Belajar Dari Anak Kecil

June 24, 2010 by admin  
Filed under Dari Meja Editor

“Mi, nape gal yah?” seru anak sulung saya pagi tadi. (Ummi, kenapa tinggalkan Safiyyah?)

Tergamam saya seketika. Saban hari, umminya terpaksa memecut ke tempat kerja yang terletak kira-kira 37km seawal pagi. Mengejutkan anak kecil tika ayam masih mamai-mamai melagukan kokoknya sepertinya kurang belas ihsan. Justeru, Safiyyah yang masih nyenyak kepenatan terpaksa ditinggalkan dengan mimpi indahnya. Cuma kali ini lain responsnya.

Umurnya yang belum sampai 3 tahun sudah mengerti jatidiri kemanusiaan. Saya lantas berdo’a agar zuriat saya ini bisa membesar dengan misi yang kental menjadi barisan pejuang untuk agamanya.

Barangkali, bisa sahaja saya nukilkan dari kisah ini pertanyaan tentang apakah yang menyebabkan insan yang sudah akil baligh, sempurna didikan akalnya mampu melakukan perkara di luar norma kemanusiaan sedangkan anak kecil ini… Hmm.. tentang pelbagai hakikat jahiliyah alaf baru saban waktu meniti bibir. Namun, saya kira para pembaca sudah begitu arif.

Mari saya ketengahkan tentang satu sisi bicara yang lain.

Terkadang kita terlepas pandang kebolehan anak kecil menangkap pelbagai kosa kata, imej, bunyi, lagak gaya dan semacamnya dari pelbagai tontonan dan pendengaran harian mereka. SubhanAllah. Saya pun tidak sedar bila masa saya dan umminya mengajarkan seni hati merasa kesedihan ditinggalkan oleh orang tersayang.

Justeru, saya daftarkan beberapa percubaan memahami aneka ragam anak kecil dan pengajaran yang boleh kita ambil (jika kita mahu)

Buat Ibu Bapa (Atau bakal ..)

  • Pelihara tingkah laku, percakapan dan apa sekalipun kerana kita tidak betah mengetahui sejauh mana ianya mampu mempengaruhi anak-anak comel ini.
  • Kembangkan potensi mereka agar mewarisi segenap perkara positif yang ada di muka bumi.
  • Letakkan anak-anak dalam situasi dan suasana sesoleh mungkin. Pasangkan irama kalamullah. Ajarkan cerita-cerita  perjuangan. Para sahabat bercerita perihal Jihad dan Perang pada anak-anak mereka!

Yang lebih penting: Pengajaran buat para dai’e

  • Jadilah anak kecil. Mereka memposisikan diri menjadi orang yang tidak tahu tapi penuh dengan semangat inkuiri. Natijahnya, mereka rakus dengan ilmu baru. Senantiasa cuba belajar memperbaiki diri. Kita.. datang usrah/halaqah/kuliah untuk apa? Membesarkan kepala dengan ilmu-ilmu baru lantas tertidur dek beratnya timbunan dalam kepala?
  • Tirulah anak kecil ini. Mereka lantas tangkas mempraktikkan apa yang baru dipelajari. Kita bagaimana? Sudah ditegur para murobbi/naqib/guru tentang akhlak yang masih ditakuk lama tapi enggan berganjak. Karat jahiliyah yang semakin tebal tompokannya. Sudah-sudahlah. Esok belum tentu ada!
  • Belajarlah dari jatidiri si anak kecil. Dari tahu kepada mahu. Dari kognitif kepada psiko-moto. Dari pengetahuan kepada tingkahlaku. Dan si kecil menghayati dan menterjemahkan semuanya dengan hati yang tulus. Lantas, ia ’sampai’, mencuit dan menerbitkan reaksi balas orang sekitar.

Ayuh. Masa semakin suntuk untuk menjadi si anak kecil!

Nukilan,
Abu Khairah
Editor PEMBINAmelaka.com

KASBI 09: Buat mereka yang mahu berfikir…

January 2, 2010 by ummu wafa  
Filed under Dari Meja Editor

Bismillahi Walhamdulillah …

Rafak takzim buat Tuhan pemilik jiwa ini. Salam selawat buat Baginda junjungan SAW.

Kesibukan yang memakan tenaga dan masa. Sudah lama ingin menukilkan sedikit perkongsian pengalaman. Ceritera anak muda yang sudah lama tidak mengenakan but emasnya. Perjalanan hidup yang panjang ini pasti menemukan kita dengan tetingkap yang senantiasa terbuka dengan ma’nawi (makna-makna) tarbiyyah. Ianya adalah kesempatan yang diberikan buat diri ini mengutip sedikit pemerhatian untuk dikongsikan atau setidaknya untuk bekalan diri menempuh liku dakwah yang panjang. Berikut merupakan sedikit analisa picisan yang telah saya tuliskan sehabisnya Karnival Sukan Belia Nasional 2009 (KASBI 09). Dimurnikan sedikit ayatnya untuk tatapan umum.

KASBI-09-10

KASBI 09 yang penuh warna-warni menutup tirai dengan pelbagai pengajaran bagi mereka yang tidak pernah jemu mengutip mutiara hidup untuk bekalan di hari mendatang. Alhamdulillah, saya diamanahkan membawa pergi dan pulang panji Kontinjen Melaka. Mungkinnya cabaran yang terhidang banyak kurangnya dari pemegang panji badar. Namun, cukuplah untuk saya rasakan ianya suatu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh jiddiyah dan rasa ketaqwaan. Alhamdulillah, Kontinjen Melaka pulang dengan 3 kejuaraan di samping kenangan manis yang pelbagai.

Mari kita lihat sejenak apa yang berlaku di sebalik kejayaan merangkul Kejuaraan Kesuluruhan KASBI 2009.

Petronas TA – Blessing in Disguise?

Petronas memasuki fasa yang mereka berikan gelaran Turnaround atau ringkasnya TA. Kebanyakan AJK PEMBINA Melaka merupakan Jurutera yang terlibat. Kerja setiap hari selama 12 jam samada shift malam ataupun siang. Dengan hampir lebih separuh tenaga AJK PEMBINA terguna di lapangan kerja, ahli mesyuarat PEMBINA Melaka hampir-hampir tidak tahu sejauh mana kekuatan kontinjen dengan senarai para pemain kelihatan samar-samar. Pasukan apa yang ingin dihantar pun masih tidak tahu.

Kelibat pertahanan kental seperti Bro. Sa ni dan Harris, midfield libero seperti Lukman, Syidi dan Aizat serta yang lain-lainnya memakai baju kuning PETRONAS kelihatan tidak sedikitpun membantu persiapan kontinjen Melaka untuk ke KASBI kali ini.

Namun begitu, sedikit tazkirah yang tidak juga sedikit pengajarannya, mungkin sekiranya TA tidak berlaku, mereka ini akan pakat bermain sama dan kontinjen Melaka tidak pulang dengan apa-apa pingat? Sedikit sarcasm, namun mari kita imbas secara kritis. Di sini kita belajar sesuatu…

Dakwah dan Penggarapan Umum.

Kita memerlukan massa (samada faham kepentingan dakwah mahupun tidak) untuk turut meyokong arus hidup beragama yang kita impikan. Keluar dari kotak fikir ekslusif bukan suatu yang mudah tapi perlu diusahakan.

Sepertimana tulisan terbaru Saudara SUA ISMA, akhi Aminuddin perihal mencipta krisis, tidak dinafikan kepadatan aktiviti dengan penggunaan tenaga yang hampir optima serta TA telah mencipta ruang untuk AJK PEMBINAmelaka bertindak balas secara kreatif dan kritis. DI sinilah kita belajar praktikum dan aplikasi penggarapan umum dalam dakwah.

Membaca cerita Saudari Usu dan kontinjen wanita tentang penggarapan umum dengan masyakarat bola jaring setempat dan melihat sendiri mereka turun sama turun padang menghulur sumbangan di KASBI merupakan bukti bagaimana dakwah seharusnya menempatkan diri dalam susuk tubuh masyarakat itu sendiri. Begitu juga bagaimana ceritera anak-anak muda Taman Bukit Rambai dikumpulkan dan mampu mendengar arahan dan dorongan Ustadz Afif.

Mereka orang yang mungkin hanya mahu bersukan. Namun, kita bertanggungjawab untuk  mencorak dan menyuntik semangat kesukanan ala Islami. Mempertontonkan bahawa di sana adanya masyarakat Islam yang prihatin hal kesukanan. Kita sendiri yang mungkin sesekali menunaikan hak kewajipan badan pastinya tidak sehebat mereka. Mungkin kita pakar dalam perihal baikpulih mesin, penyelidikan, pengucapan umum dan sebagainya, kita harus akur bahawa merekalah yang lebih ahli dalam hal kesukanan. Teringat bilamana makcik makcik ini menyuarakan kepelikan mereka,

“Depa ini main netball bertudung labuh tak rimas ke?”

“Dah biasa kot..” rakannya laju membalas..

“A aa..” balas seorang akhowat mengiyakan.

Ayuh, Kita Cipta Ruang !

Pasukan dari daerah lain mungkin masih menggunakan ahli-ahli dalam takungan untuk mewakili kontinjen mereka. Maka, di sinilah kelebihan Melaka yang harus kita kongsikan bersama rakan-rakan dari negeri lain. Begitu juga saya lihat tikamana kami diperkotak-katikkan oleh Naib Johan dari Kedah yang rata-ratanya pakcik-pakcik yang mungkin merupakan kenalan ikhwah di sana. Anekdot yang saya ingin bawa untuk difikir di sini ialah perihal mengolah sisi upaya masyarakat pada kadar yang setara keupayaan mereka mampu menolak dan melonjak dakwah dengan lebih berkesan.

Akhirnya nama Melaka harum. Sesekali kita tidak lupakan bahawa ia adalah hasil bantuan umum. Kita sendirian pasti mengambil masa yang lama malah mungkin terkubur jika masih berlegar dalam ruang ekslusif. Memandu kerjasama dan hubungan erat dengan massa pasti akan mendatangkan hasil positif dalam dakwah yang ingin kita bawa. Berdikit tapi jelas halatujunya.

Begitulah sedikit analisa picisan yang dapat saya rungkaikan dari observasi. Sedikit buah tangan untuk kita fikirkan bersama. Menggarap dan menggerakkan massa seramai mungkin adalah agenda dalam langkahan amal yang perlu kita ambil kira. Relevansi kita adalah sejauh mana kita mampu melakar perilaku umum mengikut rentak yang diajari Islam.

Melaka, ayuh kita kekalkan rentak ini. Terus maju ke hadapan!

Allahu’alam

Disediakan oleh:
Saudara Khair Razlan Othman,
Ketua Editor,
Sidang Redaksi PEMBINA Melaka.
http://ibnukhair.wordpress.com

P/S: Kepada ikhwah PETRONAS yang dikasihi, kami merindui kelibat antum di atas padang… lontaran idea tidak sesekali memperkecilkan kebolehan ikhwah. Ianya adalah untuk sesama kita ambil iktibar dari sisi pandang yang lebih kritis tanpa sedikitpun mencalarkan kredibiliti ikhwah yang memang semuanya hebat dalam apa jua lapangan ;P…

Mujahadah: Akhlak atau hanya retorik berkala ?

February 4, 2009 by admin  
Filed under Dari Meja Editor

Sketsa 1: Si budak comel

Safiyyah nak pi school dak? Jom kita pakai shoes” ajak saya buat anak comel yang seorang itu di pagi Isnin yang indah.

Bingkas terus si Safiyyah bangkit dari duduk dengan tangan mengenggam erat segumpal kismis yang dibekalkan. Terhoyong ke kanan dan ke kiri mengatur langkah kecil. Seketika masuk ke ruang tamu terus diacahnya kerusi ala jepun. Minta didudukkan. Senang pakai shoes agaknya. Sudahnya, kakinya digoyang sambil mengacu untuk disuakan sepasang kasut merah.

safiyyah-tadika

Semangat si budak comel untuk menyambung sessi pra-tabikanya…

 

 

Sketsa 2: Zaman Awal Kanak-Kanak

Mak, mana pensil box angah ye, angah dah isi barang-barang baru tadi malam tu“, jerit saya pagi itu.

Hari pertama sekolah. Melangkah masuk ke darjah 6 Kuning dengan semangat yang senantiasa mekar membara. Semangat yang tidak pernah pudar sejak kali pertama melangkah ke sekolah usang itu 5 tahun yang lalu. Barangkali semangat seorang yang tidak pernah Read more

Eid Mubarak 1429 Hijriyah.

December 7, 2008 by admin  
Filed under Dari Meja Editor

LabbaikAllahumma Labbaik !!

Hari ini, barisan jemaah haji menyahut panggilan Allah SWT, menunaikan wukuf di padang Arafah, salah satu rukun ibadah haji yang mana jika tidak dapat dilaksanakan, makanya sia-sialah akan keberangkatan mereka ke tanah suci pada tahun itu. Amalan memperbanyakkan zikrullah dan memohon keampunan daripada Yang Maha Pencipta terutamanya pada hari ini dan kemudiannya pada hari tasyrik banyak kedapatan dan telah juga disebut dalam Al-Quran,

Maka apabila kamu telah bertolak dari Arafah, berzikirlah kepada Allah di Masy’arilharam. Dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah sebagaimana yang ditunjukkan-Nya kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu benar-benar termasuk orang-orang yang sesat. Kemudian bertolaklah kamu dari tempat bertolaknya orang-orang banyak (Arafah) dan mohonlah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [2:198-199]

.

Bicara tentang Eid Adha pastinya tidak pernah melepaskan kita untuk turut mengenang kisah kurban dan pengorbanan dua insan mulia, Ibrahim dan Ismail alaihissalam. Akan pasti terngiang di Read more

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim

August 15, 2008 by admin  
Filed under Dari Meja Editor

bismillah

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat pemimpin ummah yang ulung, Muhammad SAW. Seterusnya dipanjatkan do’a buat para Sahabah R.A, golongan anbiya’, salafussoleh serta pengikut-pengikut manhaj ini sehngga ke hari kiamat kelak.

Alhamdulillah. Lafaz kesyukuran yang sepatutnya senantiasa bermain dibibir mereka yang dikurniakan anugerah iman dan Islam yang tidak terhingga ini. Alhamdulillah, buat pertama dan kesekian kalinya, PEMBINA Melaka merafaqkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, yang dengan limpah kurnia dan inayahnya mengizinkan dakwah Islamiyah yang suci ini terus maju ke hadapan.

Persatuan Belia Islam Nasional atau ringkasnya PEMBINA cawangan Melaka sudah lama bergiat aktif dalam merencanakan agenda kebangkitan ummah. Dengan golongan belia Muslim menjadi sasaran, PEMBINA telahpun setakat ini menjayakan pelbagai aktiviti ke arah menggerakkan golongan belia agar memahami Islam sebagai satu konteks kehidupan yang syumul. Dari perkelahan di tepi pantai ke aktiviti panjat gunung, dari kelincahan beraksi di atas padang futsal kepada ketekunan menuntut ilmu di bilik seminar, aktiviti seperti ini diharapkan mampu memberikan impak yang berterusan di dalam proses memperbaiki keperibadian golongan belia yang seterusnya kami yakini bakal menjadi tunjang survival ummah ini.

Justeru, lahirnya PEMBINA Melaka ke alam maya ini diharapkan bukan sekadar menyerikan pentas dakwah malahan mampu memimpin golongan belia untuk lebih deras dan pro-aktif dalam meneroka pendekatan dan metodologi dakwah yang pelbagai. Laman sesawang ini bakal memuatkan pelbagai santapan rohani, thaqafah Islamiyah, hebahan dan laporan aktiviti terkini serta perkongsian pelbagai cabang keilmuan sebagai antara alat pelengkap wasail tarbiyah dewasa ini.

Sidang redaksi mengharapkan sambutan yang menggalakkan dari pelbagai lapisan pembaca samada ahli atau bukan ahli, tua atau muda untuk turut sama memerah keringat di medan. Sebarang teguran, saranan, perkongsian bahan bolehlah diajukan kepada sidang redaksi PEMBINA Melaka di talian e-mail, pembina.melaka [at] gmail.com.

Sebagai kalam akhir, bagi pihak editorial PEMBINA Melaka, kami memanjatkan do’a agar usaha kami yang sedikit ini mampu melonjakkan amal dakwah ini ke fasa yang lebih baik. Do’a kami agar kami senantiasa dikurniakan kekuatan untuk terus mengesani masyarakat dan mudah-mudahan usaha ini diberikan ganjaran yang setimpal di hari konvokesyen kelak.

Allahu al-Musta’an

.

Saudara Khair Razlan Othman,
Ketua Editor,
Sidang Editorial PEMBINAmelaka.com
em>