Lima Sukarelawan Aman Palestin ke Gaza

Posted on January 22, 2009 by admin

BANGI 21 Jan. – Lima sukarelawan Aman Palestin akan berlepas ke Mesir malam ini dan akan cuba memasuki Gaza melalui sempadan Rafah untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa kezaliman tentera Israel itu.

aman-palestin

Pasukan yang diketuai Pengerusi Eksekutifnya, Abdullah Zaik Abd. Rahman dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Palestin itu akan menyampaikan sendiri bantuan berupa ubat-ubatan, makanan, ambulans dan janakuasa serta peralatan pembedahan.

Ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini, Abdullah Zaik berkata, bantuan pertama ini bernilai lebih RM800,000 yang merupakan sumbangan rakyat negara ini.

“Di Mesir, kita membeli sebuah ambulans yang lengkap dengan peralatan unit rawatan rapi dan pembedahan, tiga janakuasa bagi kegunaan hospital dan pakej makanan berkhasiat,” katanya.

Selain beliau, pasukan itu turut dianggotai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Aman Palestin iaitu Ir. Zaini Awang, Hasimah Salleh, Shamsul Maarif Ismail dan Abd. Rahman Mat Dali yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah, Bangi.

mesir_gaza_sumbangan06_web

Abdullah Zaik berkata, di samping misi menyampaikan bantuan kemanusiaan, pihaknya juga akan meninjau kesan kemusnahan ekoran serangan Israel baru-baru ini bagi merangka pelan bantuan selanjutnya.

“Tinjauan itu penting bagi menganggarkan bantuan susulan dan mengikut perancangan, kita akan tambah bantuan lebih banyak seperti kelengkapan hospital dan pakej bantuan pelarian,” katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, Aman Palestin berharap lebih ramai rakyat Malaysia yang tampil menghulurkan sumbangan kepada rakyat Palestin.

“Kita tidak melihat isu ini tamat begitu sahaja kerana rejim Zionis memang tidak pernah mematuhi gencatan senjata yang dicanangkan sendiri,” katanya.

Bantuan kepada Aman boleh disalurkan melalui cek atas nama Aman Palestin Berhad dan juga terus dimasukkan ke akaun Bank Islam (12029010047880) atau Maybank (562263010787).

 

Sumber Rujukan: Utusan Malaysia 22/01/2009

Comments (1)

 

  1. Nabilah Othman~ says:

    Salam ziarah.

    Saya mahasiswa tahun akhir Universiti Malaya. Menyedari keperitan saudara seakidah di sana membuatkan hati saya melonjak2 utk menabur khidmat bakti di sana. Mungkin tinta kali ni agak aneh.Maafkan saya. Mungkin pihak admin boleh membantu. Syukran jazilan~

Leave a Reply