Tuesday , 29 July 2014
Berita Terkini
Home » Dari Meja Editor » Kalam Pengerusi Pembina Melaka » Komunikasi dan Sosial: Barat vs Timur

Komunikasi dan Sosial: Barat vs Timur

Pengalaman hidup dan berinteraksi dengan masyarakat Barat ketika zaman belajar mahupun ketika bekerja pasti memberikan pengalaman yang cukup berharga bagi setiap individu. Rentetan pengalaman tersebut mampu memecahkan tembok pemikiran serta budaya stereotaip bagi seorang individu berbangsa Melayu dan beragama Islam seperti kebanyakan dari kita. Rata-rata bagi yang pernah mendepani pengalaman serupa pasti akan bersetuju bahawa terdapat jurang yang agak besar antara budaya Timur dan Barat dalam segenap aspek kehidupan. Tanpa menafikan pelbagai kelebihan budaya ketimuran yang terkenal dengan kelembutan dan tatasusila, tidak salah juga rasanya kita menangguk anasir-anasir baik yang begitu sinonim dengan budaya Barat bagi menambahbaik kualiti serta daya saing bangsa Timur terutamanya bangsa Melayu di Malaysia. Fokus yang ingin saya ketarakan dalam penulisan kali ini ialah aspek komunikasi dan sosial:

 
1.      Antara jelas dan berkias
 
Ilmu psikologi menyebut perbezaan ini sebagai ‘low context cultures’ dan ‘high context cultures’. Masyarakat Barat tidak menitikberatkan konteks dalam komunikasi mereka berbanding masyarakat Timur yang sangat terkenal dengan pelbagai pantang larang dan formaliti walau dalam sekecil-kecil perkara sekalipun. Mementingkan lambang verbal atau isi perbicaraan ketika berkomunikasi menjadikan masyarakat Barat sangat berterus-terang dan jelas dalam menyampaikan mesej. Hal ini sangat bertentangan dengan budaya masyarakat Timur yang menitikberatkan lambang-lambang tidak verbal dalam komunikasi, kadangkala secara keterlaluan sehingga mengundang pelbagai komplikasi. Menyampaikan sesuatu mesej yang ringkas dan mudah akhirnya menjadi sukar disebabkan faktor menghormati status si pendengar, meraikan masa dan lokasi perbualan berlaku, menjaga hati dan perasaan khalayak serta banyak penilaian-penilaian lain yang perlu diambil kira dalam budaya ketimuran. Kiasan menjadi dominan sehingga menenggelamkan intipati mesej yang ingin disampaikan.
 
Maka tidak hairanlah mesyuarat dalam syarikat-syarikat korporat terkemuka Barat berjalan dengan sangat ringkas, padat dan tepat. Manakala di syarikat-syarikat Timur termasuk di tempat saya bekerja, mesyuarat yang mudah mengambil masa berjam-jam, kadangkala berlarutan tak berkesudahan tanpa keputusan atau resolusi yang meyakinkan.
 
Jika tidak berpuas hati terhadap sesuatu atau ada idea yang ingin diutarakan, masyarakat Barat akan lantas berterus terang. Mereka akan berbincang secara matang dan mengharmonikan kembali suasana. Sebaliknya orang Timur terutamanya bangsa Melayu biasanya hanya akan diam memendam rasa tapi api kemarahannya akan disimpan dan diwariskan sehingga tujuh keturunan!
 
2.      Antara formaliti dan rendah hati
 
Dalam ‘low context cultures’ juga, status dan pangkat tidak menjadi keutamaan. Majikan tidak lebih mulia atau berkedudukan melainkan hanya dalam susun atur teknikal organisasi sahaja. Formaliti tidak ditekankan. Ketika saya belajar dahulu, rakan sekelas hanya memanggil profesor yang mengajar kami dengan namanya sahaja, bukannya ’Prof’, ’Dr’ atau sekurang-kurangnya ’Sir’.
 
Budaya tersebut mencerna kemesraan dan menutup jurang perbezaan tanpa berlaku penghakisan rasa hormat terhadap individu yang berstatus lebih tinggi. Yang lebih menarik, mereka yang berkedudukan dan berstatus juga tidak meninggi diri dan hidup dalam kelas elit yang terpisah dari masyarakat akar umbi. Sebagai contoh, seorang timbalan dekan fakulti hanya berbasikal dengan memakai seluar pendek paras lutut ke tempat kerja.
 
Begitu juga dalam majlis-majlis rasmi, pengacara majlis tidak menyebut nama seorang demi seorang tetamu kehormat yang hadir lengkap beserta pangkat serta darjah kebesaran mengikut susunan keutamaan, tetapi hanya disapa sebagai ’ladies and gentleman’. Sebagai perbandingan, majlis ringkas di surau taman perumahan di negara kita, mungkin memerlukan sekurang-kurangnya 5 minit untuk menepati protokol bagi menyebut nama dan meraikan tetamu kehormat yang hadir.
 
Formaliti sememangnya perlu sebagai asas susun atur dan tulang belakang kepada kerangka perhubungan masyarakat, namun jika terlalu diberat-beratkan akan menatijahkan hubungan yang kering, jurang status sosial yang besar serta pelbagai protokol kompleks untuk menyelesaikan sesuatu yang mudah
 
 
3.      Antara sapa dan lupa 
 
Di negara-negara Barat, ke mana sahaja anda pergi anda pasti akan disapa mesra oleh pemandu bas, tuan kedai, jurujual serta penjaga kaunter samada di lapangan terbang, stesen keretapi, hotel, pusat membeli belah, pejabat-pejabat kerajaan mahupun syarikat-syarikat swasta. Mereka juga akan bertanya khabar dan berkenalan walaupun dengan individu yang tidak pernah dikenali. Situasi sebegini amat sukar untuk ditemui di bandar-bandar besar di Malaysia kecuali di premis-premis 7-Eleven serata negara.
 
Adakah kita telah lupa bahawa masyarakat Melayulah yang sebenarnya tersohor dengan adap sopan dan tatasusila yang halus berbanding masyarakat Barat yang lebih dominan dengan sifat individualistik.
 
Pemerhatian dan kajian menunjukkan budaya menegur sapa, memberi salam, berjabat tangan dan bertanya khabar di kalangan masyarakat Melayu sudah semakin terhakis, kalau masih subur pun hanya dikalangan generasi tua di kampung. Senario-senario seperti orang muda yang membongkokkan badan apabila melintas di hadapan orang yang lebih tua, menutup mulut ketika ketawa serta pemakaian dan pergaulan sopan anak-anak gadis sudah semakin luntur dan hilang ditelan zaman
 
Sudah tentu kita telah terbiasa dengan fenomena seperti duduk bersebelahan di dalam bas sepanjang perjalanan 5 jam tanpa saling menyapa dan bertanya khabar. Ataupun orang akan mengangkat kening dan memandang pelik tindakan kita memberi salam dan bertanya khabar kepada individu yang baru kita temui di dalam komuter.
 
Adakah terlalu sukar untuk kita melafazkan salam dan perkataan ‘Apa khabar?’ atau ‘Amacam?’
 
Atau sekurang-kurangnya sekadar melempar senyum!
 
 
 
 
4.      Antara semangat ingin tahu dan kepatuhan melulu
 
Sesetengah pendapat mengatakan akibat terlalu lama dijajah bangsa asing, masyarakat Timur menjadi rendah keyakinan diri, kurang proaktif, rendah semangat ingin tahu serta sering tunduk dan patuh tanpa banyak soal dan bantahan. Manakala masyarakat Barat sangat tinggi semangat ingin tahu, begitu agresif dan bertenaga, kritis serta lebih kreatif.
 
Pada perkiraan saya, faktor sejarah ada impaknya kepada jatidiri sesuatu bangsa. Namun, apa yang lebih penting ialah sistem pendidikan serta budaya masyarakat semasa yang membentuk cara pembawakan dominan dalam sesuatu komuniti. Sebagai contoh sistem pendidikan awal kanak-kanak yang terlalu mementingkan aspek akademik, budaya menerima tanpa mempertikai, interaksi sosial yang sempit dan longgar pastinya akan melahirkan generasi yang introvert, malu tidak bertempat, tidak kompetitif dan jumud.
 
Sebaliknya di negara-negara Barat, sistem pendidikan kanak-kanaknya ternyata berbeza dan memberikan penekanan terhadap aspek pembinaan karakter dan kemahiran berbanding akademik.
 
Saya pernah berhadapan dengan situasi di mana seorang kanak-kanak Inggeris berusia 4 tahun bertanya pelbagai soalan kepada ayahnya sepanjang perjalanan selama sejam di dalam keretapi. Sang ayah menjawab satu persatu soalan dengan penuh sabar dan sesekali bertanya kembali untuk menguji anaknya. Interaksi sebegitu pastinya akan mencambah semangat ingin tahu anak-anak serta membina daya keyakinan diri dan kesedaran sosial yang mapan. Dan kisah sebegini bukanlah perkara terpencil dalam masyarakat Barat. Melalui pemerhatian saya juga, rata-rata para pelajar mahupun pekerja dari Barat memiliki tulisan tangan yang tidak kemas berbanding kebanyakan warganegara Malaysia, tetapi mereka jauh lebih terkehadapan dari segi pengucapan awam dan pertuturan.
 
Adakah sistem pendidikan awal kita terlalu menekankan aspek tulisan yang cantik dan kemas sehingga meminggirkan pembinaan kemahiran yang lebih penting? Dan akhirnya kita menggunakan komputer untuk menyiapkan segala tugasan akademik mahupun kerja-kerja di pejabat ketika memasuki alam pekerjaan.
 
5.      Antara ketepatan masa dan kepenatan menunggu masa
 
Aspek ketepatan masa mungkin lebih tepat ditujukan kepada bangsa Melayu kerana bangsa Jepun yang juga merupakan bangsa Timur tidak pula menghadapi masalah ini. Seriusnya masalah yang melanda bangsa Melayu ini sehingga lahir terminologi ’janji melayu’ yang merujuk kepada budaya masyarakat Melayu yang tidak menepati masa dan memandang enteng ketepatan temujanji. Manakala di Indonesia pula, istilah ’jam karet’ sangat terkenal dan merujuk kepada budaya masyarakat yang sangat anjal dalam pengurusan masa dan penetapan temujanji. Dalam ilmu psikologi, ia diistilahkan sebagai ’polychronic time’.
 
Dalam satu latihan yang saya hadiri di Malaysia yang dikendalikan oleh seorang jurutera pakar dari Amerika Syarikat, beliau menyatakan rasa hairan beliau apabila kelas yang sepatutnya bermula jam 9 pagi terpaksa bermula lambat setiap hari disebabkan kelewatan para peserta. Saya terfikir jika di kalangan para pekerja berkemahiran tinggi profesional yang sebahagiannya menerima pendidikan di negara Barat pun masih sangat lemah dalam pengurusan masa, apatah lagi kumpulan masyarakat Malaysia yang lain. Lebih malang, individu yang berdisiplin dan menepati masa akan terasa rugi kerana penat menunggu setiap kali tiba awal dan akhirnya akan mengikut jejak langkah majoriti yang lewat.
 
Lihatlah kepada masyarakat Barat yang sangat terkenal dengan budaya ’monochronic time’. Ketepatan masa diambil berat bukan sahaja dalam skala individu, namun seluruh sistem dan jentera kehidupan mereka menghormati masa dan sangat serius dalam pengurusannya. Bahkan pemandu bas juga sangat menghormati masa dan akan memastikan perjalanan bermula tepat seperti yang dijadualkan.
 
Secara kesimpulan, jurang yang besar antara budaya Barat dan Timur dalam aspek komunikasi dan sosial adalah natijah sejarah ketamadunan, latarbelakang masyarakat serta sistem kehidupan dan nilai semasa yang digunapakai. Namun itu tidak bermakna kita harus pasrah dengan ketentuan takdir dan terus berada dalam kepompong kemunduran dan kelemahan. Masyarakat Timur terutamanya komuniti Melayu di Malaysia mahu tidak mahu perlu melakukan anjakan paradigma, reformasi sikap, membaiki kelemahan jatidiri serta memupuk nilai-nilai positif dalam pembentukan sebuah bangsa yang bertamadun. Ianya harus bermula dari rumah atau institusi keluarga sebagai universiti pertama setiap individu. Seterusnya jika disokong oleh sistem pendidikan dan perhubungan sosial masyarakat yang sihat, pasti akan tercipta perubahan positif yang didambakan.
 
Contoh terbaik buat teladan kita sepanjang zaman ialah budaya serta cara hidup Islam yang menjadi tunjang kejayaan generasi Muslim pertama di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w. Jika diperhatikan dengan penuh teliti dan waras, semua aspek positif yang dimiliki oleh bangsa Barat yang diterangkan di atas merupakan intipati ajaran agama Islam itu sendiri. Ironiknya, karakter kekuatan ini dipandang sepi oleh umat Islam sendiri. Selaklah kitab suci Al-Quran serta jenguklah himpunan hadith Rasulullah s.a.w, pasti akan kita temui ajaran juga saranan supaya umat Islam berkata benar, rendah diri dan menghormati setiap kelompok masyarakat, mesra, sentiasa berfikir dan kritis, bersifat proaktif serta menghormati masa.
 
Saranan saya ialah supaya kita duduk sejenak mengoreksi diri dan kembali kepada ajaran Islam yang kita imani. Islam bukan semata-mata agama ritual yang bermain dengan teori, sebaliknya merupakan cara hidup yang praktikal dan serba lengkap dalam membimbing manusia kepada kegemilangan dunia dan akhirat. Bangsa Timur terutamanya Melayu pasti akan menjadi hebat serta dihormati jika berpegang kukuh dengan ajaran dan lunas-lunas Islam yang sebenar, sebagaimana kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a ”Kita (Quraisy) dahulu adalah satu bangsa yang lemah dan hina, kemudian Allah telah memuliakan kita dengan Islam. Jika pada hari ini kita mencari kemuliaan selain dengan Islam, pasti Allah akan mengembalikan kita ke lembah kehinaan”
 
Persoalannya bukan Barat atau Timur. Tetapi Islam atau selainnya?
 
      
Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad
Penulis merupakan lulusan Sarjana Muda dalam bidang Electrical and Electronic Engineering (Communication) dari University of Melbourne , Australia . Kini bertugas sebagai Jurutera Instrumentasi dan Kawalan, PETRONAS dan merupakan Pengerusi, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Melaka. Beliau boleh dihubungi di al_hakimm@yahoo.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top