Kata – Kata Aluan Seminar ‘Cafe Cinta’ 2011

Posted on March 31, 2011 by ummu wafa

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh……

Jutaan kesyukuran yang tidak bertepi kita panjatkan ke hadrat Ilahi. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga, para sahabat serta generasi penerus risalah dakwah yang mulia.

Realiti dunia hari ini memperlihatkan kepada kita polemik akhlak dan keruntuhan sosial yang amat kronik. Di peringkat global, saban hari kita dimomokkan dengan skandal seks pemimpin-pemimpin negara, isu seks songsang, aktiviti pemerdagangan wanita, keruntuhan institusi keluarga serta manipulasi keterlaluan terhadap wanita dalam arena media dan hiburan.

Manakala di peringkat nasional pula, keadaannya tidak jauh berbeza. Acapkali media massa mendedahkan perihal masalah seks bebas, pembuangan bayi yang berleluasa, pendaftaran anak tidak sah taraf, pelacuran, perceraian, wanita menyerupai lelaki (tomboy) serta pelbagai gejala sosial yang kian meruncing.

Benar, permasalahan yang melanda kaum wanita pada hari ini tidak boleh dipandang ringan terutama apabila melibatkan persoalan cinta!

Di satu sisi yang lain pula, kita melihat Islam mengangkat tinggi martabat golongan wanita, mengiktiraf peranan dan kepentingan mereka dalam konteks membangunkan masyarakat Islam yang sejati serta mensyariatkan pelbagai peraturan dan perundangan bagi memelihara kehormatan dan maruah mereka.

Jurang yang terbina antara realiti dan teori di atas cuba ditangani oleh PEMBINA dengan penganjuran program Cafe Cinta ini. Sebagai sebuah NGO belia Islam yang prihatin dan mesra masyarakat, PEMBINA merasa terpanggil untuk memberi kesedaran, memandu serta membimbing generasi beliawanis dalam aspek kefahaman agama, kesedaran seksualiti, kematangan sosial serta pembangunan jatidiri demi mendepani arus modenisasi yang amat mencabar.

Semoga usaha awal ini mampu mendatangkan hasil yang diharapkan lantas melahirkan golongan belia yang celik agama, cerdik membeza serta cantik akhlaknya.

Wassalam.

 

 

 

 

 

** Penulis merupakan lulusan Sarjana Muda dalam bidang Electrical and Electronic Engineering (Communication) dari University of Melbourne, Australia. Kini bertugas sebagai Jurutera Instrumentasi dan Kawalan, PETRONAS dan merupakan Pengerusi, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Melaka. Beliau boleh dihubungi di al_hakimm@yahoo.com

Leave a Reply