yang dilantik telah mengharungi pahit maung perjuangan bersama sebelum ini. Pengalaman yang diharungi bersama ketika tidur bergelimpangan di dalam van selama 2 minggu bermusafir merentas benua, dikejar polis kerana memandu melebihi had laju, mengharungi kesejukan berwuduk dengan salji lantas bersolat berjemaah di atasnya, berkawal malam demi menjaga rakan-rakan yang sedang nyenyak tidur di dalam khemah dari serangan wombat, tidak mandi selama 3 hari sepanjang program, membawa pelajar baru melihat bebola api di Crowne dan memberikan tazkirah berkenaan api neraka, tidak dapat tidur malam setelah bermesyuarat sehingga lewat malam sambil menghirup kopi pekat manis buatan ‘pakcik’, bersolat tarawikh 8 rakaat hanya dalam masa 5 minit di Masjid Turki, membantu Brother Mansoor di City Mosque membersihkan karpet masjid selepas solat Subuh, menjamu Charcoal Chicken dan Big Sam’s pizza selama seminggu berturut-turut, mengalami kemalangan jalanraya dengan trem kerana kekok membuat hook turn, bermain bola sepak ala kampung di atas padang hoki universiti dan menunda van yang terbakar enjin di tengah kepekatan malam pastinya jauh lebih berharga untuk mengenali hati budi rakan seperjuangan berbanding menjawab soalan-soalan bertulis dalam ujian personaliti, walau dengan 99 peratus ketepatannya.
5. Potensi Sumbangan
Apa yang lebih penting dari empat perkara di atas ialah tenaga yang telah mereka curahkan, wang ringgit yang telah mereka laburkan, buah fikiran yang telah mereka perah, masa berharga yang telah mereka luangkan demi memartabatkan PEMBINA di persada nasional selama ini. Terlalu banyak untuk dicoretkan satu persatu disini. Cukuplah saya nyatakan, berdirinya PEMBINA seperti yang dilihat pada hari ini adalah sebahagiannya saham dari mereka dengan dipimpin oleh JKP yang terdahulu.
Benar, manusia selamanya tidak akan pernah menjadi malaikat yang sunyi dari segala kesilapan dan kepincangan. Malah kesilapanlah yang mendewasa dan mematangkan manusia, ke arah menjadi insan yang lebih baik. Mereka yang dilantik telah banyak belajar dan saya yakin, masih dalam proses pembelajaran. Dengan gandingan bahu dan pimpinan tangan yang padu, seluruh warga PEMBINA pasti mampu menampung kekurangan yang ada, malah menyediakan satu sistem sokongan yang mantap untuk bekerjasama membantu pimpinan yang telah dilantik bersama.
Bersama-sama kita doakan semoga barisan pimpinan baru ini mampu membawa PEMBINA ke suatu tahap yang lebih tingggi demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara. Sesungguhnya amanah yang besar hanya akan mampu ditanggung oleh mereka yang berjiwa besar, ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam amal. Berharaplah kepada Ilahi, bukankah Dia adalah sebaik-baik penolong?
Tahniah dan selamat bekerja kepada JKP PEMBINA yang baru!
Semoga Allah bersama kalian.
Nukilan,
Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad,
Pengerusi,
PEMBINA Melaka.
Belia dan Politik
February 3, 2010 by ummu wafa
Filed under Kalam Presiden
Telah sekian lama saya menyimpan hasrat untuk mengkaji dan menulis tentang topik di atas, namun kesibukan kerjaya dan aktiviti berpersatuan ternyata menjadi batu penghalang. Walaubagaimanapun sewaktu menjalani rutin harian membaca akhbar New Straits Times baru-baru ini, kolum kegemaran saya, “Opinion” membicarakan perbincangan yang cukup menarik. Tulisan ringkas bertajuk “For our young adults, it’s too much trouble” (Ianya sangat sukar bagi generasi muda kita) memperlihatkan bagaimana generasi muda negara tidak melihat mengundi sebagai keutamaan dalam hidup mereka. Artikel tersebut seolah melengkapkan peta keseluruhan tajuk yang ingin saya nukilkan di sini.
Apabila saya menyebut belia, saya maksudkan golongan yang berumur antara 17 hingga 40 tahun. Manakala definisi politik yang saya gunapakai ialah proses di mana sekumpulan manusia membuat keputusan kolektif. Perkataan ini berasal dari bahasa Greek yang bermaksud urusan negara. Walaupun politik begitu sinonim dengan proses kenegaraan atau kerajaan sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan daripada kita, saya cuba bawakan definisi lebih luas yang merangkumi aspek hubungan sosial dalam pelbagai institusi kemasyarakatan yang dibentuk dari sel-sel yang merupakan individu atau rakyat perseorangan. Maksud politik yang ingin saya huraikan juga jauh dari politik kepartian yang mendominasi persada negara kita buat masa ini.
Hakikatnya, tahap kepedulian golongan belia Malaysia terhadap politik berada pada tahap yang sangat rendah. Salah satu indikator yang menyokong fakta tersebut ialah statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan 4.39 juta atau 28 peratus rakyat negara kita yang berkelayakan masih belum mendaftar sebagai pengundi dan majoritinya adalah terdiri dari golongan muda. Dan anda mungkin merupakan salah seorang daripada mereka!
Bagi mengupas isu ini secara adil dan tepat, skop perbincangan perlu diperluas kerana saya berpendapat mendaftar sebagai pengundi cuma merupakan salah satu indikator kepedulian belia terhadap politik, namun bukan tanda aras sebenar. Malah para belia dan telah berdaftar dan membuang undi dalam setiap pilihanraya sekalipun tidak bermakna mereka benar-benar memahami, menghargai dan mengambil berat tentang politik serta pelbagai isu sekitarnya.
Antara indikator lain yang ingin saya bawakan ialah penglibatan anak-anak muda dalam pesatuan-persatuan belia di Malaysia. Statistik menunjukkan bahawa hanya 2.9 peratus golongan belia yang menyertai dan bergiat aktif di dalam persatuan belia atau badan bukan kerajaan (NGO) di negara kita. Golongan belia selebihnya saya bahagikan kepada dua. Yang pertama ialah belia-belia yang mengisi statistik keruntuhan moral kronik yang melanda negara seperti lumba haram, seks bebas, dadah, gengsterisme, jenayah juvana, hiburan melampau dan banyak lagi. Manakala golongan kedua ialah generasi muda yang duduk berdiam diri dengan agenda kehidupan masing-masing tanpa memperdulikan masyarakat sekeliling.
Tanpa perlu pergi lebih jauh, cuba anda perhatikan realiti di kawasan setempat anda. Berapa ramaikah para belia yang terlibat dengan institusi kemasyarakatan setempat seperti Ahli Jawatankuasa (AJK) surau dan masjid, persatuan-persatuan penduduk serta badan-badab kebajikan dan sukarelawan masyarakat lainnya. Kemungkinan besar, jari-jemari di tangan anda sudah cukup untuk menghitungnya! Kita belum berbicara tentang memegang jawatan-jawatan utama dalam mewakili rakyat setempat di arena politik tanahair. Jika institusi kecil masyarakat pun dipandang sepi, apatah lagi tangungjawab dan kedudukan yang lebih tinggi untuk memacu pentadbiran dan pembangunan negara.
Di mana silapnya?
Memahami tabiat golongan belia dan percaturan politik setempat merupakan pra-syarat kepada pemahaman yang tepat kepada punca kemelut ini. Secara ringkas, saya dapat simpulkan punca utama kepada komplikasi ini ialah hilangnya jatidiri dan karakter dalam diri anak-anak muda kita hari ini. Mereka kehilangan identiti diri, kabur matlamat hidup, hanyut dibawa arus deras hedonisme serta hilang sokongan sosial masyarakat sekeliling. Akhirnya mereka hanya mampu mengisi statistik-statistik keruntuhan moral yang saya sebutkan sebelum ini. Jika diri sendiri pun tidak mampu dipimpin, apalagi yang mahu diharapkan daripada mereka?
Namun, masih ada sebilangan kecil belia yang bernasib baik. Mereka berperibadi bersih, berpendidikan tinggi dan mempunyai status sosial yang baik. Tetapi permasalahan lain pula yang melanda. Pertama, matlamat hidup yang berbentuk individualisme dan meminggirkan sumbangan kepada agama dan negara. Kedua, pendedahan dan kefahaman yang dangkal tentang konsep politik dan aplikasinya. Selain itu, generasi belia hari ini juga tidak memahami kepentingan politik dalam membangunkan agenda bangsa dan agama.
Secara realiti, ketika di bangku sekolah, perihal politik langsung tidak diendahkan kerana pada persepsi mereka politik merupakan urusan ‘orang-orang dewasa’. Malah ketika mula berkecimpung dalam alam universiti atau kolej, sistem politik kampus yang persis politik kepartian negara ternyata menyebabkan mereka kecewa dan mengambil langkah mengundurkan diri. Setelah berkerjaya, kesibukan kerja dan pengurusan keluarga menjadikan mereka terus jauh dari terlibat dengan masyarakat setempat dan politik secara amnya.
Dapat simpulkan bahawa kehendak dan hasrat golongan ‘emas’ ini yang tidak mampu ditampung oleh sistem politik tempatan semasa menjadi punca utama. Lantas lahirlah golongan belia yang berpendapat bahawa politik tidak ada kaitan langsung dengan kehidupan mereka. Mereka turut merasakan bahawa ahli politik yang dilantik tidak mampu mewakili hasrat dan agenda generasi muda disebabkan jurang umur, status ekonomi dan latar belakang pendidikan yang ketara.
Pelbagai usaha termasuk oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 1985 sebagai Tahun Antarabangsa Untuk Belia, perlaksanaan dokumen PBB, Plan of Action for Youth Programmes for the Year 2000 and Beyond, Dasar Pembangunan Belia Negara (1997), Program Belia Komanwel (1998) dan Persidangan Pertama Menteri Belia SeDunia (1998) ternyata tidak banyak mengubah fenomena pembangunan belia serta penglibatan mereka dalam menyumbang terus kepada masyarakat dan negara.
Jadi, apakah masa depan belia negara dalam menggarap politik setempat? Ya, sudah tentu ianya banyak bergantung kepada peranan bersama institusi keluarga, sistem pendidikan, media massa, badan-badan bukan kerajaan, serta kerajaan sendiri untuk membina jatidiri generasi muda serta mengurangkan kalau tidakpun menutup terus jurang antara golongan ini dan arena politik itu sendiri. Pemahaman politik yang jelas serta perlaksanaannya dalam bentuk yang sihat perlu diterapkan kepada golongan muda demi memastikan penglibatan mereka yang lebih proaktif dan agresif dalam arena ini.
Sebagai contoh, pengalaman peribadi saya menghadiri Konvensyen Pemikiran Hasan Al Banna Dalam Melakar Sejarah Bangsa anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ternyata memberikan pengalaman yang berharga. Melalui pemerhatian kasar saya, lebih 80 peratus daripada peserta konvensyen yang membincangkan perihal politik tanahair merupakan golongan belia terutamanya para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta. Walaupun, kehadiran satu program ini tidak mencerminkan keadaan keseluruhan belia negara, saya tetap optimis ianya merupakan suatu petanda baik yang perlu disuburkan demi melihat peranan yang lebih besar dimainkan oleh golongan belia dalam arena politik negara. Lebih banyak program-program seumpama ini serta aktiviti-aktiviti khidmat masyarakat, kesukarelawanan, kursus-kursus kepimpinan dan jatidiri perlu dianjurkan bagi mendidik generasi muda kita asas-asas politik sebelum mereka berkecimpung dalam bidang politik yang lebih mencabar.
Nukilan,
Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad.
Pengerusi,
PEMBINA Melaka.
Bekalan dan Permintaan
December 18, 2009 by ummu wafa
Filed under Kalam Presiden
Teori ‘supply and demand’ atau dalam bahasa ibunda bermaksud ‘bekalan dan permintaan’ merupakan salah satu teori asas dalam bidang ekomoni. Formulanya mudah, peningkatan permintaan akan mengakibatkan kenaikan harga barang. Untuk mengimbangi keadaan tersebut, bekalan terpaksa ditingkatkan bagi memenuhi permintaan yang ada. Sebagai contoh, naik turun harga minyak mentah dunia adalah manifestasi teori ini.
Menariknya, teori yang sama turut berfungsi dalam pelbagai aspek kehidupan manusia. Baru-baru ini, saya terbaca satu statistik yang menunjukkan peningkatan kemasukan pendatang tanpa izin dari negara luar ke Malaysia untuk tujuan tidak bermoral pada tahun 2009. Mengikut analisa tersebut, peningkatan yang berlaku pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya adalah atas faktor permintaan yang meningkat. Aplikasi mudah bagi teori ‘supply and demand’.
Ya, statistik tersebut seharusnya mengundang rasa resah dan gundah, betapa masyarakat kita sedang menuju kepada keruntuhan moral yang kronik.
Namun begitu, masih ada sinar di hujung terowong bagi mereka yang mengimpikan kebangkitan ketamadunan Islam dan kelahiran masyarakat madani yang berjati diri.
Mari kita lihat kepada fenomena yang melanda badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang wujud di tanahair kita yang tercinta, Malaysia. Realiti menunjukkan permintaan terhadap NGO-NGO Islam meningkat, lantas lahirlah pelbagai NGO di seluruh pelusuk negara bak cendawan yang tumbuh selepas hujan. Jelas, mengikut teori asas ekonomi yang difahami, kelahiran pelbagai NGO-NGO Islam terutamanya NGO belia ini tidak akan berlaku tanpa permintaan dari masyarakat umum yang sudah mula sedar dan ingin kembali kepada fitrah mereka yang suci. Ini merupakan suatu petanda positif yang perlu kita syukuri. Namun, usaha tidak seharusnya terhenti di situ. Masih banyak ruang kosong yang perlu diisi. Pengorbanan dan komitmen yang tinggi masih terus ditagih bagi meningkatkan lagi kefahaman massa terhadap Islam, membina generasi muda sebagai tunggak agama serta mendidik mereka dengan ajaran Islam yang sebenar.
Memahami hakikat tersebut, PEMBINA Melaka telah mula mengorak langkah awal bagi merancang dan merencana pelbagai aktiviti dan program pada tahun hadapan demi mengisi kekosongan tersebut. Insya-Allah program yang disajikan amat dekat dengan jiwa belia dan mampu bertindak sebagai pemangkin untuk pembinaan jatidiri serta pembentukan kualiti insan yang didambakan.
Antara aktiviti yang akan dianjurkan sepanjang tahun 2010 ialah Karnival Sukan Belia, Konsert, Explorace, Belia Masuk Kampung serta banyak lagi program-program menarik. Teruskan bersama kami. Bersama kita hidupkan aktivisme belia demi memenuhi inspirasi agama, bangsa dan negara.
Selamat Datang Tahun Baru 1431H dan 2010M!
Saudara Muhammad Lukman Al Hakim bin Muhammad
Presiden PEMBINA Cawangan Melaka.
Demi Masa
January 5, 2009 by admin
Filed under Kalam Presiden
Bumi Palestin yang berdarah kini kembali mencuri tumpuan dunia. Sehingga saat ini, jumlah korban telahpun mencapai jumlah 510 orang dan lebih 2000 orang tercedera termasuk orang awam dan kanak-kanak. Pastinya kita sedia maklum 1001 cerita dan kisah derita saudara seakidah kita yang terpampang di dada-dada akhbar dan tersiar di media massa tempatan mahupun antarabangsa. Sebanyak itu jugalah iktibar dan pengajaran yang sepatutnya kita kutip dari peristiwa hitam ini.
Salah satunya yang begitu menarik perhatian saya ialah bagaimana HAMAS yang berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanahair, dan yang lebih penting mempertahankan Islam dari pencerobohan tentera Yahudi yang terlaknat. Menariknya, pemimpin-pemimpin tertinggi gerakan ini masih mampu Read more
Langkah Bermula
January 1, 2009 by admin
Filed under Kalam Presiden
Assalamualaikum W.B.T
Corak kehidupan dan karakter manusia merupakan cernaan keyakinan serta agenda kehidupan yang diperjuangkan. Lantas, tidak hairanlah jika hari ini kita menyaksikan rencam ragam dan kepelbagaian kerenah manusia dalam melayari kehidupan mereka yang serba sementara. Golongan belia juga tidak terkecuali dalam hal ini. Dalam pada kita berbangga dengan pelbagai pencapaian positif yang dikecap oleh golongan belia samada dalam arena kepimpinan, ekonomi, aktiviti kemasyarakatan mahupun sukan, tidak kurang juga aneka kepincangan yang kian menular dalam komuniti belia secara umumnya. Tidak perlulah kita menuding jari dan menjadikan golongan belia di negara-negara Barat sebagai contoh, kerana sesungguhnya Read more
Segalanya Bermula Dengan Angan-Angan.
December 18, 2008 by admin
Filed under Kalam Presiden
Tanggal 17 September 2008 yang lalu, genaplah 105 tahun sejak pertama kali kapal terbang pertama ciptaan pasangan kembar Orville dan Wilbur Wright berlegar di ruang angkasa. Sebelum tarikh keramat tersebut, siapa sangka manusia mampu terbang bebas di angkasaraya persis kawanan burung di langit biru. Namun sedarkah kita pencapaian besar dalam sejarah teknologi dunia ini bertitik tolak dari angan-angan pasangan kembar tersebut ketika dihadiahkan permainan berbentuk helikopter oleh bapa mereka ketika hanya berusia 2 tahun.

Dan kapal terbang hanyalah salah satu contoh dari ribuan malah jutaan ciptaan hebat alaf ini yang hanya bermula dengan secebis angan-angan. Lantas, tiada suatu apa pun yang sepatutnya menghalang kita untuk berangan-angan mengapai sesuatu yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini.
Saya tertarik untuk mengajak sekalian pembaca yang rata-rata terdiri dari kalangan belia yang masih di alam universiti untuk memasang impian dan Read more

