Bowling ..mekarkan ukhuwwah!

Posted on March 6, 2010 by ummu wafa

Pusat Boling Antarabangsa Melaka Air Keroh, 20 Februari 2010: Setelah hampir seminggu warga Universiti Multimedia (MMU) Kampus Melaka bercuti sempena dengan perayaan tahun baru cina, Islamic Smart Team atau lebih di kenali sebagai I-SMART MMU telah berkumpul semula untuk menjalankan aktiviti I-SMART GATHERING. Perjumpaan ini merupakan julung-julung kali nya di anjurkan untuk para peserta I-SMART khususnya sejak penubuhan I-SMART pada awal Semester 1 MMU iaitu pada Julai 2009.

Program I-SMART GATHERING di mulakan dengan perjumpaan semua ahli Program Generasi Al-Quran (Gen Q) dan Smart Circle, penggerak, penaung dan penasihat I-SMART di masjid MMU untuk solat Maghrib secara berjemaah. Selepas solat Maghrib, sesi tazkirah ringkas telah disampaikan kepada para peserta lelaki oleh penasihat I-SMART , Ustaz Luthfi Bin Bakar yang juga pegawai Unit Agama & Hal Ehwal Pelajar MMU. Tazkirah bagi peserta perempuan juga turut dijalankan di bahagian muslimah.

Tajuk tazkirah yang disampaikan adalah “Maulidur Rasul”. Antara perkara-perkara penting yang disentuh dan dibicarakan oleh Ustaz Luthfi adalah tentang kurangnya kesedaran masyarakat untuk mengambil ikhtibar dan hikmah daripada pengorbanan serta perjuangan Rasullulah SAW dalam membawa ajaran Islam sehingga berkembang di seluruh dunia seperti yang kita lihat pada hari ini. Malah pengorbanan Baginda menyebabkan kiat semua dapat merasai nikmat iman dan Islam. Masyarakat pada hari ini terutama dalam kalangan remaja semakin jauh terpesong daripada ajaran agama Islam yang sebenar. Malah mereka semakin hanyut dengan segala bentuk hiburan yang melalaikan dan memusnahkan akidah.Ustaz Luthfi juga turut membicarakan tentang akhlak Rasullulah SAW yang telah menjadi asas kepada peribadi mulia Baginda melalui kisah mengenai si Yahudi buta yang memeluk Islam setelah kewafatan Rasullulah kerana kagum dengan akhlak mulia Rasullulah yang tidak pernah marah malah memberi makan kepada si Yahudi buta yang seringkali mencerca dan menghina Baginda. Tazkirah diakhiri dengan doa yang dibacakan oleh Ustaz Luthfi. Selepas sesi tazkirah, para peserta bersama dengan Ustaz Luthfi makan malam bersama sebelum menunaikan solat Isya.

Selepas selesai solat Isya’ berjemaah di Masjid MMU, aktiviti I-SMART GATHERING diteruskan dengan aktiviti riadah bermain iaitu permainan boling. Para peserta bergerak ke Pusat Boling Antarabangsa Melaka bertempat di Air Keroh berdekatan dengan MITC Melaka. Para peserta seramai 26 orang terdiri daripada 17 orang peserta lelaki dan 9 orang peserta perempuan telah dibahagikan kepada 9 lorong balingan yang berbeza untuk lelaki dan perempuan. Aktiviti riadah ini turut dihadiri oleh saudara Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad,pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) dan saudara Mohd Khoushaini Mohd Naim, Setiausaha Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), dimana mereka turut serta bersama dengan ahli-ahli I-SMART yang lain untuk bermain boling.

Permainan boling dimulakan kira-kira pada pukul 9.45 malam.Permainan diatur sebanyak dua pusingan bagi setiap peserta. Rata-rata ahli I-SMART beraksi dengan baik dan tidak kekok dalam menunjukan bakat bermain boling. Aktiviti I-SMART GATHERING diakhiri dengan sesi tazkirah ringkas yang disampaikan oleh saudara Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad. Antara perkara yang disentuh dalam sesi tazkirah yang ringkas ini adalah Islam adalah agama yang syumul. Islam menuntut umatnya untuk maju dan mencari ilmu dan Islam tidak melarang sebarang aktiviti seperti aktiviti riadah dan sukan dan juga hiburan selagi mana aktiviti tersebut tidak melanggar batas syarak yang telah ditetapkan dalam ajaran agama suci Islam. Ini selari dengan 10 Muwasafat Tarbiyah yang telah digariskan oleh As-syahid Imam Hassan Al-Banna, pengasas Ikhawanul Muslim dimana beliau telah mengariskan tentang perkara ke-5 dari 10 Muwasafat Tarbiyah ini yang menyeru semua umat Islam mempunyai tubuh badan yang sihat dan kuat. Ini adalah aspek yang penting kerana seorang Muslim perlu mempunyai tubuh badan yang sihat dan kuat bagi menjalankan kerja-kerja dakwah yang penuh dengan cabaran yang menguji aspek fizikal dan mental.Setelah selesai sesi tazkirah, para peserta pulang ke halaman MMU.

Akhir kata, program I-SMART GATHERING yang diadakan ini adalah untuk merapatkan ukhuwah sesama warga I-SMART yang terdiri dari ahli Program Generasi Al-Quran (Gen Q) dan Smart Circle, penggerak, penaung dan penasihat I-SMART. Semoga pertemuan yang ringkas dan sementara ini dapat menjadi titik tolak kepada penerusan dan pengukuhan ukhuwah dalam mencapai objektif penubuhan I-SMART di Universiti Multimedia Melaja.Semoga bertemu lagi di program yang lain.Wallahuallam.

Disediakan oleh

Abu Husin Bin Mohamed Noor

Pengarah I-SMART GATHERING.

Leave a Reply