Jaulah MMU Melaka
Posted on August 5, 2010 by ummu wafa
Nilai – Peristiwa serangan tentera Israel ke atas kapal bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza ,Marvi Marmara telah membuka mata semua pihak terutama umat Islam secara amnya. Sejak serangan hebat ke atas rakyat Palestin di bumi Gaza pada awal tahun 2009, sebuah lagi serangan telah dilancarkan oleh Israel seterusnya menunjukkan betapa rakyat Islam di Palestin sangat memerlukan perhatian dan bantuan untuk meneruskan survival di muka bumi ini. Melihat keadaan ini, para golongan belia dari Multimedia University telah mengadakan jaulah ke Konsert Demimu Al-Aqsa (KONDAQ) yang telah dilangsungkan di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus pada 17 Julai 2010.
Jaulah ini telah disertai oleh pelajar-pelajar dari Multimedia University (MMU) dan UiTM Segamat serta diiringi wakil Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA). Konvoi jaulah PEMBINA MMU telah dimulakan dengan solat Asar secara berjemaah di masjid Al-Irsyad MMU. Sebelum perjalanan bermula para peserta telah diberi tugasan untuk menghafal hadis. Sebanyak 3 buah kereta dan sebuah MPV yang memuatkan hampir 20 orang peserta jaulah telah bergerak menuju ke bandar Nilai tepat jam 5.45 petang. Setelah hampir 1 jam 45 minit, konvoi jaulah tiba di Stadium Tertutup Nilai.
Konsert Demimu Al-memuatkan persembahan nasyid dari kumpulan Shoutul Harakah, Mestika, Da’ie dan Interaksi yang telah menyanyikan lagu-lagu nasyid yang bertemakan perjuangan Palestin. Persembahan konsert telah diserikan lagi dengan deklamasi sajak yang telah di sampaikan oleh sasterawan tersohor negara, Dr Lim Swee Tin dan Saudari Nisah Haron. Penyampaian nasyid dan sajak ini telah disahut dengan laungan takbir dan sorakan penuh semangat daripada 3000 hadirin pada malam tersebut. Konsert Demimu Al-Aqsa ini merupakan anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Aman Palestin Berhad, Kelab Remaja ISMA (KRIM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Celcom. Konsert berakhir pada jam 11.15 malam.
Konvoi jaulah bergerak ke rumah penginapan yang terletak di taman perumahan berdekatan dengan Stadium Tertutup Nilai. Selain daripada peserta konvoi jaulah, para pelajar persediaan ke luar negara dari IPT lain turut menginap di rumah yang telah disediakan. Setelah menyelesaikan solat berjemaah para peserta jaulah telah merehatkan diri masing-masing.
Hari kedua jaulah dimulakan dengan solat Subuh berjemaah dan diikuti dengan kuliah subuh yang telah disampaikan oleh Ustaz Sanusi, yang telah dijemput oleh PEMBINA Nilai. Beliau yang juga merupakan pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengupas tajuk berkenaan bulan Rejab, Syaaban dan juga Ramadhan. Sebelum itu, sesi ta’aruf ringkas telah dijalankan. Setelah selesai kuliah subuh, para peserta jaulah dan para ikhwah yang lain telah bersarapan.
Aktiviti riadah bermain bola sepak tidak terlepas dari senarai aktviti para peserta jaulah. Riadah telah disertai hampir semua ikhwah yang telah bermalam di Nilai. Ternyata semangat yang dibawa daripada konsert pada hari semalam telah ditunjukan di atas padang. Para ikhwah telah menunjukkan semangat berpasukan dan ukhuwwah yang sihat ketika beriadah. Aktiviti riadah telah diakhiri dengan salam perpisahan. Ucapan dari wakil konvoi jaulah PEMBINA Melaka telah disampaikan oleh Saudara Mursyidi dan Saudara Nurul Aizam. Manakala, saudara Hazim telah menyampaikan ucapan bagi pihak PEMBINA Nilai. Sesi fotografi beramai-ramai telah diadakan bagi mengakhiri perjalanan konvoi jaulah di Nilai.
Perjalanan konvoi bersambung di destinasi seterusnya iaitu Hutan Lipur Rekreasi Hulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Perjalanan dari Nilai telah mengambil masa selama 45 minit. Di Hulu Bendul, para peserta konvoi jaulah telah mengambil peluang untuk berehat dan menenangkan diri di kawasan air terjun. Setelah bermandi-manda, para peserta konvoi jaulah bersiap untuk ke destinasi terakhir jaulah. Destinasi terakhir jaulah adalah di Sikamat, Seremban iaitu di rumah Ustaz Abdul Halim Abdullah, Naib Presiden I, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Setibanya rombongan konvoi jaulah ke destinasi, rombongan disambut ceria oleh tuan rumah. Sesi ta’aruf dimulakan diikuti dengan solat secara berjemaah. Setelah itu, sesi khas bersama Ustaz Abdul Halim Abdullah telah dimulakan. Antara intipati menarik yang telah disampaikan adalah pengalaman beliau sendiri sewaktu zaman persekolahan hingga ke hari ini. Selain itu, Ustaz Abdul Halim Abdullah telah mengupas isu tentang Palestin. Antara yang telah disampaikan oleh beliau adalah tentang respons berbeza daripada pelbagai golongan masyarakat mengenai isu Palestin ini. Diharapkan kunjungan ini dapat menyuntik semangat dan iltizam kepada para peserta jaulah dalam mengharungi cabaran hidup.
Selepas sesi khas ini, para peserta jaulah telah menikmati hidangan makan tengah hari yang telah disediakan oleh tuan rumah. Selesai menikmati juadah, sesi penutup jaulah telah dilaksanakan dengan ucapan dari Saudara Mohd Hazeri Jameri. Semoga jaulah ini menjadi sebuah nukilan sejarah kecil dalam pengalaman hidup setiap peserta dan menjadi sebuah pengalaman yang penting dalam menjalani kedidupan mendatang. Para peserta konvoi jaulah bergerak pulang ke Melaka pada jam 4.00 petang. Wallahuallam.


