Hari – hari yang di rai
Posted on June 17, 2010 by ummu wafa
Saya penuh yakin dan percaya bahawa bulan Mei merupakan bulan yang sangat istimewa bagi golongan belia di seluruh negara. Masakan tidak, tarikh keramat 15 Mei setiap tahun telah dinobatkan sebagai Hari Belia Kebangsaan yang saban tahun diraikan dengan penuh meriah dan gilang-gemilang. Menariknya, bulan Mei juga mencatatkan begitu banyak sambutan hari-hari tertentu seperti Hari Pekerja (1 Mei), Hari Kebebasan Media (3 Mei), Hari Ibu (9 Mei), Hari UMNO (11 Mei), Hari Jururawat (12 Mei), Hari Guru (16 Mei), Hari Muzium (18 Mei), Hari Wesak (28 Mei) dan Hari Tanpa Tembakau Sedunia (31 Mei). Mungkin ada beberapa sambutan hari lain yang saya tertinggal.
Apakah signifikannya sambutan-sambutan ini?
Kepentingan yang berlegar di fikiran saya ialah untuk menghargai golongan-golongan tertentu seperti belia, ibu, guru dan jururawat. Juga sebagai kempen untuk menggalakkan sesuatu seperti kebebasan media, muzium dan dunia tanpa tembakau (Hari Susu Sedunia yang disambut pada 1 Jun setiap tahun juga adalah bertujuan untuk menggalakkan atau membudayakan pengambilan susu sebagai minuman rutin)
Namun apa yang menjadi kerisauan ialah apabila sambutan-sambutan tersebut disambut dan diraikan tanpa kefahaman dan matlamat yang jelas. Lantas ‘roh’ sebenar sambutan akan hilang, lebih malang agenda sambutan yang disusun bertentangan sepenuhnya dengan semangat yang ingin diterapkan di sebalik setiap sambutan.
Perkara yang sama dapat kita lihat dalam kitaran hidup seorang manusia. Sambutan hari lahir dan ulangtahun perkahwinan sebagai contoh menjadi sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan seseorang. Benar, tiada salahnya menyambut hari-hari penting tersebut, namun bagi saya makna yang tersirat di sebalik sambutan tersebut adalah lebih besar untuk difahami dan dijadikan sebagai agenda kehidupan bagi sepanjang tahun. Sambutan hari lahir sewajarnya menjadi pentas bagi kita melakukan muhasabah dan koreksi diri terhadap fungsi diri dalam pembangunan masyarakat, keterampilan, amal ibadah, tanggungjawab terhadap keluarga dan majikan serta perancangan masa depan. Begitu juga dengan ulang tahun perkahwinan yang sepatutnya berperanan sebagai peringatan terhadap perlaksanaan tanggungjawab terhadap keluarga, pendidikan anak-anak, kebajikan dan penjagaan suami isteri serta keperluan material dan rohani setiap ahli keluarga.
Jika dilihat masalah keruntuhan institusi keluarga dan kepincangan jatidiri yang melanda individu-individu hari ini, kita hanya mampu menggelengkan kepada dan bertanya sesama sendiri, di mana silapnya? Apa maknanya kita meraikan pelbagai sempena dan sambutan, namun individu, keluarga dan masyarakat terus dihambat polemik sosial yang sangat parah?
Memahami permasalahan ini menuntut kita untuk membina kembali institusi keluarga yang telah runtuh, bermula dengan mengembalikan jatidiri individu-individu yang menjadi sel asas kepada pembentukan sesebuah keluarga. Langkah ini sangat penting memandangkan kualiti generasi masa depan bergantung kepada bagaimana pembentukan sahsiah dan keperibadian mereka oleh generasi hari ini. Tiada siapa mampu menafikan, pembentukan anak-anak sepatutnya bermula dari rumah hasil didikan ibu bapa, bahkan ia sebenarnya bermula sejak pemilihan pasangan untuk melewati gerbang perkahwinan lagi.

Justeru, marilah kita sama-sama merenung sejenak dan berfikir semasak-masaknya intipati dan matlamat sebenar sesuatu sambutan sebelum secara membuta tuli meraikannya. Mari kita mulakan dengan sambutan yang terdekat, Hari Bapa yang akan disambut di seluruh dunia pada 20 Jun yang akan datang!
Nukilan,
Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad
Pengerusi PEMBINA Melaka

