Ya Rabb..

March 30, 2010 by ummu wafa  
Filed under Kafe Cinta, Puitis

DSC027261Ya Rabb..

Dimanakah lagi harus ku cari..

Nur KasihMu di celahan noda-noda Dosa,

Apakah kan ku temui…NUR..yang dahulunya…ku dambakan..

Bisakah ku gapai NUR itu..

Dimanakah harus kumulai?

Pada Mu ku ratapi penyelasanku..

Masih adakah sisa pengampunan buatku..

Ya Rabb..

Apakah masih ada hari esok buatku..

Apakah masih tersisa keinsafan di lubuk hatiku…

Bukan niatku Ya RABB  mengenepikan diriMU..

Jauh sekali melupakan segala nikmat yang telah kau beri..

Namun..dosa-dosa semalam mengaburi diriku..

kerana sifat ‘wahn’ yang masih beraja dihatiku…

Lalu aku lemas..tenggelam dipukul badai mengganas..

terkapai di tengah lautan noda..tanpa sesiapa yang menemani…


Ya Rabb..

salahkan aku…

mendamba cinta Insani yang mencintaiMU..

salahkah aku..

kerana mengimpi bayangan mahligai kasih yang KAU redhai…

Dimanakah lagi harus aku meratap..

dimanakah lagi harus aku mengharap..

dimanakah lagi harus aku berserah?

Oh Tuhan..disini..dalam sujud ku mengadu..pasrah memohon dariMu..

kerana aku yakin pada janjiMu Tuhan..

kerana aku yakin dengan takdirMu yang tertulis di Luh Mahfudz..


Oh Tuhan…

Benar…

Tiada insan selayaknya aku mengadu..

kerana mereka tidak memahamiku…

kerana mereka tidak merasai peritnya hati ini..pedihnya..

sakitnya jiwa tersiksa..menahan gelora rasa…

hanya padaMu ya Allah..aku berserah..aku pasah..ku memohon..ku tunduk..ku meratap hiba…

Biar dunia tahu betapa ku Mencintaiku..

Betapa ku merindui pertemuan denganMU..

Betapa ku mengharap menatap wajahMU…

di syurgaNya..jannatil Firdausi a’la..

Ya Rabb…

Andai takdirku di dunia..

setakat ini sahaja…

andai ku di jemput untuk pulang..

ke alam baqa’ kekal abadi…

terlalu banyak ingin ku kongsikan..ingin ku katakan ..ingin ku luahkan…ingin ku ratapkan…

betapa pedihnya diriku menahan kesakitan..

begitu lemahnya diriku dengan ujian dunia yang KAU berikan..

Ya Allah…

KAU berikan lah aku kekuatan..

untuk menghadapi sisa-sisa dunia..

bekalkanlah aku secebis ketabahan..

agar bangkit menghadapi dunia..

membuktikan aku mampu menghadapinya..

Masih upaya berdiri..walau tiada rafiq disisi

Masih bisa tersenyum..walau berbaur kelat dan keterpaksaan..

Namun..akan ku terus buktikan..akan ku terus mencuba..

Agar terus meraih redhaMU ..

Menngapai CintaMU…

kerana itulah yang utama!..

Mardhatillah! Lillahi Firdausil A’la!


Nukilan

Ukht Atikah Abu Bakar

KUIM

Lidah yang bersauh

March 26, 2010 by ummu wafa  
Filed under Kafe Cinta, Simfoni Kehidupan

Ad Deen An Nasihah

Suatu petang, sambil saya mengisi Compressed Natural Gas (CNG) ke dalam kereta di salah satu stesen Petronas di Melaka, mata saya sibuk memerhati gelagat pemandu lain yang juga ingin mengisi gas. Saya dapati ramai yang tidak mematikan enjin sewaktu mengisi gas atau minyaks edangkan telah dipaparkan dengan jelas simbol matikan enjin di dinding pam. Berderau juga darah saya melihat keadaan begitu.Maklumlah sebagai jurutera saya sedia maklum akibat perbuatan mereka jika berlaku sebarang kebocoran. CNG tidak berbau seperti Liquefied Petroleum Gas (LPG) memasak di rumah. Deria biasa tak boleh mengesan kehadirannya. Memang ada pengesan atau sensor di stesen minyak tetapi apa guna sensor kalau kebocoran telah berlaku dan terdapat sumber nyalaan api seperti ekzos kereta berdekatan?

Lalu saya bertekad, jika berjumpa dengan mana-mana pemandu yang tidak mematikan enjin maka saya akan tegur dan minta dimatikan enjin. Bukan mudah rupanya. Bagi yang ‘baik’ mereka akan matikan enjin tanpa banyak soal. Bagi yang ‘kurang’ memang seribu macam alasan. Alasan paling biasa adalah, ”Saya dah bertahun pakai CNG, tak pernah ada sebarang masalah.  Kalau di KL saya isi sendiri je pun”. Bahkan kadang-kadang ada pemandu teksi yang tidak mematikan enjin dan ada penumpang di dalamnya. Saya kesal dengan sikap mereka yang tidak menghargai nyawa sendiri dan nyawa orang lain. Apabila diberi nasihat dan teguran untuk kebaikan bersama, ada yang melenting dan sebagainya.

Fikiran saya menerawang kenapa susah sangat ‘orang kita’ nak menerima nasihat demi kebaikan mereka sendiri?

Barangkali pengalaman mereka mengatakan cara mereka betul walaupun secara teknikalnya ia salah dan mereka cuma bernasib baik kerana tidak ada insiden buruk yang berlaku ke atas mereka. Jadi pertimbangan mereka cuma berdasarkan pengalaman sendiri sahaja dan selagi tidak kena atas batang hidung maka dikira tidak mengapa.

Barangkali mereka ada kepentingan dengan tidak mematika enjin ketika mengisi minyak atau gas Mungkin boleh keluar dari stesen lebih cepat, boleh menjimat penggunaan bahan api dan sebagainya. Jadi kepentingan dan keuntungan peribadi sebegitu mengatasi kepentingan memelihara perkara yang lebih besar iaitu keselamatan diri dan orang lain.

Barangkali mereka sudah terlalu lama tidak ditegur. Jadi selama ini mereka berpendapat mereka melakukan perkara yang betul. Merekalah suami yang memimpin, merekalah bapa yang ditaati anak-anak. Merekalah ketua-ketua pejabat. Boleh jadi sudah bertahun-tahun mereka tidak menerima teguran yang bersifat peribadi. Jadi sebarang teguran daripada orang lain boleh mencemar ego dan mengguris perasaan. Mereka telah dididik didalam suasana tanpa teguran dan nasihat.

Barangkali saya yang menegur ini hanya orang muda yang dianggap tidak layak untuk menegur. Tauliah menegur hanya ada pada pembesar dan alim ulama’, ketua kampung dan tok sidang. Agaknya, kalaulah yang menegur itu seorang budak 10 tahun, apakah respon kita agaknya?

Pada saya inilah dilema Melayu yang telah diracuni dengan idea individualism yang melampau. Kita dididik supaya tidak menjaga tepi kain orang dan pejamkan mata walaupun kain orang itu terbakar. Ego kita disuburkan dengan sifar malu menegur dan menjaga hati yang keterlaluan lantas perkara-perkara yang salah tidak ditegur oleh orang yang memandang.

Kita jauh dari suasana nasihat-menasihati di zaman nabi dan sahabat. Bahkan pengalaman saya dengan masyarakat Barat yang bukan Islam juga menunjukkan mereka lebih terbuka dan mengalu-alukan teguran. Tidak ada di sana konsep berasa hati di atas teguran yang baik.

Inilah cabaran kita bersama. Adakah kita akan menegur kesalahan sahabat kita, baik yang bersifat umum mahupun peribadi? Adakah kita akan berlapang dada menelan  semua teguran atau kita akan merasa ‘tidak puas hati’ dengan orang yang menegur? Semoga kita menghidupkan semula satu generasi unggul dengan budaya tegur menegur, nasihat menasihati sesama kita.

Nukilan,
Amru Iskandar Burhan
Ahli PEMBINAmelaka.com

ADAM…

February 3, 2010 by ummu wafa  
Filed under Kafe Cinta, Puitis

4020352713_0652b55511

Adam..Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu. Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu.

Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. Jadi tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu, sentiasa mau terpesong dari landasan, kerana aku buruan syaitan.

Adam… Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannya dari kaummu dia akhir zaman, itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusanNya Jika bilangan kaummu mengatasai kaumku nescaya merahlah dunia kerana darah manusia, kacau-bilaulah suasana, Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa.

Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya. Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.

Adam… Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku. Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku. Tapi… aku risau, gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu. Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu..

Namun… terasa berat pula untukku meyatakan isi perkara.

Adam… Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidik aku, kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa didalam redha Tuhanku dan Tuhanmu.

Tapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini, aku dan kaumku telah ramai menderhakaimu. Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang ditetapkan Asalnya Allah mengkehendaki aku tinggal tetap dirumah. Di jalan-jalan, di pasar-pasar, di bandar-bandar bukan tempatku. Jika terpaksa aku keluar dari rumah seluruh tubuhku mesti ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut.

Tapi.. realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.

Adam… Mengapa kau biarkan aku begini? Aku jadi ibu, aku jadi guru, itu sudah tentu katamu. Aku ibu dan guru kepada anak-anakmu. Tapi sekarang diwaktu yang sama, aku ke muka menguruskan hal negara, aku ke hutan memikul senjata. Padahal, kau duduk saja. Ada diantara kau yang menganggur tiada kerja. Kau perhatikan saja aku panjat tangga di pejabat bomba, kainku tinggi menyingsing peha mengamankan negara. Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu? Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?

Adam… Marahkah kau jika kukatakan andainya Hawa terpesong, maka Adam yang patut tanggung! Kenapa? Mengapa begitu ADAM? Ya! Ramai orang berkata jika anak jahat emak-bapak tak pandai didik, jika murid bodoh, guru yang tidak pandai mengajar! Adam kau selalu berkata, Hawa memang degil, tak mahu dengar kata, tak mudah makan nasihat, kepala batu, pada hematku yang dhaif ini Adam, seharusnya kau tanya dirimu, apakah didikanmu terhadapku sama seperti didikan Nabi Muhammad SAW terhadap isteri-isterinya? Adakah Adam melayani Hawa sama seperti psikologi Muhammad terhadap mereka? Adakah akhlak Adam-Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?

Adam… Kau sebenarnya imam dan aku adalah makmummu, aku adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku. Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu.

Akalmu sembilan, nafsumu satu. Aku…akalku satu nafsuku beribu! Dari itu Adam….pimpinlah tanganku, kerana aku sering lupa, lalai dan alpa, sering aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya.

Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah, perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi hidupku. Tiuplah ruh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.

Adam… Andainya kau masih lalai dan alpa dengan karenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih gentar mencegah mungkar, maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan hancur bila kaumku yang akan memerintah. Malulah engkau Adam, malulah engkau pada dirimu sendiri dan pada Tuhanmu yang engkau agungkan itu…

Ketsana – Petanda Maha Pencipta

February 3, 2010 by ummu wafa  
Filed under Kafe Cinta, Simfoni Kehidupan

29 September 2009. Hari ini hari pertama kami tidak bekerja akibat taufan yang melanda.  Dahsyat bukan kepalang. Ribut Ketsana kini sudah meragut lebih 100 nyawa di Filipina. Kini, ribut tersebut menuju destinasi landfall di Binh Son yang terletak lebih kurang 30 km dari rumah kami di Quang Ngai. Pagi itu kami tetap bergerak ke refinery. Namun, hasrat kami terbantut akibat cuaca yang buruk dan terlalu banyak pokok yang tumbang. Bimbang akan keselamatan, kami berpatah balik ke Quang Ngai. Setibanya di tengah bandar Quang Ngai, kami mendapati air sudah mula naik.

New Picture (4)

Apabila tiba di rumah, kami mendapati bekalan elektrik dan air telah terputus. Sungguh-sungguh bencana alam ini begitu menguji kesabaran kami. Angin bertiup kencang. Hujan turun mencurah-curah. Tidak banyak yang boleh kami lakukan di rumah. Cuma menunggu dan mengharapkan cuaca lekas kembali seperti sediakala.

Jarum jam menunjukkan angka 3. Saya kebosanan lantas mencapai baju hujan. Bersama majikan, kami mula melangkah keluar dalam ribut yang mengganas. Kami Cuma ingin meninjau keadaan di luar sana. Paras air Sungai Tra sudah mula mencecah benteng keselamatan. Gerai-gerai yang terletak di sebelah bawah benteng sudah musnah, hanyut dek arus yang deras.

Kami terus berjalan melepasi Hotel PetroSetco. Kelihatan papan tanda besar hotel sudah terkulai dan dinding kaca bahagian dapur juga sudah tiada. Barangkali pecah berkecai dihempas objek yang diterbangkan taufan, Kami terus melangkah menuju ke pusat bandar.

New Picture (3)

Pokok-pokok begitu banyak yang tumbang. Zink papan tanda kedai menyembah bumi. Wayar-wayar elektrik dan kabel telefon terputus dan merintangi jalan raya. Apabila menghampiri bandar, kami terpaksa meredah banjir. Pada mulanya paras air cuma setakat buku lali dan akhirnya paras air mencecah peha.

New Picture (1)

Sedar tak sedar, sudah 3 km kami meranduk air dan meredah banjir. Pelbagai ragam manusia dapat dilihat tatkala menghadapi musibah ini. Keseluruhan jalan yang biasa dilalui oleh kami untuk ke refinery ditenggelami air. Sempat juga kami singgah di kedai roti untuk membeli beberapa buku roti sebelum kembali ke rumah, MasyaAllah, kedai roti tersebut turut ditenggelami air separas lutut!

Kami menggunakan jalan yang lain untuk pulang ke rumah. Jalan tersebut turut ditenggelami air.  Maghrib menghampiri dan kami sudah berjalan selama 3 jam. Kami berhenti sebentar untuk meraikan majikan saya yang berbuka puasa 6 hari Syawal. Santapan kami cuma roti yang dibeli tadi.  Roti pun rotilah! Masih jua rezeki dari Allah. Alhamdulillah. Hari sudah mula gelap dan tiada lampu jalan untuk menerangi perjalanan kami. Kami mengatur langkah dengan lebih laju. Niat Cuma satu; mahu segera sampai ke rumah yang terletak lebih kurang 1 km dari tempat kami berhenti tadi.

Syukur alhamdulillah, akhirnya kami tiba di rumah. Baru teringat bekalan elektrik sudah terputus. Sungguh-sungguh kami berdua lupa untuk membeli lilin di bandar tadi. Bekalan air juga tiada. Terpaksalah kami membatalkan niat untuk mandi setelah puas bermain banjir. Namun kesusahan yang sedikit itu digantikan dengan pengalaman beharga: melihat kesan Taufan Ketsana. Hanya dengan sedikit kekuasaan Yang Maha Esa, seluruh bandar lumpuh dan manusia jua seolah-olah tidak keruan dan hilang punca. Lantas, adakah kita sedar dan beringat?

Disediakan oleh’

Amru Iskandar,
(Penulis merupakan aktivis PEMBINA yang telah dihantar bekerja ke Vietnam selama 8 bulan.)

Aku Wanita Mujahidah Sejati..

December 5, 2009 by ummu wafa  
Filed under Kafe Cinta, Puitis

di-jalan-dakwah-aku-menikah

Aku Wanita Mujahidah Sejati..
Yang tercipta dari tulang rusuk lelaki  yang berjihad,
Bilakah kan datang seorang peminang menghampiriku mengajak untuk berjihad
Kelak ku akan pergi mendampinginya  di bumi Jihad

Aku telah bersiap sedia dengan semua syarat yang diajukannya
Cinta Allah, Rasul dan Jihad Fisabilillah
Aku rela berkelana mengembara dengannya lindungi Dienullah
Ikhlas menyebarkan dakwah ke penjuru bumi Allah

Tak mungkin ku pilih dirimu jika dunia lebih kau damba
Terlupa kampung halaman, sanak saudara bahkan harta yang terpendam
Hidup terasing asalkan di akhirat bahagia
Bila aku setuju dan kaupun tidak meragukanku
Bulat tekadku untuk menemanimu

Aku Wanita mujahidah pilihan
Yang mengalir di nadiku darah lelaki yang berjihad
Bilakah kan datang menghampiriku seorang peminang yang penuh ketawadhu`an
Kelak bersamanya kuharungi bahtera lautan jihad

Andai tak siap bisa kau pilih
Agar kelak batin, jiwa dan ragamu tak terusik
Terbebani dengan segala kemanjaanku, kegundahanku, kegelisahanku terlebih keluh kesahku
Sebab meninggalkan dakwah kerana lebih mencintaimu
Dan menanggalkan pakaian taqwaku kerana laranganmu

Tak mungkin aku memilihmu
Bila yang fana lebih kau cinta
Lupa akan kemilau dunia dan remangnya lampu kota
Lazatnya makanan dan lajunya makar durjana
Meniti jalan panjang di medan jihad
Yang ada hanya darah dan airmata tertumpah serta debu yang beterbangan
Keringat luka dan kesyahidan pun terulang

Jika masih ada ragu tertancap dihatimu
Teguhkan azamku untuk lupakan dirimu

Aku wanita dari bumi Jihad
Dengan sekeranjang semangat berangkat ke padang jihad
Persiapkan bekal diri menanti pendamping hati, pelepas lelah serta kejenuhan
Tepiskan semua mimpi yang tak bererti

Adakah yang siap mendamaikan hati?

Kerana tak mungkin kulanjutkan perjalanan ini sendiri
Tanpa peneguh langkah kaki dan pendamping perjuangan
Yang melepaskanku dengan sepotong doa
Meraih syahid adalah tujuan utama Robbi..

Terdengar panggilanMu untuk meniti jalan redha-Mu
Ku harapkan pertolongan dari Mu…
Menemani perjalanan ini

Hijrah Terakhir: Epilog

December 31, 2008 by admin  
Filed under Cerpeneka, Kafe Cinta

Sedutan Episod Satu

Tapi katanya itulah cinta. Ah! Bagiku cinta sering benar tewas bersama mimpi rawan semalam…………

… bersambung

 

Tiga

Keinginan untuk merungkai kekusutan jiwa membawaku ke hadapan pintu utama masjid. Membatu menanti penceramah keluar, usai solat Isyak berjemaah. Sebaik melihat kelibatnya, salam kulontar. Mempalit kerut di dahinya.

Berdiri di hadapannya benar-benar mengundang dejavu. Mendetakkan debar. Namun, kuyakin dia masih tidak mengenaliku di sebalik purdah yang melindungi wajahku. Aku lantas memberanikan diri untuk memulakan bicara.

Maaf kerana menggangu ustaz. Saya Ummu Musfirah. Tak pasti samada ustaz masih mengenali saya, tapi wajah ustaz seperti pernah saya kenal…” tersekat-sekat kataku.

Jadi, awaklah Umrah?”

Angguk. Hari ini aku mendapat namaku kembali. Nama yang diberikan kepadaku tujuh tahun yang lalu.

Ya, saya Umrah….” jawabku tertunduk malu. Titis gerimis yang satu persatu jatuh mencium bumi tunak kurenung.

Dan ustaz, Amri Muqarr…….

Saya Amru Muqarrin, kembar kepada Amri Muqarrin…” pintasnya. Ada kejut yang menyambar sanubari.

Sering benar dia menceritakan perihal awak kepada saya. Tentang kisah pertemuan pertama kalian di bumi ‘Down Under’, kisah zaman gelapnya, kisah hijrahnya menjadi manusia, perihal liku ranjau dia menawan hati awak dan akhirnya episod perpisahan kalian di sana.

Setelah pulang tanpa segulung ijazah dari Australia, dia benar-benar berubah. Hijrah agung katanya. Akhirnya dia mengambil keputusan nekad untuk mengubah haluan ke bumi anbiya’, mengutip mutiara-mutiara tinggalan ketamadunan Islam silam di Universiti Al-Azhar, Mesir. Dia sempat menghafal Al-Quran sebelum menamatkan ijazah dalam bidang Usuluddin sebagai pelajar terbaik keseluruhan. Tidak cukup dengan itu, dia turut bergiat aktif dalam gerakan dakwah dan tarbiah di sana. Malah saya sendiri menerima percikan taufiq darinya. Dialah yang mendekati saya, membisikkan kalimah penuh keimanan, membimbing saya menjadi muslim sejati dan akhirnya meyakinkan saya untuk bersama-samanya ke Mesir demi mengibarkan panji agama kebenaran ini.”

Aku terkelu. Kagum. Ternyata hijrahnya luar biasa setelah cintanya terdampar tak bersambut.

Alhamdulillah. Hmm…..di mana dia sekarang, ustaz?” Aku memberanikan diri menyua tanda tanya yang aku sendiri berdebar menanti jawapannya.

Senyap. Lama kunanti Ustaz Amru menyambung tutur. Terlucut sabarku.

Masih diam. Yang kedengaran kini ialah tangis esaknya yang semakin meninggi. Aku melirik pandang, ada butir-butir jernih yang gugur dari  kelopak matanya yang redup.

Dia meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya ketika dalam perjalanan untuk urusan dakwah dari Mekah menuju Madinah, tersungkur mencium lahad, ditimbus debu-debu hijrah Rasulullah s.a.w. Dia pergi beberapa hari sebelum kami sepatutnya pulang ke tanahair. Berkali-kali dia nyatakan hasratnya untuk bersua Umrah sebaik tiba di tanahair. Ironik sungguh, insan pertama yang ingin dijejakinya Umrah, namun terlebih dahulu ditemuinya Allah.” Perlahan tukas ustaz Amru. Di juring kelopak matanya masih tersisa cecair jernih yang hampir kering.

Mataku berkaca. Menatang selimpah titis air mata. Terpempan mendengar jawapan yang begitu menghiris jiwa, persis ditusuk belati peristiwa lalu. Lantas fikiranku melayang, menjejak kembali setiap fragmen kenangan bersamanya. Satu persatu muncul di kota ingatku, lantas membentuk makna betapa hebatnya kuasa Ilahi mengubah manusia mengikut acuan kehendak-Nya.

Maafkan saya Umrah. Saya minta diri dulu, ada ceramah seterusnya yang perlu saya sampaikan di Masjid Negeri. Assalamualaikum…..” salamnya memutuskan permainan akalku.

Belum sempat kujawab, ustaz Amru terus berlalu pergi. Meninggalkanku bersama hakikat yang masih cuba kucerna. Sedikit pahit untuk kutelan. Aku lantas berpusing mengatur langkah longlai untuk pulang sebelum suara ustaz Amru kembali bertamu lagi di gegendang telinga, mematikan tapakku.

Umrah, sebelum Amri meninggal, dia pernah berbicara kepada saya. Betapa cintanya kepada awak tidak pernah luntur. Dan dia berubah bukan kerana Umrah, tapi demi mengejar cinta Allah!” Sedikit menjerit. Dapat kulihat prisma matanya menyimbah titis isyarat.

Tanpa kusedari sepasang mataku kini berjuraian air mata. Tidak terbendung lagi. Di celah-celah garis renyai, ada rasa berbaur yang menyelinap masuk, pantas mengusik emosi rapuhku.

 

Empat

Doaku moga dikau temui insan terbaik buat menghiasi kamar hidupmu.”

Khidmat pesanan ringkas terakhir yang diutus sebelum kepulangannya ke tanahair kembali bertandang di relung ingatan. Hadir bersama hembusan bayu dingin Sungai Yarra, tempat pertama kali pesanan itu kutatap. Pedihnya! Dia telah pergi. Dan doanya masih tergantung di situ. Sedang aku terus sendiri di sini menanti insan ‘thiqah’, buat  menyunting kuntum bunga di taman yang kian merekah.

****************************************************************************************************************

*Sayonara = Selamat tinggal

*Down Under = Nama jolokan/gelaran yang diberikan kepada negara Australia

*Thiqah = Dipercayai

 

Nukilan hati,

.

Saudara Muhammad Lukman Al Hakim bin Muhammad
Presiden PEMBINA Cawangan Melaka.

Hijrah Terakhir: Episod Satu

December 31, 2008 by admin  
Filed under Cerpeneka, Kafe Cinta

 

Lontaran suaranya lembut beralun, tersulam cantik dan beralas namun sesekali bagai dilambung tegasnya. Memanah jiwa, terus menderap kejap ke tempurung akal para hadirin yang membanjiri ruang solat Masjid Al-Ikhwan. Tuturnya melantunkan lagu keinsafan dan ritma penuh keimanan. Seperti tidak pernah bait-bait nasihat seumpama ini menyapa gegendang telingaku. Ya, unik dan tersendiri. Serba rinci dan penuh informasi. Kalimah ayat-ayat suci dan hadith Nabi yang melatari begitu fasih dan bersahaja diungkapkan, projeksi keluasan gudang ilmunya. Diksi serta ekspresi yang ditabur sepatah demi sepatah menggoncang pintu hati, menguak jendela pemikiran. Sekali dan abadi.

Penggarapan nilai praktikal dari peristiwa hijrah Nabi yang mulia harus kita cernakan lumat-lumat. Inilah peristiwa agung yang disusun Allah untuk mentarbiah kita tentang makna sebenar hijrah.” Bergema suaranya ke segenap ruang solat masjid.

.

Bukannya saya mengajak kalian semua bersama-sama menaiki unta berpindah dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu!” Sesekali terpancul dekah ketawa di celah bernas senda dan pintar jenakanya.

Hijrah dalam realiti kita hari ini berbeza. Hijrah ke arah kemantapan akidah, kesahihan ibadah serta kekukuhan akhlak. Menuntut penambahbaikan untuk memartabatkan panji Ilahi, lantas mengucap ’sayonara’ kepada karat-karat jahiliah. Itu yang kita mahu.” Padat inti katanya.

Ceramah sempena sambutan Awal Muharram 1430H dan Tahun Baru 2009 ini sememangnya berbeza dan sarat dengan intipati penuh makna.

Dari balik tabir yang memisahkan antara ruang solat lelaki dan wanita, sekilas sempat aku melempar pandang si empunya suara. Dari pandangan sisi, tampak tampan dan kemas. Ada satu sinar dari air mukanya yang jernih. Sebaik sahaja dia menoleh, Read more

Ankahtukaha…qabiltunikahaha’…

December 17, 2008 by admin  
Filed under Kafe Cinta

11.12.2008 ! Genap 4 tahun Umm Wafa & Abu Wafa’ melayari hidup bersama. Tentunya terlalu banyak perkara utk dikongsikan tika mana satu persatu ukhti dan akh bertanya..

‘bg lah tips sikit..esok nak akad nie..huhu’
‘camne nie..sgt cuak…’
‘alamak..takde perasaan la..normal ke…apa pesanan?’

Musim walimah tiba lagi dan perkongsian ini diharap memberi manfaat pada yang membaca..

Semoga saudara dan saudari yang menghitung hari.. atau baru beberapa hari..atau jam..atau telah mula berdayung ke syurga sentiasa dalam redhaNya..moga sama-sama mengambil peringatan dan juga senantiasa bersedia atas segala kemungkinan dariNya…

.

Rumahtangga pendakwah Muslim tidak harus kaku dan beku. Ia seharusnya diwarnai dengan Read more