Pengalaman Adalah Guru Terbaik
Posted on April 5, 2010 by ummu wafa
Benar, pengalaman adalah guru terbaik dalam melayari bahtera kehidupan yang tidak pernah sunyi dari badai dan gelora. Lontaran teori dan peringatan hanya mampu membentuk kefahaman minda, namun tidak bermakna apa-apa tanpa pengalaman sebenar atau latihan amali terhadap teori yang dipelajari.
Jendela sejarah Islam memperlihatkan bagaimana umat Islam diajar tentang kepentingan mematuhi arahan ketua melalui ‘kekalahan’ teruk dalam peperangan Uhud, Ka’ab Bin Malik diajar akan peri pentingnya menyahut seruan Ilahi tanpa tangguh dan leka melalui peristiwa pemboikotan yang berlarutan selama 50 hari manakala Bilal Bin Rabah pula diajar akan makna iman dan tauhid yang tidak berbelah bagi kepada Allah melalui rentetan penyiksaan keras dari pihak kafir Quraish di Mekah.
Atas dasar yang sama juga para pelajar bidang kejuruteraan dikehendaki melalui latihan industri, para pelajar jurusan perubatan perlu melalui fasa ‘housemanship’ manakala para pelajar kursus undang-undang pula perlu melengkapkan ‘chambering’ sebelum layak bergelar jurutera, doktor dan peguam.
Beberapa pengalaman yang saya pelajari dalam penganjuran program belia baru-baru ini:
- Sukan dan rekreasi merupakan magnet yang sangat kuat untuk menarik minat dan mencuri tumpuan para belia dan beliawanis selain hiburan dan cinta. Sebagai contoh, Piala Dunia yang diadakan setiap 4 tahun tidak pernah gagal mencatatkan penonton berjumlah jutaan yang majoritinya merupakan golongan muda. Lantas, sentimen ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh badan-badan atau persatuan belia yang bergerak untuk mengumpulkan generasi muda dalam aktiviti yang berfaedah dan membangun potensi besar yang ada dalam diri mereka.
- Perancangan dan pengurusan kerja yang mantap amat penting bagi menjayakan agenda besar yang ingin dilaksanakan. Atlet pecut 100 meter sebagai contoh melakukan pelbagai persediaan dan perancangan yang memakan masa bertahun-tahun lamanya hanya untuk mempersiapkan diri bagi satu perlumbaan yang berlangsung hanya kurang dari 10 saat!
- Hubungan baik dengan jabatan kerajaan, institusi berwajib dan agensi yang jauh lebih berpengalaman merupakan sesuatu yang tidak boleh diabaikan dalam menjayakan program-program pembangunan belia. Malah kerjasama dan konsep saling tolong menolong merupakan kunci kepada usaha integrasi untuk melahirkan generasi muda yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan datang. Masakan tidak, setiap pihak mempunyai kelebihan masing-masing. Lantas, penggabungjalinan kekuatan dan penyelarasan kerja antara pelbagai agensi belia pasti mampu mencapai matlamat besar yang diidam-idamkan.
- Usaha menyemai cara hidup Islam dalam kehidupan merupakan satu proses panjang yang tidak akan mampu dicapai dalam masa yang singkat. Penekanan aspek solat, menjaga aurat dan batasan pergaulan antara lelaki dan wanita terhadap anak-anak perlu bermula dari rumah sebagai sekolah pertama mereka. Dan usaha ini perlu dilaksanakan oleh ibu bapa sebagai guru pertama mereka. Apabila rebung telah menjadi buluh, maka pelenturan pasti akan menyebabkannya patah. Sejarah telah membuktikan, kelahiran manusia-manusia agung di atas muka bumi ini adalah hasil usaha dan pembentukan peribadi, misi kehidupan, kemahiran serta jatidiri yang bermula dari usia muda. Sultan Muhammad Al Fatih sebagai contoh dididik dengan sempurna dalam suasana Islam dan semangat jihad yang sentiasa hangat sebelum beliau berjaya membebaskan bumi Konstantinople bersama-sama 150,000 orang tenteranya hanya pada usia 21 tahun!
- Berfikiran terbuka, mesra masyarakat, ‘flexible’, ‘up-to-date’ dan berkaliber adalah ramuan penting dalam memastikan penerimaan masyarakat belia terhadap mana-mana organisasi atau persatuan. Fitrah generasi muda yang suka mencuba sesuatu yang baru, tidak suka dikongkong, aktif dan proaktif, terdedah dengan perkembangan teknologi dunia serta mempunyai kesedaran sosial yang tinggi menjadikan mereka golongan yang unik. Berpotensi besar tapi sukar dikawal. Maka, kemahiran-kemahiran tertentu diperlukan bagi gerakan-gerakan belia bagi menggarap lantas membangunkan generasi muda ini mengikut acuan yang dikehendaki.
Perkongsian di atas hanya merupakan sebahagian dari pengalaman yang ditimba, Sungguh, terlalu banyak untuk dicatatkan semuanya. Paling penting, pengalaman yang telah diperolehi begitu mahal harganya dan begitu kuat kesannya berbanding nasihat, teori dan kata-kata yang diajarkan kepada saya sebelum ini. Semuanya pasti menjadi guru terbaik yang akan memandu dan mendewasakan saya serta rakan-rakan seperjuangan lain demi menjayakan agenda pembangunan belia mengikut acuan Islam dalam program-program akan datang.
Syabas dan tahniah kepada semua tenaga penggerak yang telah bertungkus lumus merancang serta menjayakan program ini. Bukan sahaja penganjurannya amat berjaya dan mencapai objektif-objektif yang dikehendaki, malah pengalaman-pengalam an berharga yang dikutip darinya juga merupakan sesuatu yang tidak ternilai untuk dijadikan bekalan masa muka.
Terima kasih semua!
Terima kasih Karnival Sukan Belia Melaka (KASBEM) 2010!
Nukilan,
Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad,
Pengerusi,
PEMBINA Melaka.

