RIADHAH KUIM MANTAPKAN UKHUWWAH
Posted on March 23, 2011 by ummu wafa
Melaka, Kuala Sungai Baru 6 Mac – Bertempat di pantai Kuala Sungai Baru berhampiran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Melaka (KUIM), mahasiswi KUIM telah berkumpul bagi sama-sama menjayakan aktiviti riadhah berkala. Aktiviti yang telah berjalan lancar daripada jam 8 pagi-11 tengahari ini bermula dengan senamrobik diikuti permainan bola tampar dan bola baling. Usai beriadhah, sambil menikmati keindahan alam di pesisiran pantai, sedikit santapan rohani berkenaan topik ‘Salamatus Sodri’ telah disampaikan oleh Saudari Nabihah Mat Shah. ‘Salamatus sodri’ yang bermaksud berlapang dada merupakan serendah-rendah peringkat ukhuwwah dan ia perlu ditanam dalam setiap diri insane .Sungguhpun payah, tetapi dengannya ia dapat mendidik hati dengan sifat sabar.
Setelah itu, kami dihidangkan makan pagi juga perkongsian pengalaman oleh Saudari Sarina Abd Razak, bekas aktivis PEMBINA KUIM yang pulang bercuti dari Mesir. Pelbagai ilmu dan pengalaman baru kami perolehi sebagai inspirasi bagi meneruskan amal di lembah ilmu KUIM ini.
“Saya berharap aktiviti ini akan terus dilaksanakan dan disertai oleh rakan-rakan lain. Sambil merapatkan ukhuwwah, kami dapat menenangkan fikiran menikmati keindahan ciptaan Allah. Insya Allah semoga Allah SWT mendengar isi hati kami dan memantapkan ukhuwwah kami sepanjang dalam hidup di dunia dan di akhirat,” ujar penyelaras aktiviti, Mastura binti Mohd Jamari.
Justeru, memetik ungkapan daripada Saidina Ali bin Abi Talib mengenai seorang sahabat iaitu “Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar, sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan, sahabat sejati menjadi pendorong impian dan sahabat yang berhati mulia membawa kita ke jalan Allah SWT”. Begitu mendalam kata-kata ini membuatkan kita terfikir bahawa mempunyai seorang sahabat mulia atau lebih itu juga amat penting bagi meneruskan kehidupan ini dalam mentaati perintahNya dengan erti kata sebenar-benarnya.



