JooM 2011 Dapat Sambutan Hebat

Posted on April 8, 2011 by ummu wafa

3 April, Melaka – Masjid Alami yang terletak di MITC Melaka, bertuah kerana dipilih menjadi destinasi pertama kunjungan peserta Jelajah Motosikal Melaka (JooM) 2011 anjuran Persatuan Belia Islam Nasional, baru-baru ini.

Keunikan Masjid tersebut menjadi tumpuan kembara lebih 60 peserta dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi sekitar Melaka sebelum meneruskan perjalanan mereka ke Kompleks Falak Al-Khawarizmi.

Bagi para peserta jelajah, kunjungan mereka ke Kompleks tersebut bagi melawat pameran saintifik dan planetarium serta  menonton tayangan 3D menjanjikan pengalaman  baru yang cukup mengujakan sebelum meneruskan perjalanan ke Pantai Peranginan Tanjung Bidara.

Pakaian sudah mula basah dek peluh akibat terik mentari dan perut sudah mula berkeroncong.  Setelah melepaskan lelah sebentar, para peserta berpeluang menjamu selera dengan sajian tambahan BBQ enak yang cukup meriah bagaikan suatu perkelahan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi PEMBINA Melaka, Saudara Muhammad Lukman Al-Hakim b. Muhammad yang sempat memberikan sepatah dua kata seusai mengerjakan fardhu Zuhr.

 

Menambah selingan petang kunjungan mereka ke Pantai Tanjung Bidara, urusetia turut menyediakan acara sukaneka bagi meceriakan Jelajah. Ia dimulakan dengan acara permainan ’7 up’ yang mana para peserta memperaga kehebatan kemahiran masing-masing selain mengeratkan ukhuwwah di kalangan peserta . Selain itu, program istimewa menguji kecekapan gelung hoki serta lipan turut menyerikan suasana petang yang damai.

Meneruskan jelajah, peserta bergerak ke destinasi terakhir iaitu Masjid Al – ‘Azim sambil menjamu mata menikmati sisa petang dan merah mentari yang hampir terbenam.


Sebelum mengakhiri jelajah Motosikal Melaka 2011, peserta diberikan cenderahati dan  Sesi bergambar bersama urusetia menjadi acara wajib.

Leave a Reply