Nostalgia Kampus..
Posted on March 6, 2010 by ummu wafa
Baru-baru ini saya telah membeli sebuah buku yang berkaitan tentang perkembangan Dakwah Kampus secara online. Di samping tajuknya yang menarik, saya merasakan juga, saya sebahagian insan kerdil yang cuba membawa dakwah di kampus khususnya di tempat saya belajar dahulu.
Mengapa saya tertarik dengan buku ini? Tarikan yang utama adalah penulis buku ini. Siapakah beliau? Sebelum saya memperkenalkan beliau, ingin saya menceritakan bagaimana saya mengenalinya.
Ketika saya melayari internet dan melihat perkembangan dakwah yang dilakukan oleh sahabat NGO Islam yang lain, saya terbaca satu nama yang seakan-akan mesra di ingatan. Saya cuba selidiki nama tersebut maka dan saya terjumpa akan blog penulis tersebut. Dengan memberanikan diri, saya bertanya kepada beliau,
“Mungkin saudara anak murid saya dahulu. Saya kenal abang anda, bahkan kami sebaya!”
Keesokan harinya beliau membalas soalan saya. Sahlah, bahawa beliau merupakan bekas pelajar saya dahulu.
Setelah saya mengambil peperiksaan STPM, di Kolej Islam Klang pada tahun 1990, saya mengajar secara kontrak di salah sebuah sekolah kerajaan berhampiran rumah saya.
Pada ketika itu beliau merupakan pelajar tingkatan 4 manakala saya pula merupakan seorang ustaz muda yang garang.
Apa yang membanggakan saya, sekarang ini beliau merupakan Pegawai Perhubungan Korporat di sebuah NGO Islam, telah memiliki Ijazah Sarjana dan memiliki keluarga yang bahagia. Jika dahulunya, ketika saya mengajar Pendidikan Islam di kelasnya, beliau adalah pelajar yang biasa dan bersekolah di sekolah yang biasa sahaja. Alam universiti serta tarbiyyah Islamiah yang diperolehinya banyak mengubah hidupnya daripada insan yang biasa kepada luar biasa.
Oleh itu saya menyeru kepada adik-adik PEMBINA khususnya supaya mengambil mutiara serta permata yang amat bernilai sepanjang menjadi mahasiswa. Empat atau lima tahun semasa menjadi mahasiswa dan mahasiswi bukanlah masa yang panjang. Rebutlah peluang dengan hadir dan mengambil manfaat daripada pembelajaran dalam kumpulan, program-program perkhemahan, program kembara ilmu, program qiamullail dan sebagainya. Selaras dengan hadis Rasulullah s.a.w, “Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara yang lain iaitu usia muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum papa, hidup sebelum mati dan lapang sebelum sibuk”
Selamat Berjuang
Zulkiplee Hassan

