PEMBINA Melaka bersama perjuangan Palestin!

Posted on July 19, 2010 by ummu wafa

NILAI, 17 Julai – Stadium Tertutup Nilai bergema dengan laungan takbir dan sorakan penuh semangat para hadirin yang memenuhi stadium bagi menjayakan Konsert Demimu Al-Aqsa malam tadi. Lebih 3,000 penonton dari seluruh pelusuk tanahair tidak melepaskan peluang untuk mendengar sendiri secara langsung dendangan nasyid bertemakan Palestin dan perjuangan yang disampaikan oleh kumpulan Shoutul Harakah, Mestika, Da’ie dan Interaksi. Malah penampilan khas sasterawan tersohor negara, Dr Lim Swee Tin dan Saudari Nisah Haron yang mendeklamasikan sajak nukilan sendiri turut berjaya menarik minat dan memeriahkan konsert.

PEMBINA Melaka turut tidak ketinggalan dalam peristiwa penuh bersejarah ini. Rombongan lebih 150 orang yang menaiki dua buah bas, sebuah van dan kenderaan persendirian bertolak seawal jam 5:00 petang dari Melaka bagi menghadiri konsert yang bermula jam 8:00 malam. Rata-rata para pelajar dari Multimedia Universiti (MMU), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kolej Professional MARA (KPM) Ayer Molek  serta dari beberapa buah sekolah menengah di sekitar Melaka melahirkan rasa puas hati terhadap perjalanan keseluruhan konsert yang amat menghiburkan ini.

“ Selain terhibur, apa yang lebih penting bagi saya ialah kesedaran dan semangat yang ditiup bagi terus membela nasih saudara seIslam kita di Palestin. Walaupun jarak beribu batu sebagai pemisah, namun banyak cara bagi kita rakyat Malaysia untuk menyumbang dan membantu mereka di sana”, demikian komentar Nik Zarizi, salah seorang peserta dari MMU.

Bagi adik Ummu Asyiqah pula, peluang menghadiri konsert ini amat bermakna bagi beliau dan diharapkan program-program seumpama ini dapat ditambah lagi di seluruh negara bagi menyebarkan kesedaran dan semangat membantu Palestin kepada masyarakat umum.

Selain nasyid dan deklamasi sajak, konsert ini turut dimeriahkan dengan acara pidato, kutipan dana, tayangan multimedia, pameran serta jualan.

Konsert yang merupakan anjuran bersama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Aman Palestin Berhad, Kelab Remaja ISMA (KRIM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Celcom ini berakhir kira-kira jam 11:15 malam. Manakala rombongan PEMBINA Melaka tiba di Melaka kira-kira jam 1:30 pagi.

Diharapkan semangat yang terbit dan berputik daripada konsert ini akan dapat terus disuburkan dengan penganjuran program-program lanjutan di seluruh negara sehingga matlamat perjuangan rakyat Palestin tercapai.

Leave a Reply