Ketsana – Petanda Maha Pencipta

February 3, 2010 by ummu wafa  
Filed under Kafe Cinta, Simfoni Kehidupan

29 September 2009. Hari ini hari pertama kami tidak bekerja akibat taufan yang melanda.  Dahsyat bukan kepalang. Ribut Ketsana kini sudah meragut lebih 100 nyawa di Filipina. Kini, ribut tersebut menuju destinasi landfall di Binh Son yang terletak lebih kurang 30 km dari rumah kami di Quang Ngai. Pagi itu kami tetap bergerak ke refinery. Namun, hasrat kami terbantut akibat cuaca yang buruk dan terlalu banyak pokok yang tumbang. Bimbang akan keselamatan, kami berpatah balik ke Quang Ngai. Setibanya di tengah bandar Quang Ngai, kami mendapati air sudah mula naik.

New Picture (4)

Apabila tiba di rumah, kami mendapati bekalan elektrik dan air telah terputus. Sungguh-sungguh bencana alam ini begitu menguji kesabaran kami. Angin bertiup kencang. Hujan turun mencurah-curah. Tidak banyak yang boleh kami lakukan di rumah. Cuma menunggu dan mengharapkan cuaca lekas kembali seperti sediakala.

Jarum jam menunjukkan angka 3. Saya kebosanan lantas mencapai baju hujan. Bersama majikan, kami mula melangkah keluar dalam ribut yang mengganas. Kami Cuma ingin meninjau keadaan di luar sana. Paras air Sungai Tra sudah mula mencecah benteng keselamatan. Gerai-gerai yang terletak di sebelah bawah benteng sudah musnah, hanyut dek arus yang deras.

Kami terus berjalan melepasi Hotel PetroSetco. Kelihatan papan tanda besar hotel sudah terkulai dan dinding kaca bahagian dapur juga sudah tiada. Barangkali pecah berkecai dihempas objek yang diterbangkan taufan, Kami terus melangkah menuju ke pusat bandar.

New Picture (3)

Pokok-pokok begitu banyak yang tumbang. Zink papan tanda kedai menyembah bumi. Wayar-wayar elektrik dan kabel telefon terputus dan merintangi jalan raya. Apabila menghampiri bandar, kami terpaksa meredah banjir. Pada mulanya paras air cuma setakat buku lali dan akhirnya paras air mencecah peha.

New Picture (1)

Sedar tak sedar, sudah 3 km kami meranduk air dan meredah banjir. Pelbagai ragam manusia dapat dilihat tatkala menghadapi musibah ini. Keseluruhan jalan yang biasa dilalui oleh kami untuk ke refinery ditenggelami air. Sempat juga kami singgah di kedai roti untuk membeli beberapa buku roti sebelum kembali ke rumah, MasyaAllah, kedai roti tersebut turut ditenggelami air separas lutut!

Kami menggunakan jalan yang lain untuk pulang ke rumah. Jalan tersebut turut ditenggelami air.  Maghrib menghampiri dan kami sudah berjalan selama 3 jam. Kami berhenti sebentar untuk meraikan majikan saya yang berbuka puasa 6 hari Syawal. Santapan kami cuma roti yang dibeli tadi.  Roti pun rotilah! Masih jua rezeki dari Allah. Alhamdulillah. Hari sudah mula gelap dan tiada lampu jalan untuk menerangi perjalanan kami. Kami mengatur langkah dengan lebih laju. Niat Cuma satu; mahu segera sampai ke rumah yang terletak lebih kurang 1 km dari tempat kami berhenti tadi.

Syukur alhamdulillah, akhirnya kami tiba di rumah. Baru teringat bekalan elektrik sudah terputus. Sungguh-sungguh kami berdua lupa untuk membeli lilin di bandar tadi. Bekalan air juga tiada. Terpaksalah kami membatalkan niat untuk mandi setelah puas bermain banjir. Namun kesusahan yang sedikit itu digantikan dengan pengalaman beharga: melihat kesan Taufan Ketsana. Hanya dengan sedikit kekuasaan Yang Maha Esa, seluruh bandar lumpuh dan manusia jua seolah-olah tidak keruan dan hilang punca. Lantas, adakah kita sedar dan beringat?

Disediakan oleh’

Amru Iskandar,
(Penulis merupakan aktivis PEMBINA yang telah dihantar bekerja ke Vietnam selama 8 bulan.)

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!