Wahai Belia, Jadilah ‘Sang Belia’!

Posted on April 3, 2010 by ummu wafa

kingdom-of-heaven-9

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun… dan akhirnya DUNIA BERGANTI DUNIA dan AKHIRAT menyapa kita! Wahai Sang Belia!

Aku menyeru Sang Belia yang ada dalam setiap diri belia. Aku menyeru Sang Belia untuk menampilkan wajahnya, keberaniannya dan ketangkasannya dalam membuat kerja, tidak mengenal erti penat-lelah dalam diari kehidupannya yang padat dengan babak-babak pengorbanan di jalan Allah. Hakikatnya, belia sepatutnya menjadi PROAKTIF seperti ‘Sang Singa’. Tetapi bagaimana?

Dengan mengimani dakwah Ilallah sebagai jalan hidupnya.

Belia Muslim harus sedar  bahawa dakwah ialah satu kewajipan terhadap mereka.

Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yg baik dan berdebatlah dgn mereka dgn cara baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yg lebih mengetahui siapa yg sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih  mengetahui siapa yg mendapat petunjuk [16:125]

Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung [3:104]

Menyampaikan mesej dakwah merupakan  tanggungjawab setiap Muslim berdasarkan kemampuan mereka. Walaubagaimanapun, dakwah ini haruslah bertunjangkan ilmu dan tindakan. Seseorang tidak boleh menyeru seseorang yang lain kepada Islam tanpa ilmu pengetahuan yang benar dan mengamalkannya terlebih dahulu dalam kehidupan.

Tanggungjawab ini ditekankan di dalam surah berikut yang menerangkan bahawa tidak menyampaikan risalah Islam dan menyembunyikan ilmu pengetahuan merupakan ketidakpatuhan terhadap Allah dan menyebabkan sumpah Allah dijatuhkan ke atas mereka.

Sungguh, orang-orang  yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan dan petunjuk setelah Kami jelaskan kapada manusia dalam Kitab (AlQur’an), mereka itulah yang dilaknat Allah dan dilaknat (pula) oleh mereka yang melaknat[2:159]

Menyeru manusia kepada Allah bermaksud menyempurnakan ibadah seseorang itu kepada Allah, ibadah yang merupakan tujuan manusia itu diciptakan Allah. Dalam erti kata lain, berdakwah melengkapkan sifat muslim seseorang itu. Hal ini  berdasarkan pada firman Allah:

Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, “Sungguh aku termasuk orang muslim (yang berserah diri)?” [41:33]

Dakwah yang ikhlas merupakan salah satu amalan yang paling mulia yang menjanjikan pulangan pahala yang BESAR.

Sabda Nabi Muhammad saw. :“Jika sekiranya Allah memberi petunjuk kepada seorang lelaki keranamu, nescaya itu lebih baik dari dunia dan segala isinya.”

Ayuh! Bangunlah belia dari tidurmu yang panjang dan berubahlah menjadi Sang Belia! Pikullah tugas dakwah yang mulia ini yang sebenarnya merupakan fitrah yang terselit dalam jiwamu.

Namun, apa yang berlaku kini cukup menyedihkan. Belia hanyut dalam arus khayalan dan fantasi sehingga leka dalam mainan dan hiburan. Belia hanyut dalam arus percintaan yang tiada ikatan dan jaminan sehingga terjebak ke dalam kancah perzinaan dan pembunuhan.  Belia tertipu dengan bisikan syaitan dan terperangkap dalam nafsu yang bermaharajalela sehingga kabur yang mana lawan dan yang mana kawan, yang mana haram dan yang mana halal, yang mana benar dan yang mana salah. Belia selesa dengan kenikmatan dan kesenangan dunia sehingga lupa erti prihatin, jihad dan pengorbanan. Belia terlalu  SIBUK DENGAN AGENDA DIRI sehingga MENGGADAIKAN AGENDA UMAT DI TEPI JALANAN.

Bangkitlah belia dan ubahlah arus perhambaan sesama manusia kepada penyembahan Allah, kezaliman dunia kepada keadilan Islam, kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

Untuk tatapan Sang Belia:

Dalam tempoh 5 tahun, bermula 2005, sudah dilaporkan 109,199 kes anak luar nikah.

(sumber:http://drhalimahali.wordpress.com/2008/04/04/indeks-jenayah-meningkat-ke-arah-negara-yang-tak-selamat/)

Kes rogol telah meningkat sebanyak 85% dari 2004 hingga ke 2007

Kes samun (melibatkan kekerasan) telah meningkat sebanyak 61% atau 1.6 kali ganda pada 2007 berbanding 2004

Sebanyak 33599 kejadian pecah rumah direkodkan pada 2007 berbanding 24904 pada tahun 2004. Statistik ini menunjukkan pertambahan sebanyak 8695 kes dan peningkatan sebanyak 35% pada tahun 2007 berbanding tahun 2004

Sumber: Statistik Polis Diraja Malaysia & Journal of the Kuala Lumpur Royal Malaysia Police College

Kemungkaran dan kezaliman sudah berlaku di depan mata. Apa peranan kita wahai belia? Bangkitkan SANG BELIA dalam diri dan cetuskanlah sinar perubahan, bawalah gelombang kesejahteraan di bumi ini atas nama-Nya.

Disediakan oleh,

Siti Amalia Samaruddin
Ahli PEMBINAmelaka.com

Leave a Reply