Sinar Baru di MMU

Posted on April 20, 2010 by ummu wafa

Universiti Multimedia Melaka – Tanggal 11 April 2010 menyaksikan kebangkitan roh-roh perjuangan Islam oleh rijal-rijal yang bercita-citakan kemenangan Islam di atas muka bumi ini.

Satu mini siri daurah telah berjaya dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional cawangan Melaka dengan kerjasama rakan strategi dakwah mereka iaitu Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Melaka.

Program yang dikelolakan oleh Islamic Smart Team (I-Smart), MMU ini berlangsung selama setengah hari bermula daripada pukul 8 pagi hingga 2 petang.

Program ini bermula dengan sesi pendaftaran dan sarapan pagi. Sekitar pukul 9 pagi, slot pertama sesi daurah ini dimulakan dengan pembentangan tajuk “Ada Apa Dengan Tarbiyah?” yang mengupas isu-isu berkaitan kepentingan tarbiyah ke atas setiap individu muslim.

Sesi ini dimulai dengan sesi tayangan video berkaitan tentang kejatuhan sistem khilafah selama 30 minit dan diikuti dengan pembentangan penuh santai lagi padat daripada saudara Mohd Khoushaini Bin Mohd Naim, setiausaha agung Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Melaka yang bertindak selaku penceramah pada program tersebut.

Usai slot pertama, program berhenti sebentar dan diisi dengan tayangan video tentang nasib saudara-saudara seakidah yang berada di Palestin yang mana sehingga kini masih lagi dijajah oleh negara haram Israel.

Slot kedua pula disambung dengan perbincangan tajuk yang sangat menarik iaitu “Syahadatul Haq”. Walaubagaimanapun, sesi bedah buku tulisan Syeikh Abul Al-A’la al-Maududi ini hanya dapat dibincangkan dengan ringkas sahaja kerana kesuntukan masa.

Akhir sekali, bagi menambah kefahaman kepada para peserta, sesi bengkel memenuhi slot akhir bagi program kali ini. Para peserta dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil yang diketuai oleh fasilitator-fasilitator masing-masing bagi membincangkan soalan-soalan yang diberikan.

Program berakhir pada pukul 2 petang setelah para peserta bersolat Zohor secara berjemaah dan menikmati jamuan makan tengah hari yang ditaja oleh Amal Wafaa’ Entreprise. Program ini telah melibatkan mahasiswa dan mahasiswi IPT sekitar Melaka yang terdiri daripada UTEM, UNIKL, ADTEC, KPM Melaka dan MMU Melaka selaku tuan rumah.

Leave a Reply