Belajar Dari Anak Kecil
Posted on June 24, 2010 by admin
“Mi, nape gal yah?” seru anak sulung saya pagi tadi. (Ummi, kenapa tinggalkan Safiyyah?)
Tergamam saya seketika. Saban hari, umminya terpaksa memecut ke tempat kerja yang terletak kira-kira 37km seawal pagi. Mengejutkan anak kecil tika ayam masih mamai-mamai melagukan kokoknya sepertinya kurang belas ihsan. Justeru, Safiyyah yang masih nyenyak kepenatan terpaksa ditinggalkan dengan mimpi indahnya. Cuma kali ini lain responsnya.
Umurnya yang belum sampai 3 tahun sudah mengerti jatidiri kemanusiaan. Saya lantas berdo’a agar zuriat saya ini bisa membesar dengan misi yang kental menjadi barisan pejuang untuk agamanya.
Barangkali, bisa sahaja saya nukilkan dari kisah ini pertanyaan tentang apakah yang menyebabkan insan yang sudah akil baligh, sempurna didikan akalnya mampu melakukan perkara di luar norma kemanusiaan sedangkan anak kecil ini… Hmm.. tentang pelbagai hakikat jahiliyah alaf baru saban waktu meniti bibir. Namun, saya kira para pembaca sudah begitu arif.
Mari saya ketengahkan tentang satu sisi bicara yang lain.
Terkadang kita ter
lepas pandang kebolehan anak kecil menangkap pelbagai kosa kata, imej, bunyi, lagak gaya dan semacamnya dari pelbagai tontonan dan pendengaran harian mereka. SubhanAllah. Saya pun tidak sedar bila masa saya dan umminya mengajarkan seni hati merasa kesedihan ditinggalkan oleh orang tersayang.
Justeru, saya daftarkan beberapa percubaan memahami aneka ragam anak kecil dan pengajaran yang boleh kita ambil (jika kita mahu)
Buat Ibu Bapa (Atau bakal ..)
- Pelihara tingkah laku, percakapan dan apa sekalipun kerana kita tidak betah mengetahui sejauh mana ianya mampu mempengaruhi anak-anak comel ini.
- Kembangkan potensi mereka agar mewarisi segenap perkara positif yang ada di muka bumi.
- Letakkan anak-anak dalam situasi dan suasana sesoleh mungkin. Pasangkan irama kalamullah. Ajarkan cerita-cerita perjuangan. Para sahabat bercerita perihal Jihad dan Perang pada anak-anak mereka!
Yang lebih penting: Pengajaran buat para dai’e
- Jadilah anak kecil. Mereka memposisikan diri menjadi orang yang tidak tahu tapi penuh dengan semangat inkuiri. Natijahnya, mereka rakus dengan ilmu baru. Senantiasa cuba belajar memperbaiki diri. Kita.. datang usrah/halaqah/kuliah untuk apa? Membesarkan kepala dengan ilmu-ilmu baru lantas tertidur dek beratnya timbunan dalam kepala?
- Tirulah anak kecil ini. Mereka lantas tangkas mempraktikkan apa yang baru dipelajari. Kita bagaimana? Sudah ditegur para murobbi/naqib/guru tentang akhlak yang masih ditakuk lama tapi enggan berganjak. Karat jahiliyah yang semakin tebal tompokannya. Sudah-sudahlah. Esok belum tentu ada!
- Belajarlah dari jatidiri si anak kecil. Dari tahu kepada mahu. Dari kognitif kepada psiko-moto. Dari pengetahuan kepada tingkahlaku. Dan si kecil menghayati dan menterjemahkan semuanya dengan hati yang tulus. Lantas, ia ’sampai’, mencuit dan menerbitkan reaksi balas orang sekitar.
Ayuh. Masa semakin suntuk untuk menjadi si anak kecil!
Nukilan,
Abu Khairah
Editor PEMBINAmelaka.com


