“Sesaat Bersama Seabad Terasa” penuh nostalgia..

Posted on July 15, 2010 by ummu wafa

Lambaian Chalet, Pengkalan Balak- Tanggal 10 dan 11 Julai terlaksanalah satu mini daurah “Sesaat Bersama Seabad Terasa”  yang dianjurkan oleh pelajar Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM)  dengan kerjasama rakan strategi dakwah mereka iaitu Persatuan Belia Islam (PEMBINA) Melaka.

Program ini berlangsung selama dua hari satu malam bermula daripada pukul 2 petang pada 10 Julai sehingga pukul 2 petang, 11 Julai 2010. Program ini melibatkan 40 orang mahasiswa semester 1 KUIM.

Program ini bermula dengan sesi  pendaftaran dan taaruf. Sekitar jam 4.30 petang kami menunaikan solat Asar berjemaah dan bacaan al-Mathurat. Setelah itu, sesi riadah untuk memantapkan fizikal dan mental para peserta telah berjaya dijalankan dengan lancar dan selamat. Tepat jam 7 petang, para peserta dan ahli jawatankuasa program bersiap sedia untuk menunaikan solat Maghrib secara berjemaah). Usai solat maghrib, para peserta disajikan dengan santapan rohani bertemakan ukhuwwah yang telah disampaikan oleh ukhti Nurul Idayu Binti Limat. Slot ini mendapat sambutan yang menggalakkan kerana cara penyampaian yang santai serta diselangi kisah para ulama’ seperti Imam Hassan Al-Banna, Abu Bakar As-Siddiq dan hadith yang mu’tabar. Setelah itu, kami solat Isya’ secara berjemaah.

Selesai solat berjemaah kami menikmati hidangan BBQ dan makan malam dengan mengamalkan sunnah Rasulullah S.A.W iaitu makan di dalam talam bagi merasai kemanisan berukhwah. Slot kedua dimulakan dengan cerita bertajuk “The Children of Heaven”. Cerita ini mengisahkan tentang seorang budak kecil yang baru berumur sembilan tahun bernama Ali yang telah menjalankan tangggungjawab seperti seorang bapa serta mempunyai seorang ibu yang masih berada dalam pantang. Ali harus bekerja untuk menyara keluarganya. Ali telah menghilangkan kasut adiknya dan berjanji untuk menggantikan semula. Dia memasuki pertandingan merentas desa dan telah mendapat tempat pertama di dalam tersebut,tetapi dia menginginkan hadiah di tempat ketiga iaitu sepasang kasut. Begitulah kesedaran dan tanggungjawab yang telah dirasai oleh Ali sebagai anak sulung di dalam keluarga. Cerita ini telah diulas oleh Ukhti Salmi. Setelah itu, kembara mimpi pun bermula pada pukul 12 malam.

Pada keesokan harinya, tepat jam 4.15 pagi, kami bersama-sama menikmati keheningan di sepertiga malam dengan berqiamullail dan berzikir mengingati Allah. Pada jam 5.45, kami memulakan solat Subuh berjemaah dan diteruskan lagi dengan slot muhasabah diri yang menusuk kalbu serta meruntun jiwa dan sanubari. Slot muhasabah ini dikendalikan oleh Ukhti Fatimah Iqlima bt. Mailon.

Slot ketiga dimulakan pada jam 7 pagi. Slot ini bertajuk Sayangku Seorang Khalifah dan Pesona Cinta yang berkonsepkan tayangan video. Untuk menceriakan kesyahduan pagi, slot ini telah dirancakkan lagi dengan senaman aerobik yang diketuai oleh Ukhti Suria Adha dan Ukhti Noraslindah Razak selama 30 minit. Selepas itu, para peserta menikmati sarapan pagi.

Slot keempat dimulakan dengan sesi tayangan video berkaitan tentang kejatuhan sistem khilafah selama 30 minit dan diikuti dengan pembentangan penuh santai lagi padat daripada Akhi Mohd Khoushaini Bin Mohd Naim, Setiausaha Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Melaka yang bertindak selaku penceramah bertajuk “Pemuda dan Perubahan”. Slot ini turut diisi dengan tayangan video tentang nasib saudara-saudara seakidah yang berada di Palestin dan negara-negara yang mana sehingga kini masih lagi dijajah oleh negara haram Israel dan sekutunya. Slot ini turut melibatkan mahasiswa KUIM.

Program berakhir dengan majlis penutup dan penyampai cenderahati pada pukul 1 petang. Alhamdulillah program ini berjalan dengan lancar dan telah mencapai objektif program yang disasarkan.

Leave a Reply