Kembara Ukhuwwah Demimu al-Aqsa
Posted on August 5, 2010 by ummu wafa
Usia muda merupakan peringkat usia yang penuh dengan semangat, iltizam dan tenaga. Semangat yang tinggi merupakan aspirasi buat pemuda dalam melakukan segala perkara baik dalam aspek fizikal, mahupun mental dan rohani.
Justeru itu, pada 17 Julai lepas pihak PEMBINA telah meraikan semangat pemuda yang tinggi dengan membawa para mahasiswa Politeknik Merlimau Melaka khususnya yang bergelar junior dan baru mendaftar di Politeknik Merlimau ke Konsert Demimu al-Aqsa di Stadium Tertutup Nilai. Penyertaan seramai 28 orang ke Kembara Ukhuwwah Demi-mu al-Aqsa membuktikan bahawa masih banyak lagi belia yang peduli tentang nasib saudara kita di Palestin.
Konsert Demimu Al-Aqsa telah mengundang artis khas dari Indonesia iaitu kumpulan Shoutul Harokah. Antara lagu yang dipersembahkan oleh kumpulan ini ialah Cita Pemuda, Untukmu Palestina, Islami Ya Quds, Dunia, Merah Saga dan beberapa lagu lagi yang berjaya menyuntik dan menaikkan semangat para belia yang hadir ke konsert tersebut dengan lirik lagu yang penuh semangat. Kibaran bendera Palestin dan Malaysia turut mewarnai konsert tersebut.
Para peserta kembara yang buat julung kalinya mendengar lagu nasyid Palestin yang penuh semangat itu amat tertarik dengan konsep lagu yang disampaikan. Lagu-lagu seperti ini dapat mendidik jiwa para peserta dengan konsep hiburan yang dianjurkan Islam. Selain itu juga, hampir semua peserta kembara tidak melepaskan peluang untuk melawat ke gerai pameran dan membeli barang yang berunsur mesej Palestin seperti baju, button, key chain, selendang Palestin dan lain-lain. Tamat sahaja konsert, semua peserta terus bertolak ke tempat penginapan di Port Dickson.
Keesokkan harinya, para peserta menunaikan solat subuh berjamaah dan bersarapan bersama-sama di kediaman tersebut seawal pagi. Apabila perut sudahpun terisi, tibalah pula saat untuk beriadah bagi menyihatkan badan di pantai Port Dickson. Riadah ‘Bond of ukhuwwah soccer beach’ yang penuh keunikkan kerana mencabar dan menyeronokkan apabila setiap peserta perlu mencari seorang peserta lagi bergabung bagi mengejar bola ibarat seorang bermain dengan menggunakan tiga kaki yang pastinya berbagai-bagai telatah dilihat sewaktu bermain. Setelah penat bermain bola sepak pantai, kesemuanya mengambil peluang untuk menikmati mandi di pantai kurniaan Yang Maha Indah. Tidak cukup di darat, di air pun masih tidak lepaskan peluang untuk bermain polo air pula dan ada juga yang membuat menara ‘ukhuwwah’.
Setelah kepenatan beriadah di pantai, para peserta direhatkan minda dan anggota badan dengan tazkirah berkenaan situasi dan peranan belia masa sekarang yang disampaikan oleh Cikgu Zulkiflee Hassan yang juga merupakan peserta senior kembara serta berpengalaman luas dalam kegiatan aktiviti pembentukan belia. Tazkirah yang disampaikan penuh dengan semangat belia serta bermanfaat buat semua peserta. Para peserta kemudian dijamu makan tengah hari dan bersiap sedia untuk pulang. Sewaktu perjalanan pulang, peserta kembara sempat singgah di dua rumah keluarga peserta dan sempat menjamu buah rambutan dan dijadikan bekalan perjalanan pulang. Kesemua peserta tiba di Politeknik Merlimau petang tersebut dengan selamat dan tersenyum mengenangkan Kembara Ukhuwwah Demimu Al-Aqsa yang pastinya menjadi kenangan manis dalam hidup masing-masing. Moga pengembaraan sehari semalam ini berjaya menyebarkan semangat peduli terhadap isu Palestin dan belia pada semua peserta dan juga kepada yang lain. Ingatlah maksud hadis: “Barangsiapa yang tidak mengambil peduli berat hal akan umat Islam, maka dia bukan di kalangan mereka”. Sehubungan itu inilah peranan yang diambil PEMBINA lakukan bagi memikul tanggungjawab membina kembali belia Islam kearah kecemerlangan kualiti diri belia. Marilah bersama –sama PEMBINA dalam membina generasi harapan
Kembara ukhuwwah sudah berlalu,
Terasa rindu hatiku ini,
Basahnya ukhuwwah bersamamu,
InsyaAllah jumpa di program PEMBINA lagi.









