Lidah yang bersauh
Posted on March 26, 2010 by ummu wafa
Suatu petang, sambil saya mengisi Compressed Natural Gas (CNG) ke dalam kereta di salah satu stesen Petronas di Melaka, mata saya sibuk memerhati gelagat pemandu lain yang juga ingin mengisi gas. Saya dapati ramai yang tidak mematikan enjin sewaktu mengisi gas atau minyaks edangkan telah dipaparkan dengan jelas simbol matikan enjin di dinding pam. Berderau juga darah saya melihat keadaan begitu.Maklumlah sebagai jurutera saya sedia maklum akibat perbuatan mereka jika berlaku sebarang kebocoran. CNG tidak berbau seperti Liquefied Petroleum Gas (LPG) memasak di rumah. Deria biasa tak boleh mengesan kehadirannya. Memang ada pengesan atau sensor di stesen minyak tetapi apa guna sensor kalau kebocoran telah berlaku dan terdapat sumber nyalaan api seperti ekzos kereta berdekatan?
Lalu saya bertekad, jika berjumpa dengan mana-mana pemandu yang tidak mematikan enjin maka saya akan tegur dan minta dimatikan enjin. Bukan mudah rupanya. Bagi yang ‘baik’ mereka akan matikan enjin tanpa banyak soal. Bagi yang ‘kurang’ memang seribu macam alasan. Alasan paling biasa adalah, ”Saya dah bertahun pakai CNG, tak pernah ada sebarang masalah. Kalau di KL saya isi sendiri je pun”. Bahkan kadang-kadang ada pemandu teksi yang tidak mematikan enjin dan ada penumpang di dalamnya. Saya kesal dengan sikap mereka yang tidak menghargai nyawa sendiri dan nyawa orang lain. Apabila diberi nasihat dan teguran untuk kebaikan bersama, ada yang melenting dan sebagainya.
Fikiran saya menerawang kenapa susah sangat ‘orang kita’ nak menerima nasihat demi kebaikan mereka sendiri?
Barangkali pengalaman mereka mengatakan cara mereka betul walaupun secara teknikalnya ia salah dan mereka cuma bernasib baik kerana tidak ada insiden buruk yang berlaku ke atas mereka. Jadi pertimbangan mereka cuma berdasarkan pengalaman sendiri sahaja dan selagi tidak kena atas batang hidung maka dikira tidak mengapa.
Barangkali mereka ada kepentingan dengan tidak mematika enjin ketika mengisi minyak atau gas Mungkin boleh keluar dari stesen lebih cepat, boleh menjimat penggunaan bahan api dan sebagainya. Jadi kepentingan dan keuntungan peribadi sebegitu mengatasi kepentingan memelihara perkara yang lebih besar iaitu keselamatan diri dan orang lain.
Barangkali mereka sudah terlalu lama tidak ditegur. Jadi selama ini mereka berpendapat mereka melakukan perkara yang betul. Merekalah suami yang memimpin, merekalah bapa yang ditaati anak-anak. Merekalah ketua-ketua pejabat. Boleh jadi sudah bertahun-tahun mereka tidak menerima teguran yang bersifat peribadi. Jadi sebarang teguran daripada orang lain boleh mencemar ego dan mengguris perasaan. Mereka telah dididik didalam suasana tanpa teguran dan nasihat.
Barangkali saya yang menegur ini hanya orang muda yang dianggap tidak layak untuk menegur. Tauliah menegur hanya ada pada pembesar dan alim ulama’, ketua kampung dan tok sidang. Agaknya, kalaulah yang menegur itu seorang budak 10 tahun, apakah respon kita agaknya?
Pada saya inilah dilema Melayu yang telah diracuni dengan idea individualism yang melampau. Kita dididik supaya tidak menjaga tepi kain orang dan pejamkan mata walaupun kain orang itu terbakar. Ego kita disuburkan dengan sifar malu menegur dan menjaga hati yang keterlaluan lantas perkara-perkara yang salah tidak ditegur oleh orang yang memandang.
Kita jauh dari suasana nasihat-menasihati di zaman nabi dan sahabat. Bahkan pengalaman saya dengan masyarakat Barat yang bukan Islam juga menunjukkan mereka lebih terbuka dan mengalu-alukan teguran. Tidak ada di sana konsep berasa hati di atas teguran yang baik.
Inilah cabaran kita bersama. Adakah kita akan menegur kesalahan sahabat kita, baik yang bersifat umum mahupun peribadi? Adakah kita akan berlapang dada menelan semua teguran atau kita akan merasa ‘tidak puas hati’ dengan orang yang menegur? Semoga kita menghidupkan semula satu generasi unggul dengan budaya tegur menegur, nasihat menasihati sesama kita.
Nukilan,
Amru Iskandar Burhan
Ahli PEMBINAmelaka.com


