Malam Aspirasi Siswa

Posted on April 20, 2010 by ummu wafa

Malam Aspirasi Siswa (MAS) 2010, program usaha sama antara PEMBINA Melaka dan  Jabatan Perwakilan Pelajar (JPP) Politeknik Merlimau Melaka (PMM) telah diadakan pada hari Selasa 13 April 2010.Sambutan yang diberikan daripada warga Politeknik Melaka begitu menggalakkan. Lebih 800 orang pelajar telah hadir  memenuhi Dewan Platinum Politeknik Merlimau Melaka. Inisiatif untuk menganjurkan program ini lahir daripada keprihatinan pihak pengurusan PMM untuk mempersiap dan  para pelajar dengan persediaan mental dan fizikal bagi mengharungi alam kerjaya yang begitu mencabar. Program ini dilihat begitu signifikan lantaran statistik pengangguran mahasiswa yang begitu membimbangkan dan keadaan semasa yang mencabar yang perlu didepani oleh para graduan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta masa kini. Tanpa menolak faktor kemelesetan ekonomi yang melanda negara kita, punca utama permasalahan ini antara lain ialah kurangnya pendedahan terhadap realiti alam pekerjaan semasa dan kemahiran asas komunikasi, keterampilan, pengetahuan asas serta jati diri yang terhad. Lantas PEMBINA Melaka, sebagai badan bukan kerajaan berasa terpanggil untuk menyahut jemputan dari pihak PMM bagi mengisi slot dalam program Malam Aspirasi Siswa (MAS) ini bagi mencapai objektif yang telah disepakati.

Antara panelis yang diundang bagi menjayakan forum ini  ialaha  saudara Muhammad  Lukman Al-Hakim bin Muhammad,  seorang Jurutera Petronas Penapisan Melaka merangkap Pengerusi  PEMBINA Melaka, panelis kedua iaitu saudari  Siti Affiza binti Mohammed  yang merupakan seorang usahawan  merangkap Ahli Jawatankuasa PEMBINA Melaka  dan panelis ketiga yang merupakan belia yang yang didatangkan khas dari ibu Negara iaitu saudara Usamah Bin Izer selaku pelajar Ijazah Ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia  merangkapahli jawatankuasa PEMBINA Kuala Lumpur. Forum pada malam itu telah dipengerusikan oleh saudara Nurul Aizam Bin Zaini yang merupakan ahli PEMBINA Melaka.

Program dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Ahmad Zaki Bin Hamdan yang juga merupakan salah seorang pelajar dan ahli Pembina Melaka. Majlis disusuli dengan ucapan Pengarah Program dan ucapan perasmian oleh Yang Di Pertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Politeknik Merlimau.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan forum MAS yang bertajuk ‘Mendepani Cabaran Masa Hadapan’.  Antara  isu yang dibincangkan dalam forum tersebut adalah mengenai kaedah  mahasiswa untuk memilih skop serta bidang pekerjaan, pemilihan jurusan ketika menyambung pelajaran dan pelbagai lagi tajuk yang berkait rapat dengan mahasiswa.

Panelis pertama iaitu saudara Muhammad Lukman Al-Hakim banyak menyentuh mengenai sikap para mahasiswa bagi  melahirkan individu yang berkualiti dan berpotensi sewaktu belajar dan bekerja. Beliau mengupas isu ini berdasarkan pengamatan dan pengalaman beliau sewaktu belajar di  Universiti of Melbourne, Australia dan sewaktu bekerja di Pertronas Penapisan.  Panelis yang kedua pula iaitu saudari Siti Affiza banyak melontarkan idea untuk menjadi usahawan yang berjaya selari dengan  sunnah Rasulullah iaitu berniaga. Saudari Affiza menekankan bagaimana  sembilan daripada sepuluh bahagian daripada pendapatan adalah melalui perniagaan. Selain itu, beliau juga turut berkongsi pengalaman sewaktu belajar di Universiti of Adelaide,Australia dan sewaktu bekerja sehingga menjadi usahawan yang berjaya.  Jika kedua-dua panelis tersebut mebicarakan berkenaan pengalaman mereka bekerja dan berniaga, panelis ketiga pula berbicara melalui  kacamata seseorang yang masih belajar yang mana beliau banyak memberi panduan mengenai kira-kira dan kewangan dalam perancangan masa hadapan. Di  samping itu,ketiga-tiga panelis tersebut banyak melontarkan idea dan pendapatyang membuka minda para peserta pada malam itu.

Forum pada malam itu bukan sahaja dihadiri oleh para pelajar PMM malah majlis tersebut turut dihadiri oleh pensyarah yang berminat  untuk mengetahui  mengenai PEMBINA dengan lebih lanjut.

Majlis pada malam tersebut turut dimeriahkan lagi dengan deklamasi sajak yang bertajuk ‘Belia Pembina Negara’ oleh saudara Zulfikar Azlan .Majlis diakhiridengan tayangan video ‘Shift Your Paradigm’ yang menyentuh hati  dan membuka minda para penonton dalam melakukan anjakan paradigma.  Semoga program pada malam tersebut dapat melahirkan belia dan beliawanis yang mempunyai matlamat yang jelas dalam kehidupan serta mampu berkongsi pengetahuan kepada belia dan beliawanis yang lain.  Ayuh marilah bersama-sama berada dalam barisan Belia Generasi Hadapan!

Disediakan oleh :

Saudara Zulfikar Azlan

Leave a Reply