Lead-Camp II 2010 mencipta Sejarah!
Posted on July 15, 2010 by ummu wafa
Asahan, 19 Jun - Syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia-Nya program Lead Camp telah berjaya dijalankan buat kali ke-2. Program ini adalah program berkala yang dijayakan setiap tahun bagi meraikan pelajar-pelajar baru yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Multimedia. Istimewanya program Lead Camp kali ini kerana program ini telah hadiri oleh para pelajar yang rata-ratanya adalah pemegang biasiswa Yayasan Telekom Malaysia (YTM) dan Yayasan Universiti Multimedia (YUM). Tambahan pula, Persatuan Belia Nasional (PEMBINA) cawangan Melaka telah diamanahkan untuk menjaga dan memantau pemegang biasiswa YUM. Program ini bertujuan untuk mendedahkan kepada para peserta mengenai sejarah permulaan, kegemilang dan kejatuhan khilafah Islamiyyah ( EXPLORE ). Disamping itu, program ini bertujuan untuk memberi resolusi kepada umat Islam agar dapat mencapai tahap kegemilangan yang pernah di kecapi dahulu (ENDEAVOUR ). Selain itu, program ini juga mendedahkan mengenai karat-karat jahiliyyah yang tertanam dan harus dicungkil dan dibuang dalam diri setiap individu (EXTERMINATE).
Hari Pertama – Sabtu 19 Jun 2010
Tepat pada pukul 8.00 pagi para peserta dari MMU Cyberjaya tiba di Melaka. Rombongan MMU Cyberjaya dan Melaka bertolak ke Anjung Bonda, Asahan Melaka. Para peserta tiba di destinasi pada pukul 10 pagi dan terus menikmati sarapan . Selepas menjamu selera, para peserta dirai dengan sedikit aktiviti taaruf bagi menghidupkan suasana ceria selepas lebih sejam berada di dalam bas.
Program ini telah dirasmikan oleh ketua PEMBINA cawangan Melaka, Saudara Lukman al-Hakim. Program ini diteruskan dengan Seminar 1 (EXPLORE) yang telah dikendalikan oleh Saudara Lukman. Sesi ini menceritakan tentang sejarah tamadun Islam semasa permulaan, kemuncak dan kejatuhan. Sewaktu slot ini, para peserta yang rata-ratanya baru pertama kali didedahkan mengenai sejarah tamadun Islam mula megenali bagaimana Islam yang di anuti sekarang pernah menguasai dua pertiga dunia. Sesi ini juga diisi dengan selingan montaj-montaj yang membakar semangat pemuda-pemudi.
Tepat pukul 1 petang, para peserta dijamu dengan makanan tengahari seterusnya solat Zohor secara berjemaah. Selepas itu, Saudara Faain berkongsi dengan para peserta mengenai dua ciri individu muslim yang bertajuk Menjaga waktu dan Tersusun Urusan.
Sesi seminar ini diteruskan dengan seminar ke-2 ( ENDEAVOUR). Sesi ini juga turut dikendalikan oleh Saudara Luqman. Sesi ini menceritakan mengenai bagaimana kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam yangg pernah kita kecapi dulu. Sedikit selingan video mengenai keperitan ummah di Palestin turut mengisi slot program. Pada pukul 5.00 petang, para peserta menikmati minum petang dan mendapat sedikit pekongsian dari Saudara Hazri mengenai dua lagi ciri keperibadian individu muslim yang bertajuk Fikiran yang Berpengetahuan dan Mampu Berusaha.
Program ini diteruskan dengan aktiviti riadah melalui pemainan War Game. Pemainan ini menerapkan ciri-ciri kepimpinan dimana seorang ketua telah dilantik untuk merangka strategi dan memerlukan ketaatan daripada anak buah untuk mengikut setiap arahan daripada ketua. Sikap tolong-menolong serta berani mempertahankan hak dan kubu juga di terapkankan, dimana setiap pasukan haruslah menjaga dan menghalang pasukan lawan daripada merampas bendera pasukan sendiri. Aktiviti berakhir sekitar 6.30 p.m. Peserta bersiap sedia untuk membersihkan diri sementara menunggu waktu Maghrib untuk solat berjemaah. Selepas solat Maghrib, para peserta membaca al-Ma’thurat bagi menghidupkan suasana zikir dan doa selepas solat. Pengkongsian tentang ciri-ciri keperibadian individu muslim diteruskan oleh Saudara Hazri Jameri tentang Akidah yang Sejahtera dan Ibadah yang Betul.
Selepas selesai makan malam dan solat Isyak, program diteruskan dengan seminar ketiga yang berjudul EXTERMINATE (Sayonara Jahiliyyah) yang dikendalikan oleh Saudara Nazri. Sesi ini menceritakan dan merungkai karat-karat jahiliyyah yang masih terlekat pada diri masing-masing. Latihan dalam kumpulan ( LDK ) turut diadakan bagi membincangkan resolusi bagi menangani sifat-sifat jahiliyyah yang ada pada ummah sekarang dan diri sendiri. Selepas minum malam, peserta bersurai untuk merehatkan diri.
Hari Kedua – Ahad, 20 jun 2010
Aktiviti pada hari ini bermula dengan aktiviti menguatkan rohani iaitu solat Qiamullail diikuti solat subuh secara berjemaah dan membaca al-Ma’thurat bersama. Perkongsian sifat dan individu muslim di teruskankan oleh Akh Aizam yang bercerita mengenai sifat Mampu melawan Nafsu dan Berguna untuk Orang Lain. Tepat pukul 6.30 pagi, para peserta bersarapan sebelum melakukan aktiviti seterusnya (siap siaga). Mereka di uji dengan ketahan fizikal melalui sumo lutut dan pemainan yang memerlukan semangat saling melengkapi iaitu bola sepak sebelah kaki. Sebelum rehat dan hemat diri, sedikit perkongsian tentang dua sifat individu muslim terakhir yang di sampaikan oleh Saudara Abu tentang Sihat Tubuh Badan dan Akhlak yang Mantap.
Program diteruskan dengan seminar terakhir yang di kendalikan oleh Saudara Khair Razlan yang bertajuk Duhai Pemuda. Pengisian seminar ini menceritakan tentang bertapa pentingnya golongan pemuda kepada ummah. Sesungguhnya Rasulullah juga berjaya menyebarkan agama Islam ke seluruh pelosok dunia disebabkan mempunyai pemuda-pemudi yang hebat sebagai tunjang dakwah. Justeru pengisian ini diharapkan dapat mencungkil keistimewaan yang tependam dalam diri setiap pemuda bagi dimanfaatkan untuk kepentingan agama yang dicintai.
Selepas berehat seketika untuk minum pagi, program disambung dengan LDK. Disini peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan dikendalikan oleh para fasilitator. Dalam kumpulan, peserta berbincang tentang apa yang mereka fahami setelah 2 hari 1 malam mengikuti program ini. Mereka juga membincangkan tentang kepentingan duduk dalam suanasa soleh dan memilih rakan yang baik.
Tepat pukul 12.30 tengahari, majlis penutupan berlangsung dan telah dihadiri oleh wakil dari Yayasan Universiti Multimedia, YUM, En. Fais . Sedikit kata-kata semangat telah diberikan oleh wakil YUM kepada pemegang-pemegang biasiswa. Selepas makan tengah hari dan solat Zohor, para peserta bersurai.
Alhamdullilah, program Lead Camp 2010 ini berakhir dengan jayanya dengan rata-ratanya mendapat respons yang memberangsangkan daripada peserta. Semoga program ini akan diteruskan pada masa akan datang.
Disediakan oleh
Mohd Faain Rosli
Pengarah
i-Lead Camp 2010

