Pemuda dan Sejarah Dunia!

Posted on August 19, 2011 by aizam

Belia aset negara. Belia harapan bangsa. Belia pembela agama. Itu antara beberapa ungkapan-ungkapan yang biasa kita dengar. Mengapa belia selalu dikaitkan dengan perkara-perkara yang besar dan hebat? Kira-kira 15.1 juta daripada 27.8 juta rakyat Malaysia merupakan belia yang berumur di antara 16-40 tahun. Manakala berdasarkan Population Referrence Bureau lebih 1.2 billion penduduk dunia adalah merupakan mereka yang berumur di antara 15-24 tahun.

Jumlah di atas amat signifikan bilamana belia sentiasa dikaitkan dengan peranan-peranan yang besar. Peranan yang menjadi penentu kepada jatuh bangunnya kekuatan sesebuah kemajuan, kejayaan malah ketamadunan. Bukan sahaja jumlahnya yang begitu ramai, malah lingkungan umur ini merupakan satu peringkat di mana manusia berada pada tahap paling optimum tanaga mereka. Tenaga yang bila diterjemahkan dalam bentuk kekuatan BEKERJA, BERAMAL, BERUSAHA maka tidak ada apa yang mereka tidak mampu lakukan.

Sepanjang sejarah dunia, telah diperlihatkan begitu banyak sekali peristiwa besar dunia yang melibatkan belia.  Peristiwa-peristiwa yang mengubah halatuju sesebuah negara, yang menjatuhkan kekuasaan kezaliman pemerintahan sesebuah kerajaan, malah lebih lebih besar dari itu,  tersebarnya Islam ke seluruh dunia adalah merupakan peranan belia, peranan PEMUDA! Sehinggalah Islam menjadi sebuah tamadun dunia yang begitu dikagumi dan menjadi rujukan dunia pada ketika itu di bawah kerajaan Abbasiyyah yang menaungi 2/3 dunia.

Nama-nama seperti Saad bin Abi Waqas, Khalid Al-Walid, Solahuddin Al-Ayubi, Sultan Muhammad Al-Fateh, Tariq bin Ziyad dan ramai lagi adalah merupakan pemuda-pemuda di zaman itu yang menyerahkan segala masa, tenaga dan harta mereka semata-mata untuk melihat Islam di junjung tinggi. Di mana bumi mereka berpijak, di situ akan mereka pastikan Islam menaungi kehidupan manusia. Sehinggakan sejarawan-sejarawan barat begitu mengkagumi strategi-strategi peperangan tentera-tentera Islam di bawah pimpinan PEMUDA! Masakan kapal laut di bawa merentasi bukit sehingga tertawannya Kostantinonpel di bawah pimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh. Strategi seorang PEMUDA!

Persoalannya, sistem pendidikan apakah yang telah melahirkan pemuda-pemuda seperti ini? Apakah yang telah di ajarkan kepada pemuda-pemuda ini sehingga dunia ditakluki mereka?

Sudah pasti kalimah tauhid “La ila ha’ illallah, muhammadurrasulullah”. Kejelasan padangan hidup menjadikan pemuda-pemuda ini jelas ke mana akhirnya kehidupan mereka. Mereka memahami dengan penuh keyakinan akan peranan mereka di ciptakan Al-Khaliq di muka bumi ini. Kejelasan, keyakinan, dan kesungguhan yang ada pada mereka menjadi generasi itu amat istimewa. Generasi yang begitu dekat dengan Al-Quran. Generasi yang amat mencintai Allah dan Rasul lebih dari segala isi dunia dan alam ini. Hidup memburu syahid.

Maka, marilah generasi PEMUDA yang ada pada hari ini, untuk kita bina kembali kekuatan itu pada generasi kita. Mari kita kembalikan Al-Quran dalam segenap urusan kehidupan kita. Mari kita hidupkan semangat jihad yang tinggi dalam jiwa-jiwa pemuda agar tidak terus lesu dan leka dengan khayalan-khayalan dunia semantara ini. Hiburan, kemewahan, keseronokan yang bersifat sementara perlu kita kikis sedikt demi sedikit dan kita ganti dengan kualiti yang ada pada generasi PEMUDA terdahulu.

Ayuh para PEMUDA! Kita bina kekuatan diri. Kita bina kembali jiwa-jiwa lesu agar hidup memberi erti!

Sidang Editor

PEMBINA MELAKA.

Leave a Reply