Langkah Bermula
Posted on January 1, 2009 by admin
Assalamualaikum W.B.T
Corak kehidupan dan karakter manusia merupakan cernaan keyakinan serta agenda kehidupan yang diperjuangkan. Lantas, tidak hairanlah jika hari ini kita menyaksikan rencam ragam dan kepelbagaian kerenah manusia dalam melayari kehidupan mereka yang serba sementara. Golongan belia juga tidak terkecuali dalam hal ini. Dalam pada kita berbangga dengan pelbagai pencapaian positif yang dikecap oleh golongan belia samada dalam arena kepimpinan, ekonomi, aktiviti kemasyarakatan mahupun sukan, tidak kurang juga aneka kepincangan yang kian menular dalam komuniti belia secara umumnya. Tidak perlulah kita menuding jari dan menjadikan golongan belia di negara-negara Barat sebagai contoh, kerana sesungguhnya polemik sahsiah yang dipaparkan di hadapan mata kita oleh muda mudi berbangsa Melayu dan beragama Islam di Malaysia lebih parah lagi kondisinya.
Yang terbaru ialah fenomena pengkid yang semakin berleluasa. Sebelum ini sudah muak rasanya kita disogokkan dengan kes-kes hubungan seks luar nikah, pesta dadah dan arak, budaya hedonisme yang melampau, bohsia, lumba haram, bunuh diri, pembuangan bayi yang tidak berkesudahan serta banyak lagi barah yang melanda golongan belia. Pendek kata, muda mudi Islam hari ini sudah hilang indentiti dan keliru akan halatuju serta haluan hidup mereka. Lebih parah lagi apabila tiada tangan-tangan yang sudi memandu mereka ke jalan kebenaran lantaran masyarakat secara umumnya masih dibelanggu kejahilan agama dan krisis akhlak yang kritikal.
Di tengah-tengah kemelut inilah lahirnya Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) demi membawa arus perubahan kepada suasana belia Islam yang amat menyedihkan kini. Tanpa menolak potensi-potensi positif yang telah sedia ada, PEMBINA tampil untuk menyediakan penawar kepada penyakit masyarakat yang kian membarah. Penyelesaian yang diketengahkan cukup mudah, menjelaskan kembali agenda kehidupan yang sepatutnya dijunjung tinggi lantas mencatur tingkah serta langkah bagi mengimplementasikan agenda tersebut dalam realiti kehidupan yang sebenar.
Agenda tersebut ialah agenda ISLAM!
Dan Islam yang diperjuangkan ialah cara hidup yang menyeluruh, sempurna serta menyempurnakan. Bukan sekadar agama yang disempitkan ruang lingkupnya, malah dibiarkan terdampar sepi di atas tikar sejadah dan di rumah-rumah ibadah oleh cengkaman fahaman sekularisme yang semakin meruncing.
Menjadi harapan PEMBINA untuk menarik minat para belia, menyediakan pentas alternatif bagi aktivisme mereka serta mengutarakan pandangan umum sekitar isu-isu berkaitan belia di Malaysia.
Untuk mendalami dengan lebih lanjut perihal agenda dan seputar perjuangan kami, teruskanlah membaca dan mengikuti rapatĀ perkembangan PEMBINA di alam serba maya ini. Rentetan program dan aktiviti yang bakal dianjurkan sentiasa menanti kehadiran dan sumbangan anda semua.
Teruskan bersama kami!
Sekian, Terima Kasih.
Wassalam.
![]()
Saudara Muhammad Lukman Al Hakim bin Muhammad
Presiden PEMBINA Cawangan Melaka.

