Hijrah Terakhir: Episod Satu
Posted on December 31, 2008 by admin
Lontaran suaranya lembut beralun, tersulam cantik dan beralas namun sesekali bagai dilambung tegasnya. Memanah jiwa, terus menderap kejap ke tempurung akal para hadirin yang membanjiri ruang solat Masjid Al-Ikhwan. Tuturnya melantunkan lagu keinsafan dan ritma penuh keimanan. Seperti tidak pernah bait-bait nasihat seumpama ini menyapa gegendang telingaku. Ya, unik dan tersendiri. Serba rinci dan penuh informasi. Kalimah ayat-ayat suci dan hadith Nabi yang melatari begitu fasih dan bersahaja diungkapkan, projeksi keluasan gudang ilmunya. Diksi serta ekspresi yang ditabur sepatah demi sepatah menggoncang pintu hati, menguak jendela pemikiran. Sekali dan abadi.
“Penggarapan nilai praktikal dari peristiwa hijrah Nabi yang mulia harus kita cernakan lumat-lumat. Inilah peristiwa agung yang disusun Allah untuk mentarbiah kita tentang makna sebenar hijrah.” Bergema suaranya ke segenap ruang solat masjid.
“Bukannya saya mengajak kalian semua bersama-sama menaiki unta berpindah dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu!” Sesekali terpancul dekah ketawa di celah bernas senda dan pintar jenakanya.
“Hijrah dalam realiti kita hari ini berbeza. Hijrah ke arah kemantapan akidah, kesahihan ibadah serta kekukuhan akhlak. Menuntut penambahbaikan untuk memartabatkan panji Ilahi, lantas mengucap ’sayonara’ kepada karat-karat jahiliah. Itu yang kita mahu.” Padat inti katanya.
Ceramah sempena sambutan Awal Muharram 1430H dan Tahun Baru 2009 ini sememangnya berbeza dan sarat dengan intipati penuh makna.
Dari balik tabir yang memisahkan antara ruang solat lelaki dan wanita, sekilas sempat aku melempar pandang si empunya suara. Dari pandangan sisi, tampak tampan dan kemas. Ada satu sinar dari air mukanya yang jernih. Sebaik sahaja dia menoleh, pandangan mata yang bertamu pantas menyerbu saraf pemikiran, lantas menggoncang fragmen-fragmen memori semalam. Menjejak peristiwa dan menyelongkar ceritera. Wajah ini pernah dahulu terselit di celahan ranting nostalgia.
Dua
“Tiada langsungkah ruang buat saya dalam hati awak?” Hampir gugur tangkai jangtungku mendengar soalan yang bertamu.
“Tiada dan tidak akan pernah ada….” jawabku spontan. Separa khalis.
“Umrah, saya berubah hanya kerana awak! Demi memiliki hati awak. Takkan awak sanggup biarkan saya mengemis begini setelah saya tinggalkan rona nestapa kehidupan lampau?” Ada nada sebak mengiringi butir katanya.
“Maafkan saya, saya tidak dapat terima awak…..” entah dari mana datangnya kekuatan untukku berterus terang. Setelah sekian lama.
Diam.
“Dan lagi satu, saya nasihatkan awak berubahlah kerana Allah, bukan kerana mendambakan kasih saya.” Demikian aku menoktahkan perbualan.
Talian kuputuskan. Ada nafas berat yang kuhela separa. Akhirnya hari ini hadir jua kekuatan untukku berterus terang, dalam perbualan telefon pertama dengannya. Deretan nota dan khidmat pesanan ringkas yang diutus sebelum ini tidak pernah kuambil peduli. Minta suai kenal. Minta berkawan. Minta ziarah. Dan banyak lagi permintaan-permintaan yang semuanya kuanggap sampah!
Kuakui dia telah banyak berubah sejak kali pertama aku mengenalinya di bumi kanggaru ini. Kelab-kelab malam yang saban malam dikunjungi bersama taulan zaman gelapnya kini menjadi sejarah kelabu. Botol-botol minuman syaitan yang dahulunya diteguk bersahaja telah lama berderai dirempuh insaf. Solat yang sebelumnya amat jarang ditunaikan telah menjadi kelaziman meskipun masih tidak di awal waktu dan berjemaah di masjid. Al-Quran sudah mula menjadi temannya, walau masih merangkak perlahan mengenalpasti aksara-aksara ganjil yang beratur. Pakaian dan penampilannya semakin enak dipandang mata walaupun rambutnya masih panjang mengurai. Malah pencapaian akademiknya yang dulu merudum jatuh mula menampakkan garis-garis cahaya. Sungguh, dia didewasakan zulmat malam zaman silamnya.
Namun bagiku itu masih belum memadai. Dirinya masih jauh dari bayangan susuk lelaki dambaanku. Yang mendefinisikan dengan percaya makna iman dan taqwa. Penampilannya menyejukkan jiwa, pengabdiannya membunuh nafsu dan hawa. Lelaki impian yang siangnya sibuk mencanai malar perjalanan dakwah, membutir mahar pengalaman penuh qudwah. Lelaki sanjungan yang malamnya sembap kering menangisi dosa berselut, tertib bersimpuh mencumbu mengkuang tahajjud. Lelaki pimpinan yang utuh memimpin tanganku menelusuri tapak-tapak perjuangan Rasulullah s.a.w.
Tidak, aku tidak rela menerimanya hanya kerana dia berhijrah demiku. Demi seorang yang hanya dikenalinya dengan melihat sebentuk wajah di sebalik tudung labuh dan jubah yang membaluti tubuh badan. Mana mungkin dia mengenal hati budiku. Apatah lagi untuk berubah demiku.
Tapi katanya itulah cinta. Ah! Bagiku cinta sering benar tewas bersama mimpi rawan semalam…………
…bersambung
Nukilan hati,
![]()
Saudara Muhammad Lukman Al Hakim bin Muhammad
Presiden PEMBINA Cawangan Melaka.


