Hijrah Terakhir: Epilog

December 31, 2008 by admin  
Filed under Cerpeneka, Kafe Cinta

Sedutan Episod Satu

Tapi katanya itulah cinta. Ah! Bagiku cinta sering benar tewas bersama mimpi rawan semalam…………

… bersambung

 

Tiga

Keinginan untuk merungkai kekusutan jiwa membawaku ke hadapan pintu utama masjid. Membatu menanti penceramah keluar, usai solat Isyak berjemaah. Sebaik melihat kelibatnya, salam kulontar. Mempalit kerut di dahinya.

Berdiri di hadapannya benar-benar mengundang dejavu. Mendetakkan debar. Namun, kuyakin dia masih tidak mengenaliku di sebalik purdah yang melindungi wajahku. Aku lantas memberanikan diri untuk memulakan bicara.

Maaf kerana menggangu ustaz. Saya Ummu Musfirah. Tak pasti samada ustaz masih mengenali saya, tapi wajah ustaz seperti pernah saya kenal…” tersekat-sekat kataku.

Jadi, awaklah Umrah?”

Angguk. Hari ini aku mendapat namaku kembali. Nama yang diberikan kepadaku tujuh tahun yang lalu.

Ya, saya Umrah….” jawabku tertunduk malu. Titis gerimis yang satu persatu jatuh mencium bumi tunak kurenung.

Dan ustaz, Amri Muqarr…….

Saya Amru Muqarrin, kembar kepada Amri Muqarrin…” pintasnya. Ada kejut yang menyambar sanubari.

Sering benar dia menceritakan perihal awak kepada saya. Tentang kisah pertemuan pertama kalian di bumi ‘Down Under’, kisah zaman gelapnya, kisah hijrahnya menjadi manusia, perihal liku ranjau dia menawan hati awak dan akhirnya episod perpisahan kalian di sana.

Setelah pulang tanpa segulung ijazah dari Australia, dia benar-benar berubah. Hijrah agung katanya. Akhirnya dia mengambil keputusan nekad untuk mengubah haluan ke bumi anbiya’, mengutip mutiara-mutiara tinggalan ketamadunan Islam silam di Universiti Al-Azhar, Mesir. Dia sempat menghafal Al-Quran sebelum menamatkan ijazah dalam bidang Usuluddin sebagai pelajar terbaik keseluruhan. Tidak cukup dengan itu, dia turut bergiat aktif dalam gerakan dakwah dan tarbiah di sana. Malah saya sendiri menerima percikan taufiq darinya. Dialah yang mendekati saya, membisikkan kalimah penuh keimanan, membimbing saya menjadi muslim sejati dan akhirnya meyakinkan saya untuk bersama-samanya ke Mesir demi mengibarkan panji agama kebenaran ini.”

Aku terkelu. Kagum. Ternyata hijrahnya luar biasa setelah cintanya terdampar tak bersambut.

Alhamdulillah. Hmm…..di mana dia sekarang, ustaz?” Aku memberanikan diri menyua tanda tanya yang aku sendiri berdebar menanti jawapannya.

Senyap. Lama kunanti Ustaz Amru menyambung tutur. Terlucut sabarku.

Masih diam. Yang kedengaran kini ialah tangis esaknya yang semakin meninggi. Aku melirik pandang, ada butir-butir jernih yang gugur dari  kelopak matanya yang redup.

Dia meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya ketika dalam perjalanan untuk urusan dakwah dari Mekah menuju Madinah, tersungkur mencium lahad, ditimbus debu-debu hijrah Rasulullah s.a.w. Dia pergi beberapa hari sebelum kami sepatutnya pulang ke tanahair. Berkali-kali dia nyatakan hasratnya untuk bersua Umrah sebaik tiba di tanahair. Ironik sungguh, insan pertama yang ingin dijejakinya Umrah, namun terlebih dahulu ditemuinya Allah.” Perlahan tukas ustaz Amru. Di juring kelopak matanya masih tersisa cecair jernih yang hampir kering.

Mataku berkaca. Menatang selimpah titis air mata. Terpempan mendengar jawapan yang begitu menghiris jiwa, persis ditusuk belati peristiwa lalu. Lantas fikiranku melayang, menjejak kembali setiap fragmen kenangan bersamanya. Satu persatu muncul di kota ingatku, lantas membentuk makna betapa hebatnya kuasa Ilahi mengubah manusia mengikut acuan kehendak-Nya.

Maafkan saya Umrah. Saya minta diri dulu, ada ceramah seterusnya yang perlu saya sampaikan di Masjid Negeri. Assalamualaikum…..” salamnya memutuskan permainan akalku.

Belum sempat kujawab, ustaz Amru terus berlalu pergi. Meninggalkanku bersama hakikat yang masih cuba kucerna. Sedikit pahit untuk kutelan. Aku lantas berpusing mengatur langkah longlai untuk pulang sebelum suara ustaz Amru kembali bertamu lagi di gegendang telinga, mematikan tapakku.

Umrah, sebelum Amri meninggal, dia pernah berbicara kepada saya. Betapa cintanya kepada awak tidak pernah luntur. Dan dia berubah bukan kerana Umrah, tapi demi mengejar cinta Allah!” Sedikit menjerit. Dapat kulihat prisma matanya menyimbah titis isyarat.

Tanpa kusedari sepasang mataku kini berjuraian air mata. Tidak terbendung lagi. Di celah-celah garis renyai, ada rasa berbaur yang menyelinap masuk, pantas mengusik emosi rapuhku.

 

Empat

Doaku moga dikau temui insan terbaik buat menghiasi kamar hidupmu.”

Khidmat pesanan ringkas terakhir yang diutus sebelum kepulangannya ke tanahair kembali bertandang di relung ingatan. Hadir bersama hembusan bayu dingin Sungai Yarra, tempat pertama kali pesanan itu kutatap. Pedihnya! Dia telah pergi. Dan doanya masih tergantung di situ. Sedang aku terus sendiri di sini menanti insan ‘thiqah’, buat  menyunting kuntum bunga di taman yang kian merekah.

****************************************************************************************************************

*Sayonara = Selamat tinggal

*Down Under = Nama jolokan/gelaran yang diberikan kepada negara Australia

*Thiqah = Dipercayai

 

Nukilan hati,

.

Saudara Muhammad Lukman Al Hakim bin Muhammad
Presiden PEMBINA Cawangan Melaka.

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!