Lidah yang bersauh
March 26, 2010 by ummu wafa
Filed under Kafe Cinta, Simfoni Kehidupan
Suatu petang, sambil saya mengisi Compressed Natural Gas (CNG) ke dalam kereta di salah satu stesen Petronas di Melaka, mata saya sibuk memerhati gelagat pemandu lain yang juga ingin mengisi gas. Saya dapati ramai yang tidak mematikan enjin sewaktu mengisi gas atau minyaks edangkan telah dipaparkan dengan jelas simbol matikan enjin di dinding pam. Berderau juga darah saya melihat keadaan begitu.Maklumlah sebagai jurutera saya sedia maklum akibat perbuatan mereka jika berlaku sebarang kebocoran. CNG tidak berbau seperti Liquefied Petroleum Gas (LPG) memasak di rumah. Deria biasa tak boleh mengesan kehadirannya. Memang ada pengesan atau sensor di stesen minyak tetapi apa guna sensor kalau kebocoran telah berlaku dan terdapat sumber nyalaan api seperti ekzos kereta berdekatan?
Lalu saya bertekad, jika berjumpa dengan mana-mana pemandu yang tidak mematikan enjin maka saya akan tegur dan minta dimatikan enjin. Bukan mudah rupanya. Bagi yang ‘baik’ mereka akan matikan enjin tanpa banyak soal. Bagi yang ‘kurang’ memang seribu macam alasan. Alasan paling biasa adalah, ”Saya dah bertahun pakai CNG, tak pernah ada sebarang masalah. Kalau di KL saya isi sendiri je pun”. Bahkan kadang-kadang ada pemandu teksi yang tidak mematikan enjin dan ada penumpang di dalamnya. Saya kesal dengan sikap mereka yang tidak menghargai nyawa sendiri dan nyawa orang lain. Apabila diberi nasihat dan teguran untuk kebaikan bersama, ada yang melenting dan sebagainya.
Fikiran saya menerawang kenapa susah sangat ‘orang kita’ nak menerima nasihat demi kebaikan mereka sendiri?
Barangkali pengalaman mereka mengatakan cara mereka betul walaupun secara teknikalnya ia salah dan mereka cuma bernasib baik kerana tidak ada insiden buruk yang berlaku ke atas mereka. Jadi pertimbangan mereka cuma berdasarkan pengalaman sendiri sahaja dan selagi tidak kena atas batang hidung maka dikira tidak mengapa.
Barangkali mereka ada kepentingan dengan tidak mematika enjin ketika mengisi minyak atau gas Mungkin boleh keluar dari stesen lebih cepat, boleh menjimat penggunaan bahan api dan sebagainya. Jadi kepentingan dan keuntungan peribadi sebegitu mengatasi kepentingan memelihara perkara yang lebih besar iaitu keselamatan diri dan orang lain.
Barangkali mereka sudah terlalu lama tidak ditegur. Jadi selama ini mereka berpendapat mereka melakukan perkara yang betul. Merekalah suami yang memimpin, merekalah bapa yang ditaati anak-anak. Merekalah ketua-ketua pejabat. Boleh jadi sudah bertahun-tahun mereka tidak menerima teguran yang bersifat peribadi. Jadi sebarang teguran daripada orang lain boleh mencemar ego dan mengguris perasaan. Mereka telah dididik didalam suasana tanpa teguran dan nasihat.
Barangkali saya yang menegur ini hanya orang muda yang dianggap tidak layak untuk menegur. Tauliah menegur hanya ada pada pembesar dan alim ulama’, ketua kampung dan tok sidang. Agaknya, kalaulah yang menegur itu seorang budak 10 tahun, apakah respon kita agaknya?
Pada saya inilah dilema Melayu yang telah diracuni dengan idea individualism yang melampau. Kita dididik supaya tidak menjaga tepi kain orang dan pejamkan mata walaupun kain orang itu terbakar. Ego kita disuburkan dengan sifar malu menegur dan menjaga hati yang keterlaluan lantas perkara-perkara yang salah tidak ditegur oleh orang yang memandang.
Kita jauh dari suasana nasihat-menasihati di zaman nabi dan sahabat. Bahkan pengalaman saya dengan masyarakat Barat yang bukan Islam juga menunjukkan mereka lebih terbuka dan mengalu-alukan teguran. Tidak ada di sana konsep berasa hati di atas teguran yang baik.
Inilah cabaran kita bersama. Adakah kita akan menegur kesalahan sahabat kita, baik yang bersifat umum mahupun peribadi? Adakah kita akan berlapang dada menelan semua teguran atau kita akan merasa ‘tidak puas hati’ dengan orang yang menegur? Semoga kita menghidupkan semula satu generasi unggul dengan budaya tegur menegur, nasihat menasihati sesama kita.
Nukilan,
Amru Iskandar Burhan
Ahli PEMBINAmelaka.com
Ketsana – Petanda Maha Pencipta
February 3, 2010 by ummu wafa
Filed under Kafe Cinta, Simfoni Kehidupan
29 September 2009. Hari ini hari pertama kami tidak bekerja akibat taufan yang melanda. Dahsyat bukan kepalang. Ribut Ketsana kini sudah meragut lebih 100 nyawa di Filipina. Kini, ribut tersebut menuju destinasi landfall di Binh Son yang terletak lebih kurang 30 km dari rumah kami di Quang Ngai. Pagi itu kami tetap bergerak ke refinery. Namun, hasrat kami terbantut akibat cuaca yang buruk dan terlalu banyak pokok yang tumbang. Bimbang akan keselamatan, kami berpatah balik ke Quang Ngai. Setibanya di tengah bandar Quang Ngai, kami mendapati air sudah mula naik.

Apabila tiba di rumah, kami mendapati bekalan elektrik dan air telah terputus. Sungguh-sungguh bencana alam ini begitu menguji kesabaran kami. Angin bertiup kencang. Hujan turun mencurah-curah. Tidak banyak yang boleh kami lakukan di rumah. Cuma menunggu dan mengharapkan cuaca lekas kembali seperti sediakala.
Jarum jam menunjukkan angka 3. Saya kebosanan lantas mencapai baju hujan. Bersama majikan, kami mula melangkah keluar dalam ribut yang mengganas. Kami Cuma ingin meninjau keadaan di luar sana. Paras air Sungai Tra sudah mula mencecah benteng keselamatan. Gerai-gerai yang terletak di sebelah bawah benteng sudah musnah, hanyut dek arus yang deras.
Kami terus berjalan melepasi Hotel PetroSetco. Kelihatan papan tanda besar hotel sudah terkulai dan dinding kaca bahagian dapur juga sudah tiada. Barangkali pecah berkecai dihempas objek yang diterbangkan taufan, Kami terus melangkah menuju ke pusat bandar.

Pokok-pokok begitu banyak yang tumbang. Zink papan tanda kedai menyembah bumi. Wayar-wayar elektrik dan kabel telefon terputus dan merintangi jalan raya. Apabila menghampiri bandar, kami terpaksa meredah banjir. Pada mulanya paras air cuma setakat buku lali dan akhirnya paras air mencecah peha.

Sedar tak sedar, sudah 3 km kami meranduk air dan meredah banjir. Pelbagai ragam manusia dapat dilihat tatkala menghadapi musibah ini. Keseluruhan jalan yang biasa dilalui oleh kami untuk ke refinery ditenggelami air. Sempat juga kami singgah di kedai roti untuk membeli beberapa buku roti sebelum kembali ke rumah, MasyaAllah, kedai roti tersebut turut ditenggelami air separas lutut!
Kami menggunakan jalan yang lain untuk pulang ke rumah. Jalan tersebut turut ditenggelami air. Maghrib menghampiri dan kami sudah berjalan selama 3 jam. Kami berhenti sebentar untuk meraikan majikan saya yang berbuka puasa 6 hari Syawal. Santapan kami cuma roti yang dibeli tadi. Roti pun rotilah! Masih jua rezeki dari Allah. Alhamdulillah. Hari sudah mula gelap dan tiada lampu jalan untuk menerangi perjalanan kami. Kami mengatur langkah dengan lebih laju. Niat Cuma satu; mahu segera sampai ke rumah yang terletak lebih kurang 1 km dari tempat kami berhenti tadi.
Syukur alhamdulillah, akhirnya kami tiba di rumah. Baru teringat bekalan elektrik sudah terputus. Sungguh-sungguh kami berdua lupa untuk membeli lilin di bandar tadi. Bekalan air juga tiada. Terpaksalah kami membatalkan niat untuk mandi setelah puas bermain banjir. Namun kesusahan yang sedikit itu digantikan dengan pengalaman beharga: melihat kesan Taufan Ketsana. Hanya dengan sedikit kekuasaan Yang Maha Esa, seluruh bandar lumpuh dan manusia jua seolah-olah tidak keruan dan hilang punca. Lantas, adakah kita sedar dan beringat?
Disediakan oleh’
Amru Iskandar,
(Penulis merupakan aktivis PEMBINA yang telah dihantar bekerja ke Vietnam selama 8 bulan.)

