Musafir Al-Quran

Posted on July 14, 2010 by ummu wafa

Islamic Smart Team (I-SMART) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar Multimedia Universiti (MMU) kampus Melaka telah mengadakan program MUSAFIR AL-QURAN ke Terengganu Darul Iman. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar MMU Melaka tentang ilmu-ilmu al-Quran seperti ilmu tajwid, qiraat, tarannum, hafazan dan tidak lupa juga seni di dalam al-Quran tu sendiri iaitu seni khat. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar MMU tentang kepentingan belia bagi membangkitkan semula tamadun Islam, InsyaAllah. Program ini telah disertai oleh 35 orang peserta terdiri daripada muslimin dan muslimat. Program ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam dari 23 Mei sehingga 26 Mei 2010.

Para peserta bertolak ke Terengganu pada malam Ahad yakni bersamaan 23 Mei. Para peserta berkumpul di Masjid MMU sebelum bertolak ke Terengganu. Pendaftaran telah dijalankan dan seterusnya para peserta bertolak kira-kira jam 10.00 malam. Destinasi pertama sesudah menjejakkan kaki di bumi Terengganu adalah Masjid Dungun. Di situ para peserta menunaikan solat subuh dan mendengar sedikit pengisian daripada ustaz Jailani yang telah dijemput khas daripada ISMA Dungun. Seterusnya perjalanan musafir diteruskan ke destinasi utama program ini, Institusi Al Quran Terengganu (IQ Terengganu). Alhamdulilah, para peserta disambut dengan mesra oleh pelajar-pelajar disana. IQ Terengganu telah memperkenalkan sedikit latar belakang tentang jurusan-jurusan yang disediakan disana sebagai mukadimah pertemuan. Seterusnya, slot pertama dimulakan bersama Ust Hafas. Beliau memberi taklimat tentang Tajwid, Makhraj, Qiraat dan Tarannum. Para peserta telah mendapat pelbagai input yang sangat berguna mengenai cara bacaan dan tajwid yang memainkan peranan yang utama dalam al-Quran. Hal ini kerana, cara bacaan salah akan mempengaruhi maksud ayat Al Quran yang dibaca.

Slot kedua pula adalah teknik hafazan. Dalam slot ini para peserta diberi pendedahan mengenai cara menghafal yang efektif. Walaubagaimanapun, hafazan ini bergantung kepada keupayaan dan kebolehan individu untuk menghafaz al-Quran. Dalam slot yang para peserta berpeluang menerokai dunia tulisan khat. Slot ini mendedahkan jenis-jenis khat yang terdapat dalam dunia ini, cara menulis huruf jawi dalam pelbagai bentuk dan lain-lain lagi. Seni khat ini amat menarik untuk dipelajari dan memerlukan ketelitian yang tinggi bagi mengelakan sebarang kesilapan.

Setelah selesai kesemua slot tersebut, para peserta melangkah keluar daripad IQ Terengganu dengan harapan agar berpeluang untuk menjejakkan kaki semula disitu untuk menimba lebih banyak ilmu pengetahuan berkenaan Al Quran. Perjalanan diteruskan ke Masjid Tok Jembal. Pengisian yang seterusnya telah diadakan disini dan telah disampaikan oleh Ust Engku Omar. Mesej yang dibawa oleh ustaz sangat penting dan tentunya berat bagi pemuda pemudi kita sekarang. Pengisiannya berjudul ‘Pemuda dan Harapan‘, bertujuan untuk menyedarkan belia pada masa kini bahawa golongan belia ini mampu memberi impak maksima kepada tamadun Islam suatu hari nanti.

Selesai sahaja sesi pengisian tersebut, para peserta bertolak ke tempat penginapan di Pantai Beach Resort,Setiu. Pada sebelah malam telah diadakan majlis perasmian yang ringkas dan disusuli aktiviti suai kenal atau sesi ta’aruf. Para peserta berta’aruf melalui beberapa permainan bagi memeriahkan lagi suasana. Sesudah selesai sesi ta’aruf, peserta dibenarkan beristirehat dikamar masing-masing bagi menyimpan tenaga untuk hari esok.

Keesokan harinya kami bermula dengan sesi sharing moment bersama Wan Najmuddin dan diteruskan dengan program senaman pagi. Selepas senaman pagi, para peserta bersarapan pagi dan diteruskan pula dengan aktiviti Mini Games. Peserta dibahagi kepada 3 kumpulan dan mereka dikehendaki menyelesaikan semua tugasan yang diberi. Semuanya memerlukan komitmen daripada setiap individu di dalam sesebuah kumpulan tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa sikap kerjasama merupakan aspek yang penting bagi menyelesaikan setiap tugasan yang diberi. Para peserta dijamu makan tengah hari selepas berpenat lelah dengan aktiviti Mini Games tersebut. Seterusnya, aktiviti I-Explore race telah diadakan. Aktiviti ini telah dijalankan di kawasan kampong. Pelbagai tugasan yang perlu diselesaikan oleh para peserta seperti Sudoku, membuat belacan, menaikkan Wau, mencari klu di kawasan kubur dan lain-lain lagi. Setelah berpenat lelah seharian dengan aktiviti-aktiviti yang padat, para peserta bersantai pula pada malam harinya. Para peserta dibawa sungai Terengganu dengan menaiki bot nelayan disitu bagi menikmati keindahan ciptaan Ilahi. Aktiviti Night River Cruise ini benar-benar menenangkan fikiran dengan kedengaran bunyi-bunyi serangga di sekeliling, kelip-kelip yang berterbangan dalam bentuk berkelompok dan sungai yang tenang. Cantik sungguh ciptaan Allah.

Pada hari ketiga para peserta diisi dengan sedikit pengisian rohani melalui qiamulail bersama-sama dan sedikit sharing moment bersama Hazri. Sesudah itu para peserta bersenam pagi dan seterusnya bersiap pula untuk aktiviti membuat ketupat palas. Para peserta dapat menimba ilmu mengenai cara-cara untuk membuat ketupat palas. Para peserta juga berpeluang menunjukkan hasil seni masing-masing dalam menganyam ketupat palas. Selesai aktiviti tersebut, majlis penutup dan  sesi penyampaian hadiah telah diadakan. Selepas Zohor, para peserta bertolak pulang ke Melaka. Sebelum pulang para peserta sempat singgah sebentar di kedai menjual keropok lekor. Selain itu, para peserta juga sempat melawat ke Rumah Warga Emas dalam perjalanan pulang ke Melaka. Taklimat telah disampaikan oleh pegawai di tempat tersebut. Para peserta juga berpeluang mendengar kisah-kisah mengenai warga emas di sini. Cerita-cerita yang dikongsi diharapkan dapat memberi pengajaran dan iktibar kepada para peserta. Selepas sesi taklimat, para peserta berpeluang untuk berjumpa dengan warga emas dan memberi sedikit buah tangan. Destinasi terakhir program ini adalah di Masjid Geliga, Kemaman. Di masjid ini para peserta diberi pengisian oleh Ustaz Zul Ibrahim. Ssemoga setiap yang disampaikan memberi manfaat kepada semua peserta.

Tepat pukul 4 pagi, para peserta tiba di MMU Melaka. Pengalaman bermusafir ini diharap menjadi batu loncatan dalam diri masing-masing untuk memperdalam ilmu mengenai al-Quran di samping sentiasa mempertingkatkan diri bagi menjadi belia yang menjadi paksi kebangkitan tamadun Islam. Insya Allah.

Di sediakn oleh,

Aizuddin.

Leave a Reply