Gerai Konvo PEMBINA Di Politeknik Merlimau

Posted on April 3, 2010 by ummu wafa

Alhamdulillah dan setinggi-tinggi syukur kepada Allah kerana Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Negeri Melaka buat julung-julung kalinya telah berjaya mengadakan gerai pameran dan jualan bersama Aman Palestin di Politeknik Merlimau Melaka.  Pameran selama 3 hari tersebut adalah bersempena dengan Majlis Konvokesyen Politeknik Merlimau Melaka kali ke-6. Sebanyak 10 orang belia dan 5 orang beliawanis telah terlibat dalam menjayakan pameran dan jualan  gerai PEMBINA dan Aman Palestin tersebut. Ucapan terima kasih dan setinggi- tinggi penghargaan kepada pihak Politeknik Merlimau Melaka kerana sudi menjemput PEMBINA untuk  membuka gerai pameran dan jualan bersama Aman Palestin.

DSC01831

Pada hari pertama gerai dibuka, gerai PEMBINA dan Aman Palestin telah mendapat sambutan yang hangat daripada warga Politeknik Merlimau Melaka khususnya golongan belia.  Melalui pameran serta buku pengenalan mengenai PEMBINA, pengunjung dapat mengenali PEMBINA dengan lebih mendalam. Pengunjung juga tidak melepaskan peluang untuk mendaftar sebagai sukarelawan PEMBINA. Sambutan yang diberikan begitu positif sehingga borang pendaftaran tidak mencukupi bagi pengunjung yang hadir.

DSC01827

Belia dan beliawanis PEMBINA Politeknik Merlimau juga tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam aktiviti kebajikan serta kemasyarakatan dengan membantu pihak Aman Palestin mengedarkan buletin Aman Palestin dan melancarkan kutipan sumbangan bantuan ke Palestin di sekitar kawasan Politeknik Merlimau terutama sewaktu berlangsungnya Forum Perdana Hal Ehwal Islam. Forum ini telah menampilkan Prof. Dr. Riduan Tee Abdullah sebagai panelis. Kupasan dan perbincangan forum juga dilihat begitu bertepatan dalam menggalakkan golongan belia dan beliawanis untuk terlibat dalam kerja-kerja amal bagi membantu masyarakat.

Gerai PEMBINA bersama Aman Palestin yang telah berlangsung selama 3 hari  telah memberi kesan yang positif dalam isu jati diri, hala tuju kehidupan, Palestin,dan kemanusiaan terhadap belia dan beliawanis yang hadir ke  gerai pameran dan jualan tersebut.  Sebilangan besar pengunjung yang hadir dan melihat pameran tersebut amat berminat untuk mengetahui dengan lebih dekat dan mengikuti program PEMBINA. Belia dan beliawanis di tempat lain pula bagaimana? Semoga para belia dan beliawanis di seluruh negara juga  tidak melepaskan peluang untuk menjadi belia dan beliawanis yang berkualiti, produktif dan prihatin serta mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara tercinta. Ayuh, mari bersama-sama sertai PEMBINA seterusnya menjadi ‘Belia Generasi Harapan! .

Disediakan oleh
Zulfikar Azlan Muhammad
Ahli PEMBINAmelaka.com

Leave a Reply