Membaca: Satu kebolehan mistik?
Posted on May 11, 2010 by ummu wafa
Alhamdulillah, Allah mengurniakan kepada saya hobi yang pelik – suka membeli buku. Alhamdulillah hati saya dicenderungkan Allah untuk meminati buku-buku agama, ilmiah, sejarah, ‘self-help’ dan sebagainya. Namun, saya kurang cenderung kepada novel-novel , syair dan puisi kecuali pada zaman awal ketika saya mula minat membaca, barangkali kerana saya mengambil jurusan sains.. Lantas perpustakaan mini saya mula berkembang.
Saya masih ingat lagi koleksi buku pertama yang mula saya kumpulkan – novel-novel fiksyen Tom Clancy. Selepas habis satu novel, saya beralih ke sekuel seterusnya, sambil menghayati idea-idea politik dunia yang digarap oleh Tom Clancy. Itu kisah 14 tahun dahulu. Malangnya minat membaca itu perlahan-perlahan ditelan arus kemodenan. Saya kemudiannya asyik dengan komputer dan internet. Memang ada manfaatnya tetapi hari ini saya merasa kerugiannya. Alangkah baiknya jika tempoh empat atau lima tahun itu diisi dengan membaca.
Pernah saya terbaca di dada akhbar, pelajar universiti Malaysia hanya membaca secara purata 12 buah buku sepanjang tempoh 3 tahun pengajian. Bermakna hanya 4 buah buku setahun, sebuah buku setiap 3 bulan. Ini terlalu jauh jika dibandingkan dengan pelajar Australia yang membaca 180 buah buku dalam tempoh yang sama!! Bahkan pelajar Indonesia pun membaca 94 buah buku!! (sumber: Utusan Malaysia)
Apabila kita meneliti statistik akhbar, akhbar berbahasa Inggeris lebih besar jualannya jika dibandingkan dengan akhbar berbahasa Melayu.
Saya risau. Adakah ini bermakna pelajar Melayu atau umat melayu umumnya membaca akhbar bahasa Inggeris? Atau sebenarnya kita sememangnya umat yang sedikit membaca? Atau mungkin kita membaca e-book? Kesimpulannya adalah jelas. Tepuklah dada, tanyalah hati. Adakah kita suka membaca? Apakah kualiti pemuda yang bakal kita lahirkan?
Saya cuba membuat sedikit kiraan tentang kaedah pembacaan. Secara purata, sebuah buku sederhana ada lebih kurang 300 muka surat dan setiap muka surat mengandungilebih kurang 250 patah perkataan. Jadi sebuah buku mengandungi lebih kurang 75,000 patah perkataan.
Jika kita membaca pada kadar 250 perkataan seminit (kelajuan yang agak normal) selama 15 minit setiap hari, maka kita akan dapat menghabiskan satu buku dalam masa 20 hari. Dalam 3 tahun kita seharusnya dapat menghabiskan 54 buah buku. Satu jumlah yang jauh lebih besar daripada hanya 12 buku.
Bayangkanlah jika kita membaca 54 buah buku dalam satu bidang, betapa besarnya ilmu yang bakal kita peroleh. Jika kita membaca 54 buah buku dalam 3 atau 4 bidang, masih lagi kita dikira sangat arif dalam bidang-bidang tersebut. Bagaimana jika kita terus membaca untuk 10 tahun seterusnya. Betapa kita bakal menjadi sebuah bangsa yang berpengetahuan dan terpelajar (walaupun masih di belakang Australia atau Indonesia).
Mungkin boleh saya kongsikan sedikit petua yang saya amalkan.
- Mulakan dengan membeli atau meminjam apa jua buku dalam bidang yang diminati. Tidak kiralah novel, buku sejarah, politik, ekonomi dan sebagainya. Belilah buku yang mudah dibaca i.e. tidak terlalu tebal.
- Letakkan sasaran untuk menghabiskan buku tersebut dalam jangkamasa tertentu. Sudah tentu lebih singkat lebih baik. Mungkin kita boleh sasarkan agar pembacaan selesai dalam tempoh 10 ke 14 hari.
- Amalkan sikap berkongsi apa yang dibaca dengan sahabat-sahabat atau di blog-blog peribadi. Buah kata dengan sendirinya menjadi lebih berisi apabila kita berbicara tentang buku-buku yang dibaca.
- Luangkan masa 15 ke 30 minit sehari untuk membaca secara konsisten. Pilihlah waktu yang paling sesuai, di awal pagi, sebelum tidur atau bila-bila yang sesuai dengan diri.
- Sentiasa ingatkan diri bahawa setiap bacaan kita untuk menimba ilmu akan menjadi ibadah dan diganjari Allah.
Untuk saya, kejayaan menghabiskan satu buku secara semulajadi akan memberi motivasi untuk buku seterusnya. Sahutlah seruan pemilik segala ilmu dalam bait yang pertama diturunkan kepada Nabi kita Muhammad s.a.w. “Bacalah dengan nama tuhanmu yang menciptakan…” Jangan kita tertipu dengan kemudahan sumber maklumat kerana banyak maklumat yang mudah diperoleh itu kurang manfaatnya. Maklumat yang paling banyak disebarkan rata-ratanya adalah berita-berita sensasi, gosip atau berita-berita yang tidak membina jiwa dan intelek kita. Ilmu itu tetap terkandung di dalam buku atau bacaan ilmiah. Khazanah masih tersimpan di lembaran-lembaran di kedai buku dan khutubkhanah, menanti tangan-tangan pemuda ini untuk mengambil manfaat daripadanya. Semoga kita mengamalkan budaya membaca dalam hidup kita. 30 minit sehari pun sudah memadai.
Disediakan oleh :
Saudara Amru Iskandar
P/S: Penulis sedang cuba menghabiskan buku “Alexander adalah Zulqarnain”. Boleh tahan tebalnya, 727 muka surat.

