Mujahadah: Akhlak atau hanya retorik berkala ?
Posted on February 4, 2009 by admin
Sketsa 1: Si budak comel
“Safiyyah nak pi school dak? Jom kita pakai shoes” ajak saya buat anak comel yang seorang itu di pagi Isnin yang indah.
Bingkas terus si Safiyyah bangkit dari duduk dengan tangan mengenggam erat segumpal kismis yang dibekalkan. Terhoyong ke kanan dan ke kiri mengatur langkah kecil. Seketika masuk ke ruang tamu terus diacahnya kerusi ala jepun. Minta didudukkan. Senang pakai shoes agaknya. Sudahnya, kakinya digoyang sambil mengacu untuk disuakan sepasang kasut merah.

Semangat si budak comel untuk menyambung sessi pra-tabikanya…
Sketsa 2: Zaman Awal Kanak-Kanak
“Mak, mana pensil box angah ye, angah dah isi barang-barang baru tadi malam tu“, jerit saya pagi itu.
Hari pertama sekolah. Melangkah masuk ke darjah 6 Kuning dengan semangat yang senantiasa mekar membara. Semangat yang tidak pernah pudar sejak kali pertama melangkah ke sekolah usang itu 5 tahun yang lalu. Barangkali semangat seorang yang tidak pernah tidak hanya kenal erti cemerlang di tangga pertama kelas saban tahun.
“Ada tu, dalam beg Angah yang lama tu. Mak dah masukkan. Bekal sarap pun mak dah siapkan kat tepi beg tu. Jangan lupa bawak“, ujar mak tenang.
Digelengkan kepala yang tak pening itu melihat semangat anaknya yang kedua itu. Tahun ni UPSR. Moga Allah kekalkan semangatnya, pinta mak jauh di sudut hati.
Semangat anak harapan FELDA untuk melakar sejarah…
Sketsa 3: Pra-Belia
“Bro, dah daftar subjek ke? Berapa subjek eh sem ni..” ujar seorang teman rapat.
“Dah. Awal-awal lagi. Nak kelas best plus lecturer baik. Kena lah daftar awal. Kang kelas dah penuh,” terang saya.
“Nie hah jadualnya. Kalau nak kelas sama aaa“, tambah saya lagi sambil menyuakan jadual yang sudah didokumentasikan dan dicetak kemas. Masih panas lagi jadual yang sudahpun turut dilaminasi. Memang itu tabiat saya. Menyediakan bahan untuk masuk ke kelas sejak awal semester lagi. Tiada lah kelam kabut mencari kelas di mana esok harinya.
“Err, dude ada nota untuk subjek Database kita tak? “
“Tu hah atas meja. Ambiklah sendiri…”, mencuih mulut saya bersungguh menunjukkan kelibat nota yang telah tersedia berjilid. Bukan mudah untuk berjaya. Tasawwur tentang saling kaitan pengorbanan dan natijah kejayaan harusnya dimulai seawal semester. Meletakkan tekad dan iltizam yang tepat di kotak minda pastikan mampu memayungi jalan yang masih kabur sudahnya.
Semangat pemuda Muslim yang dambakan kemuliaan..
Sketsa 4: Saya masih budak baru belajar.
“Assalamu’alaikum and Good morning guys” sapa saya memulakan kelas pagi Isnin yang lalu setelah berehat 3 minggu sementelahan cuti akhir semester.
Suram. Koleksi muka-muka yang keperitan. Mungkin penat berjuang melawan si cerdik syaitan yang menggoda di pinggir katil. Isnin. 8 pagi. Hari pertama semester baru. Tiada frasa yang mampu menggambarkan keadaan siswa-siswi alaf baru ini.
“Disaster!!” Mungkin itu yang paling hampir.
“I already uploaded the notes since last week… Emm.. anybody got it printed aight?” tanya saya.
Satu. Du.. Du.. Du..
“Only one.. Hmm, we gotta cancel our class though..” laju bicara meluncur dari bibir. Kecewa? Barangkali.
“Bla bla bla…..”
“Ok guys, that’s all for today. Don’t forget to print ya material yeah. See ya next Thursday. Cheers!”
“Assalamua’alaikum Warohmatullah..” saya menyudahkan syarahan. Satu perempat dari 2 jam. Lebih wajar dari 2/2 dengan hanya seorang yang bersedia.
Phewww..
**************************************************************************************
Mujahadah. Klaus yang menggambarkan satu api perjuangan yang membara. Kosa kata yang didefinasikan sebagai semangat juang yang konsisten. Justeru itu, dominannya mujahadah menemani perjalanan hidup yang tidak tentu pendek panjangnya adalah suatu yang harus difikirkan. Ianya bukan hanya sekadar retorik dan permainan si budak kecil. Ianya adalah penentu kesudahan hidup kita. Husnul khotimah.
Saya suka bicara isu mujahadah dalam konteks para pemegang amanah di atas jalan ini. Sejauh mana kita memperbaharui semangat untuk terus thiqoh dan tsabat di atas jalan dakwah yang mulia ini. Sebagaimana anak kecil yang tidak mampu melelapkan matanya menunggu hari esok demi memperagakan baju dan kasut barunya di hari pertama sekolah, sebegitu jugalah, malah harus lebih baik semangat kita dalam memperkasakan perjuangan ummah ini.
Hari ini harus lebih baik dari semalam. Dan esok harus dipastikan lebih baik dari hari ini.
Mujahadah adalah indikator kejayaan tarbiyah seorang pelajar Muslim. Mujahadah juga ibarat kayu ukur kesungguhan seorang Muslim dalam menterjemahkan amal praktis Islami secara konsisten dalam hidupnya. Mujahadah hanya akan ternoktah dengan panggilan Ilahi. Itupun jika tidak diberi peluang hidup kali kedua. Jika ada, pastinya semangat itu akan terus hidup berlipat kali ganda.
Seorang Muslim tidak pernah kenal erti jemu dan jenuh,
Seorang Muslim tiada frasa putus asa dalam kamus hidupnya,
Seorang Muslim tidak pula pernah merasa cukup dan selesa,
Seorang Muslim yang benar harus senantiasa teruja semangatnya..
Harus senantiasa mencorakkan suatu yang positif dalam kotak fikirnya,
Wajar juga dia mengusahakan perihal kreatif dan inovatif,
Melihat hari esok dengan sinar mata yang berkobar,
Mereka kematian dalam rasa penuh tawadu’..
Dengan mujahadah sebagai perisai…….
Justeru, pesanan buat saya dan rerakan yang lain, agar terus muhasabah dan menilai tahap mujahadah kita saban hari. Mungkinkah kita sudah ada rasa berpada dengan apa yang ada. Atau kita senantiasa mendambakan suatu yang lebih positif.
Nah, biarpun anda seorang Muslim era 50-an, jiwa harus terus tegar disirami lagak mujahadah al-Qassam!!
Bagi pihak sidang editorial PEMBINA Melaka, tidak terlewat untuk saya mengirimkan salam ukhuwah buat para pembaca. Muga dengan sokongan yang diberikan, kami akan senantiasa mujahadah dalam perjuangan di alam maya ini. InsyaAllah, sedikit masa lagi, laman sesawang PEMBINA akan dirasmikan pelancarannya. Moga Allah mengurniakan kami kekuatan dari semasa ke semasa dengan usaha sekecil ini untuk terus meneladani masyarakat.
Pada Allah jua kami panjatkan harapan dan pertolongan..
Dari Meja Editor,

Saudara Khair Razlan Othman,
Ketua Editor,
Sidang Redaksi PEMBINA Melaka.
http://ibnukhair.wordpress.com

